Wednesday, 29 July 2015

Buah yang kurang busuk dalam sebakul buah yang busuk

Aku bukanlah rajin sangat menulis dalam blog. Sesuailah dengan cogan kata blog aku ni "Blog ini blog tenggelam timbul. Bila rasa nak menulis dan ada benda nak ditulis, aku tulis. Bila tak ada idea dan mood untuk menulis aku cuti seketika dari menulis". Bila ada entri baru dalam blog ini bermakna aku tengah ada idea, mood dan masa untuk menulis. Kadang-kadang ada idea nak menulis tapi mood tak ada, tak jadi juga. Bila mood ada idea pulak tak ada. Bila ada idea dan mood, masa pulak tak ada. Nak tunggu kombinasi ketiga-tiga faktor inilah yang akan menjadikan blog kita semacam rumah usang yang tidak bertuan. Lama-lama berhujan panas dan dimakan anai-anai akhirnya tumbang satu persatu menyembah bumi.

Akhir-akhir ini banyak pulak idea yang datang untuk dikongsikan dalam blog ini. Dan hari ini kombinasi idea dan mood disertai dengan ada masa yang terluang jadi dapatlah aku cuci dan kemaskan rumah yang dah lama tak dijengah. Aku sebenarnya dah lama nak menulis benda ni. Benda yang selalu bermain dalam fikiran aku. Aku bukanlah orang politik tapi aku melihat dari bawah apa yang berlaku dalam politik tanah air. Aku pun bukannya peminat mana-mana ahli politik tapi aku selalu juga mengikuti perkembangan ahli politik tanah air baik dari parti pemerintah atau dari parti pembangkang. Aku tak pernah miss mengundi pada setiap PRU semenjak aku layak mengundi sehinggalah ke PRU 13 yang lalu. Apa yang aku dapat simpulkan ialah dalam menganalisa dan menentukan calon mana yang akan aku sokong biasanya tak ada satu calon pun yang benar-benar aku suka. Senang kata aku ibaratkan macam inilah, ada sebakul buah tapi buah dalam bakul tersebut telah busuk. Kalau kita nak makan buah tersebut kita carilah buah yang kurang busuk. Buah yang kita nak makan tu tetap busuk tapi kita potong buang bahagian yang busuk, kita tinggal bahagian yang elok, kita makan bahagian yang elok itu. Nak cari buah yang tak busuk dalam sebakul buah tadi tu memang tak ada sebab semuanya busuk belaka. Cumanya ada yang busuk teruk dan ada yang kurang busuk. Samalah keadaan bila ada pilihanraya, mana ada calon yang elok belaka. Semuanya macam sebakul buah yang busuk. Kita pilihlah buah yang kurang busuk. Yang elok, tidak busuk, tak ada.

Apa yang berlaku pada akhir-akhir ini membuktikan perbandingan aku tentang ahli politik dengan buah yang busuk adalah betul. Kita pilih pemimpin untuk memimpin kita, membawa kita melalui jalan yang selamat untuk maju ke depan. Kalau seorang nakhoda kapal bawa belayar kapal dengan sekelian anak kapalnya melalui laluan yang dipenuhi lanun barang tentulah belum tentu untung nasib kapal tersebut berjaya atau tidak tiba ke destinasinya. Samalah dengan keadaan kita sekarang ini. Ke mana arah pemimpin kita bawa, kita pun tak pasti. Sebab apa aku kata macam tu? Seorang pemimpin dilantik oleh rakyat untuk menjaga kebajikan rakyat. Memastikan keselesaan, keselamatan, keharmonian rakyat adalah tanggungjawab pemimpin. Rakyat nak hidup dalam keadaan tenang, aman dan damai. Dalam keadaan sekarang dengan harga barangan yang mahal, jenayah yang sering berlaku, gaji yang tidak mencukupi manakan adanya keselesaan yang diharapkan oleh rakyat.

Rakyat hidup dalam tekanan, pemimpin pulak bermewah-mewahan. Buat benda-benda mengarut yang tak pernah rakyat suruh buat. Tiba-tiba saja, hujan tak ada ribut pun tak ada tau-tau ada hutang 42 billion. Pemimpin sekarang, bukannya memimpin mengikut kehendak rakyat tapi terbalik pulak, dia memimpin ikut kehendak dia, kita rakyat pulak yang kena ikut dia. Mana punya law dia orang pakai kita pun tak tau. Itulah aku kata yang busuk memang tetap busuk juga walaupun sikit. Benda sensitif macam ni tak boleh cerita banyak-banyak, nanti masuk ke dalam pulak. Kalau dah masuk dalam anak bini sapa nak bagi makan. Eloklah luahan hati Pak Mat berhenti setakat ini dulu. Lain kali ada idea, mood dan masa Pak Mat merapu lagi. Tak tau la bila masa tu...haha.

Thursday, 2 July 2015

Resepi Sup Ayam Power

Aku kata sup ayam power sebab ianya memang yang terbaik pernah aku rasa. Resepi sup ayam ini aku dapat dari internet tapi aku dah adjust sesuaikan rasanya ikut selera aku. Aku tak dapat nak sertakan link resepi asalnya di sini sebab aku dah tak ingat. Mula-mula aku cuba resepi ini ialah dalam lima ke enam tahun lepas. Memang dah lama, sebab itulah aku pun lupa dari blog mana asalnya. Aku cuba cari balik tapi tak jumpa. Kalau tuan punya resepi asal terbaca blog aku ni, bolehlah komen dan sertakan link kat sini ye. Sementara ini aku minta halal dululah. Oleh kerana dah lama aku kenal resepi ini jadi tokok tambahnya telah menjadikan ianya power........power pada lidah akulah.

Aku nak teruskan dengan puji-pujian terhadap sup ayam ini dulu. Rasanya memang ada beza dengan sup ayam versi lain. Aku selalu masak kat rumah. Anak-anak aku dan anak-anak sedara makan selalu bertambah. Aku juga pernah masak sup ayam guna resepi macam ini dalam kuantiti yang banyak untuk hidangan hari pertunangan adik ipar aku. Aku masak sup ayam sahaja, makanan lain adik ipar aku order dengan syarikat katering. Hasilnya tetamu kata, masakan yang paling best pada hari itu ialah sup ayam. Masakan dari katering semua tak boleh lawan sup ayam. Nasib baik makanan yang lain tu order dari katering, bukan bini aku yang masak, kalau tidak sah la masam muka dia seminggu......peh.

Panjang betul kelentong aku kali ini. Okaylah tanpa membuang masa aku turunkan resepi sup ayam power di sini. Siapa yang nak cuba dipersilakan. Kalau dah cuba dan rasanya sedap tinggalkanlah komen kat sini. Kalau tak sedap diam-diam ajelah....haha.

Sup Ayam Power
 Bahan-bahan
1/2 kg ayam dibersihkan dan potong saiz kecil
3 biji bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia hiris halus
2 kuntum bunga lawang*
5 kuntum bunga cengkih*
1 batang kulit kayu manis saiz sederhana*
7 biji buah pelaga*
1 kiub ayam atau boleh ganti dengan 1 sudu makan stok ayam
1 sudu makan bawang goreng
2 biji kentang potong ikut suka
garam secukup rasa
sedikit gula
1 sudu kecil maggi cukup rasa. kalau guna serbuk perasa bolehlah tambah dalam 1/2 sudu kecil gitu.
minyak untuk menumis
daun sup dan daun bawang 

* kalau suka pedas bolehlah letakkan cili api. saya tak tahan pedas jadi cili api saya tak masukkan.

Cara
Rendamkan bahan yang bertanda * (rempah empat sekawan) dalam satu mangkuk air panas. Bila dah sejuk, tapis dan asingkan rempah tersebut. Air tapisan jangan buang.

Panaskan minyak, tumis rempah empat sekawan yang diasingkan tadi. Agak-agak kulit kayu manis dah nampak kembang, masukkan bawang merah, bawang putih dan halia. Kena gaul selalu kalau tak nanti bawang masaknya tak sekata. Tumis sampai bawang kekuningan. Kalau tak cukup kuningnya nanti kuah sup colornya jadi jernih. Bawang yang garing ini nanti akan membuatkan warna kuah sup jadi keruh. Tak perlu masukkan serbuk sup.

Bila bawang dah kekuningan, masukkan ayam. Gaul rata. Api sederhana. Tutup periuk dalam lebih kurang 5-10 minit. Sekali sekala buka periuk dan gaulkan bahan bagi sebati. Bila sampai tempoh 10 minit anda dapat lihat ada air pekat yang berwarna kekuningan dalam periuk. Itu ialah pati ayam. Pati inilah yang menyerlahkan rasa sup ayam.

Masukkan air tapisan hasil rendaman rempah empat sekawan tadi. Kalau kuah nampak sikit boleh tambah dengan air biasa. Masukkan juga kiub ayam.

Masukkan kentang bila sup mula menggelegak. Masukkan juga bawang goreng. Bawang goreng ini disamping memberi kesan kepada rasa tujuannya ialah untuk bagi keruh kuah tapi kalau tak nak keruh sangat tak perlu tambah bahan ini.

Bila kentang agak lembut, masukkan garam, gula dan cukup rasa. Dulu aku masak sup tak tambah gula tapi semenjak dapat tip supaya masukkan gula dalam sup daripada tukang masak warung tomyam aku pun cubalah dan hasilnya memang lebih sedap.

Padamkan api bila kentang dah cukup lembut. Taburkan dengan daun bawang dan daun sup semasa dihidang.