Wednesday 3 December 2014

Daun ceri untuk menurunkan kadar gula dalam darah

Kali ni aku nak bercerita pasal khasiat daun ceri Malaysia. Kalau ikut wikipedia nama tumbuhan ini ialah Kerukup Siam atau Ceri Kampung. Dulu-dulu aku tak tau khasiat daun ceri ni. Yang aku tau buahnya boleh dimakan. Masa kecil dulu aku suka kutip buah ceri yang masak ranum warna merah. Rasanya manis. Pokok ini banyak tumbuh meliar. Setakat ini belum pernah lagi aku jumpa orang sesaja tanam poko ceri untuk hiasan ke atau apa-apa tujuan lain. Yang pastinya pokok ni kalau tumbuh memang pembesarannya pantas. Kalau tumbuh belakang rumah dan kita biarkan, sekejap aje pokok ini dah merimbun.

Pokok ceri kampung
Ramai yang tahu dan ramai juga yang tak tahu. Daun ceri sangat berkesan untuk menurunkan paras gula dalam darah. Caranya ialah dengan mengambil daun ceri tersebut kemudian rebus dengan air yang banyak dan renehkan sehingga airnya tinggal satu pertiga atau separuh. Minum air rebusan ini seperti anda minum teh waktu pagi dan petang. Jika tahap gula dalam darah anda tinggi anda boleh minum lebih banyak air rebusan daun ceri tersebut, mungkin dalam 3 ke 4 gelas sehari kemudian kurangkan secara bertahap. Jika minggu pertama anda minum dalam 4 gelas, minggu kedua anda kurangkan pengambilan kepada 3 gelas. Selalulah periksa tahap gula dalam darah anda kerana air  rebusan daun ceri sangat cepat dalam menurunkan kadar gula dalam darah. Jika anda terus minum tanpa memeriksa kadar gula dalaam darah anda dikhuatiri kadar gula dalam darah anda turun sehingga menjadi terlalu rendah.

Basuh bersih kemudian rebus bersama air yang banyak.
Kuantiti daun ceri bergantung kepada kepekatan "teh ceri" yang anda sanggup minum kerana makin pekat teh ini maka makin pahitlah ia tapi dari pengalaman aku untuk 6 liter air masukkanlah lebih kurang 200 ke 300 helai daun.

Biar menggelegak dan mereneh hingga air tinggal 1/3 shj.
Daun ceri ini boleh direbus dalam kuantiti yang banyak kemudian botolkan guna bekas air mineral dan boleh disimpan dalam peti sejuk. Air rebusan daun ceri memang pahit tapi pada aku pahit lagi rasa peria. Kiranya walaupun pahit tapi taklah pahit sangat.

Minum airnya kemudian makan limau untuk hilangkan pahit serta merta.
Petua untuk hilangkan rasa pahit pada lidah selepas minum air rebusan daun ceri ialah dengan makan oren sunkist. Rasa pahit pada lidah akan hilang serta merta. Tambahan pula pesakit kencing manis atau diabetes atau sesiapa yang mempunyai kadar gula yang tinggi dalam darah sangat-sangat digalakkan makan apa saja buah jenis limau terutamanya limau Tambun atau Pomelo.

Limau Bali atau limau Tambun sangat baik untuk pesakit diabetes.
Selain dari direbus, daun ceri juga boleh dikisar dengan mencampurkan sedikit air menjadi jus daun ceri. Tapi rasanya pahit dan payau.  Ada juga yang menjemur daun ceri hingga kering kemudian dihancurkan dan bila hendak diminum barulah dibancuh dengan air panas menjadi seperti teh.

Thursday 20 November 2014

Rumah Api Tanjung Tuan

Dah lama aku nak ke rumah api kat Tanjung Tuan tapi bila pergi ke Port Dickson asyik mandi kat Teluk Kemang atau Pantai Purnama je. Tak sempat nak ke sana. Minggu lepas akhirnya dapat jugak aku pergi. Walaupun Tanjung Tuan (juga dikenali sebagai Cape Rachado) dekat Port Dickson tapi dari segi geografi ia terletak dalam negeri Melaka. Tak susah nak sampai ke sana. Kalau ikut highway PD sampai bulatan ambil jalan ke kiri arah Teluk Kemang. Bila dah jumpa Teluk Kemang terus jalan lagi dalam lebih kurang 3km rasanya. Tengok simpang sebelah kiri ada papan tanda Tanjung Tuan. Masuk je jalan ini anda akan jumpa beberapa resort dan rumah peranginan. Terus jalan sampai penghujungnya jumpa PNB Ilham Resort.  Sebelah resort ni anda akan nampak pintu masuk ke Hutan Rekreasi Tanjung Tuan. Dari simpang tadi sampai ke depan pintu masuk hutan reakreasi ambil masa tak sampai 5 minit. Dekat je. Dalam kawasan ini lah terletaknya rumah api yang dikenali juga sebagai Hutan Rekreasi Tanjung Tuan. Hutan Rekreasi atau hutan lipur ini termasuk dalam Rizab Hidupan Liar Tanjung Tuan, Melaka. Ia juga merupakan tempat perlindungan hidupan liar Taman Laut Negeri Melaka. Hutan ini dikategorikan sebagai hutan bukit pantai dan merupakan tempat persinggahan kira-kira 300,000 ekor burung setiap tahun kerana ia merupakan laluan bagi migrasi burung-burung dari benua Asia ke Selatan dan dari Selatan ke Benua Asia. Proses migrasi ini bermula seawal bulan Mac setiap tahun.

Pintu masuk utama
Kalau anda datang sini musim cuti sekolah atau hujung minggu, tempat letak kereta biasanya penuh sebab di depan pintu masuk hutan rekreasi inilah terletaknya PNB Ilham Resort jadi customer resort ni turut parking kat sini. Anda boleh jalan terus ke sebelah kanan kat orang yang pakai baju oren tu. Boleh letak kereta kiri kanan jalan tu. Kalau terus, tak jauh, dalam 100 meter anda akan jumpa pantai tapi pantai tu private agaknya mungkin PNB Ilham Resort punya.

PNB Ilham Resort terletak bersebelahan pintu utama ke hutan rekreasi.
Kalau anda jalan terus kat orang pakai baju oren dalam gambar yang mula-mula tadi dan parking kereta kat bahu jalan, anda akan nampak bangunan seperti dalam gambar di atas ni iaitu PNB Ilham Resort.


Plak keterangan bersebelahan pintu masuk utama.
Papan penerangan ini ada kat depan pintu masuk sebelah kanan. Sebelum anda masuk hutan rekreasi ni elok la anda baca sejarah tempat ni dulu. Kalau bawa anak-anak elok suruh dia orang baca supaya di samping berjalan-jalan mereka dapat juga ilmu. Rasanya cerita dari papan penerangan ni ada juga masuk dalam silbus mata pelajaran sejarah dan geografi. Kalau nak baca dan tengok gambar yang clear anda klik mouse sebelah kanan kemudian pilih view image. Dah keluar gambar anda boleh zoom in bagi lagi besar supaya clear dan senang dibaca.


Kaunter tiket selepas melalui pintu masuk utama.
Selepas anda melalui pintu masuk hutan rekreasi ini anda akan jumpa bangunan warna oren kat sebelah kiri. Kat sini anda kena bayar tiket RM1 untuk satu kepala. Dulu-dulu percuma je tapi tak tau sejak bila kena bayar RM1. Anda akan diberikan tiket. Jangan buang tiket tu sebab kat dalam nanti bila-bila masa dia orang boleh minta tengok tiket tu untuk pemeriksaan. Kadang-kadang tiket dah habis jadi anda kena tulis nama je kat buku depan kaunter tu. Lepas semua urusan ni selesai anda bolehlah meneruskan perjalanan mendaki. Tapi sebenarnya aku ada satu pesanan kepada sesiapa yang berhajat nak masuk dalam hutan rekreasi ni. Anda siapkanlah tuala kecil (yang besar sikit lagi bagus) sebab anda pasti akan berpeluh sakan untuk perjalanan kali ini. Bawa juga air mineral.

Permulaan mendaki
Dalam 3-4 minit mendaki anda akan sampai di sini. Nampak kat depan tu ada wakaf. Kalau pancit boleh rehat dulu. Take your time, tak ada apa nak dikejar kat atas sana :). Aku dulu datang dengan orang rumah. Sampai je kat wakaf tu terus dia merehatkan dirinya. Terpaksa la aku berehat jugak hehe. Gambar yang aku ambil ni menghala ke atas. Gambar di bawah ni pulak menghala ke bawah, pintu masuk awal tadi tu.


Jalan yang telah dilalui tadi.
Selepas wakaf yang pertama, nanti anda akan jumpa wakaf yang kedua. Jaraknya taklah jauh tapi sebab mendaki punya pasal rasa jauh jugak la. Sebelum jumpa wakaf yang kedua, anda akan jumpa pokok balak yang sangatlah besar dan tinggi di sebelah kanan jalan macam gambar kat bawah ni.

Balak ni besar sungguh.
Meranti Tembaga nama pokok ni. Memang tinggi, sungguh tinggi . Ada juga pokok balak lain yang besar dalam kawasan ini tapi aku rasa yang inilah yang paling besar kot. 

Kat FRIM Kepong banyak pokok Meranti Tembaga ni.
 Kalau pergi ke FRIM Kepong pokok macam ni memang banyak sungguh. Lagi besar dan tinggi pada ni pun ada. Tapi yang kat FRIM tu memang ditanam secara sistematik, patut la pun tumbuh subur, besar dan tinggi.


Pertengahan mendaki jalan agak mendatar.
Daripada pokok besar tu, naik ke atas jalannya agak datar sikit. Yang bagusnya jalan naik ke rumah api ni ialah banyak yang teduh. Kalau tak teduh aku rasa sampai ke atas tentu basah baju berpeluh. Kalau ada jalan yang panas macam gambar kat atas ni pun sikit je. 


Jumpa papan tanda ini maksudnya dah nak hampir sampi ke rumah api.
Dah jumpa papan tanda ni maknanya dah dekat la nak sampai ke rumah api. Dalam 100 meter lebih kurang. Kat kawasan papan tanda ni ada satu denai ke kiri untuk turun ke bahagian tepi laut. Kalau nak ke rumah api kena jalan terus. Mula daripada sini, naik ke atas, daripada jalan mendatar jadi curam sikit.


Rumah api dah kelihatan.
Dah sampai kat sini lega sikit. Kalau nak ke rumah api tinggal lagi kena naik tangga je. Atas rumah api tu ada radar MEASAT yang dipasang pada tahun 1990 rasanya. Ada dua tiga buah motor dan kereta milik pekerja hutan rekreasi dan rumah api. Orang awam tak boleh bawa kereta ke sini. Kalau tak, senang ajelah sampai ke puncak. Tak payah menapak. Dari pintu masuk sampai ke puncak bukit, berjalan kaki akan mengambil masa paling cepat 20 minit tanpa berhenti kat wakaf. Masa ni aku catat waktu turun. Masa turun lagi senang daripada naik. Tu pun ambil masa 20 minit. Kalau naik rasanya mungkin lebih dari 20 minit kot.

Papan keterangana Jabatan Laut Semenanjung.
 Sebelum naik tangga jumpa papan tanda ni di sebelah kiri. Ia memaparkan maklumat berkaitan rumah api tersebut. Aku berehat kat sini lama jugak sebelum meneruskan perjalanan menaiki tangga. Masa aku pergi tempat ni tengah hari, jadi cuaca panas sikit. Boleh tahan juga berpeluhnya. Nasib baik aku ada bawa tuala buat mengelap peluh.

Tangga untuk ke rumah api.
Rumah api Tanjung Tuan terletak di puncak bukit. Kena naik anak tangga ini untuk sampai ke puncak. Tak la jauh sangat tapi kalau tengah panas mengah la juga bila dah sampai kat atas. Kalau dah sampai kat atas baru terasa angin kuat. Kat tangga ni angin tak sampai sebab terlindung dek puncak bukit yang ada rumah api tu.



Rumah api dilihat dari tangga.
Pintu masuk rumah api. Pelawat tak dibenarkan masuk.
Menara rumah api.

Selat Melaka dilihat dari rumah api.





Kalau anda masih ada tenaga dan berniat nak meneruskan penjelajahan di hutan rekreasi ini anda boleh meneruskan perjalanan menuruni bukit menghala ke kawasan pantai. Ada beberapa denai yang menghala ke arah yang berlainan. Selepas saja puncak bukit yang ada rumah api tadi, anda akan jumpa tangga turun menuju ke kawasan pantai yang dinamakan Pulau Intan. Kawasan ini adalah kawasan terumbu karang.


Papan keterangan lokasi sekitar hutan rekreasi

Jika anda berhasrat mengunjungi semua lokasi tersebut eloklah anda bersedia dari segi fizikal kerana ianya akan mengambil masa beberapa jam untuk menamatkannya. Jangan lupa bawa tuala untuk mengelap peluh dan juga air mineral.

Monday 11 August 2014

"Sunset" dari lensa kameraku

Aku paling suka gambar matahari terbenam. Kalau kena pada masa dan tempatnya, gambar yang terhasil amat cantik dan mengagumkan. Biasanya kalau aku jalan-jalan makan angin atau jalan-jalan cari makan kat tempat yang dekat dengan pantai memang aku akan bawa kamera. Bersedia untuk ambil gambar sewaktu matahari terbenam. Dari pengalaman aku, ada beberapa perkara yang perlu kita perhatikan untuk mendapatkan gambar matahari terbenam yang menarik. Yang paling penting ialah masa. Biasanya kalau di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia, pukul 7.00 petang ialah waktu matahari sedang berada di ufuk barat. Masih nampak matahari sebiji bulat tapi dah dekat sangat nak tenggelam. Waktu ini dah boleh ambil gambar tapi pada aku waktu yang paling cantik pemandangannya ialah sekitar pukul 7.20 ke 7.35 petang. Waktu ini biasanya matahari dah tenggelam tapi cahaya lembayung yang dihasilkan sangat cantik. 

Pantai Kuah, Langkawi 7.31 pm.



Selain dari itu aku selalu perhatikan awan di ufuk barat. Kalau langit tak berawan, gambar matahari terbenam kurang cantik sebab cahaya yang kena awan tu lah yang akan  menimbulkan warna yang menarik. Kalau awan bertompok-tompok dan banyak itulah masa yang sesuai ambil gambar matahari terbenam. Aku suka letakkan model dalam gambar matahari terbenam yang aku snap. Boleh minta kawan-kawan tolong jadi model. Kadang-kadang tu memang ada orang yang mandi atau memerhatikan matahri terbenam. Masa tu kita snap gambar dia orang berlatar belakangkan matahari. Gambar dia orang tu akan jadi gelap, tak nampak muka pun jadi tak timbul masalah kemudian hari. 

Port Dickson 7.18pm.






Pantai Klebang, Melaka 7.35 pm.
Selain dari manusia sebagai objek yang berlatar belakangkan matahari terbenam, kalau ada peluang dapatkan model yang lebih menarik dan semulajadi. Yang ini kira nasib. Kalau nasib baik boleh dapat. Contoh sekawan burung terbang. Kalau dapat snap gambar macam ni dan disertai latar belakang matahari terbenam gambar akan nampak lebih menarik. Aku ada tersnap satu gambar burung terbang ketika matahari terbenam. Memang aku tak berniat nak ambil gambar macam tu tapi bila masa snap ngam-ngam burung tu lalu.

Jeram, Kuala Selangor 7.16 pm.


Sebenarnya untuk dapat gambar matahari terbenam yang cantik bergantung kepada kreativiti masing-masing. Kalau rajin boleh cuba white balance yang berlainan. Cuba gunakan cloudy, shade, tungsten dan lain-lain. Setiap kali snap, tengok perbezaan gambar dalam mode white balance yang berlainan. Jangan guna auto white balance kerana ia akan menghilangkan warna keemasan ketika matahari terbenam. Tapi kalau snap dalam format RAW, white balance tu tak payah set la. Nanti balik rumah boleh adjust balik white balance dia. Kalau snap gambar model berlatar belakangkan matahari dan anda dapati gambar model tu kurang gelap, maksudnya nampak rupa dan muka anda kena lock exposure tempat yang lebih cerah. Caranya halakan kamera ke arah tempat yang lebih cerah. Fokus kemudian lock exposure tempat cerah tersebut. Macam mana nak buat anda rujuk manual kamera anda masing-masing. Lepas dah lock exposure tu halakan semula kamera anda kepada objek asal yang berlatar belakangkan matahari tadi. Kemudian snaplah macam biasa. Gambar jadi lebih gelap dan muka model anda pun jadi tak nampak. Jadi macam gambar burung kat atas tu.

Aku biasa gunakan ISO yang kurang kalau snap gambar-gambar macam ni. 100 biasanya dah okay. Aperture gunakan f8 ke atas sebab gambar ni kira landscape. Bagi background nampak sharp. Shutter speed biar kamera tentukan sebab aku biasa guna mode AV. Akhir sekali kalau anda ambil gambar matahari terbenam jangan fokus tepat ke arah matahari kerana ia boleh merosakkan mata anda. Boleh fokus awan dan sebagainya. kalau auto fokus susah nak fokus, guna manual fokus.

Wednesday 6 August 2014

Nasi Ayam Lot 10, Medan Selera Jalan Sungai Kuah, Pekan Kuah, Langkawi vs Ownn Nasi Ayam Keramat, Kuala Lumpur

Kali ini aku nak cerita pasal makan. Khasnya nasi ayam. Kalau di Kuala Lumpur rasanya ramai yang tahu Ownn Nasi Ayam depan stesyen minyak Petron Keramat (dekat dengan Keramat Mall). Sebenarnya aku baru tahu je hehe. Tu pun ada ceritanya. Kalau tidak aku pun tak tau. Biasanya kalau nak makan nasi ayam aku buat sendiri je. Selama aku duk makan nasi ayam kat mana-mana pun aku rasa nasi ayam yang aku masak lagi power. Sebab tu lah aku jarang makan nasi ayam kat luar. Masak sendiri puas makan dah tu pulak boleh ulang-ulang makan. Kalau makan nasi ayam kat luar, nasi dia alamak aii ciput sungguh. Rasa dizalimi je bila kena macam tu. Sup pulak cair gila. Apa punya meniaga la macam tu.

Berbalik kepada ceita pasal tajuk entry kali ini, baru-baru ni aku pi Langkawi. Famili dan kaum kerabat aku semua ikut. Ada la dalam 20 orang semuanya. Aku pi sana tak dak tujuan lain melainkan jalan-jalan makan angin je tapi aku tau kaum kerabat aku pi sana sebab nak shopping. Memang sungguh pun dia orang shopping bagai nak rak. Penyudahnya masa nak balik berpeluh sampai basah baju aku mengangkat barang-barang dia orang yang dah menimbun nak naik feri. Kebanyakan tempat untuk bershopping kat Langkawi ni ialah kat pekan Kuah. Yang topnya ialah kat HIG (Haji Ismail Group). Dah penat dia orang shopping kita orang pun pi la makan kat Medan Selera Jalan Sungai Kuah. Nama Jalan Sungai Kuah tu aku rasa sebab jalan tu betul-betul sepanjang tepi Sungai Kuah. 

Tempat ni senang je nak cari. Kalau kita datang dari jeti feri menghala ke pekan Kuah kita akan melalui masjid di sebelah kiri. Lepas masjid ada kompleks pekan rabu di sebelah kiri jugak. Jalan terus ke depan lagi anda akan melalui jambatan yang melintasi sungai. Sungai tu kecil je. Tepi jambatan kiri kanan ada bot-bot nelayan kecil parking kat situ. Itulah dia Sungai Kuah. Di sebelah kanan jalan besar ada satu jalan betul-betul memanjang ikut tepi sungai . Itulah dia Jalan Sungai Kuah. Tapi kalau kita dari jeti kemudian lalu masjid dan kompleks pekan rabu sampai jambatan ni kita tak boleh terus belok ke kanan sebab ada divider di tengah jalan. Kita kena jalan terus ke depan lagi lalu balai bomba di sebelah kanan kemudian kat depan sikit lagi ada simpang boleh buat u turn. Kalau tak buat u turn pun boleh. Masuk kanan terus sampai dekat hujung jalan ada simpang ke kanan, ikut jalan tu terus je sampai lintas jambatan. Kemudian belok kiri dah boleh nampak medan selera dari situ (medan selera tu sebelah kanan). Itu kalau tak buat u turn. Kalau buat u turn, sampai kat jalan tepi sungai tadi beloklah ke kiri. Jalan terus dalam seminit dua jumpalah medan selera di sebelah kanan jalan.

Jadi apa kaitannya nasi ayam medan selera Jalan Sungai Kuah Langkawi dengan Ownn Nasi Ayam Keramat? Sat lagi aku habaq mai no. Masa aku datang makan kat medan selera ni aku datang dengan kaum kerabat. Ramai la. Jadi nak senang dan pantas kami order la makanan yang sama untuk semua sekali iaitu nasi ayam. Sebelas pinggan semuanya. Budak-budak tak nak makan. Kedai ni orang agak ramai. Nampak macam semua makan nasi ayam. Agaknya dia orang pun berfikir sama macam kita orang kot. Nak senang dan cepat. Sudahnya semua orang order nasi ayam hehe. Okay kita tengok dulu rupa kedai nasi ayam ni ye.

Lot 10, Medan selera Jalan Sg Kuah, Langkawi.


Dalam gambar atas tu meja depan kosong tapi di sebelah kiri gambar, penuh dengan pelanggan. Meja kuning sebelah kanan tu kedai sebelah punya, tutup masa aku datang. Okay, bila nasi sampai aku pun makan la. Hmm sedap rupanya nasi ayam kedai ni. Aku ni kalau masak nasi ayam memang kira expert jugak la. Aku rasa satu-satu dari nasi, ayam, sup dan sos dia. Nak tau apa yang menyedapkan nasi ayam dia ni. Semuanya sedap tapi yang paling menyerlah dah menyedapkan nasi ayam ini ialah sos dan sup dia. Untuk pengetahuan anda, nasi ayam kedai ni tak ada kicap. Kalau anda selalu makan kat Ownn Nasi Ayam Keramat anda akan dapati kat situ kadang-kadang ada disediakan kicap sebagai sebahagian daripada hidangan nasi ayam dia orang tapi kadang-kadang tak ada. Tapi kalau yang kat Langkawi ni memang tak ada kicap. Sebenarnya ini bukan kebetulan, ada kaitannya. Nanti aku cerita hubung kaitnya. Masa makan tu aku terfikir nak tanya resepi sos nasi ayam kedai ni. Tah dia orang nak bagi ke tak. Nanti aku cuba tanya tengok. Lain-lain bahan nasi ayam macam sup, ayam, nasi dan kicap memang aku rasa masakan aku tak kalah dengan nasi ayam kedai ni. Cuma bab sos ni aku fail sikit. Tu lah aku fikir baik aku tanya resepi sos dia orang ni.

Lepas makan aku pi kat meja bayaran. Semua sekali RM62.00 termasuk minuman yang adalah dalam 15 gelas terdiri daripada teh o ais, teh o ais limau, sirap limau, laici, fresh oren dan sebagainya. Aku kira-kira sepinggan nasi ayam harganya cuma RM4.00. Murah la tu. Mana boleh bandingkan dengan KL. Kalau kat Ownn Nasi Ayam sekarang ni sepinggan RM7.00.....oii mak kau hehe. Lepas bayar aku sembang dengan pakcik tuan kedai ni. Lupa nak tanya nama dia. Aku tanya dia pelan-pelan boleh tak bagi resepi sos nasi ayam dia orang. Hanya resepi sos sahaja. Yang lain-lain aku tak nak. Pakcik tu tanya aku meniaga ke tak. Aku kata la aku tak meniaga. Saja kadang-kadang buat nasi ayam untuk makan sendiri. Dia pun setuju bagi resepi sos tu. Dia bagi tau detail siap suruh aku tulis lepas tu supaya aku tak lupa. Aku pun dengar baik-baik apa yang dia cakap. Bahan sos lebih kurang sama je cuma adunan dan kuantiti bahan je yang membuatkan sos tu rasa lain.

Pakcik tu tanya aku mai dari mana. Aku kata la mai dari KL. Hmm dia kata kalau nak rasa nasi ayam yang sama macam nasi ayam dia pi lah ke Ownn Nasi Ayam depan Petron Keramat. Hehe rupanya tauke Ownn Nasi Ayam tu adik kepada pakcik ni. Jadi kaitan antara gerai nasi ayam Lot 10, Medan Selera Jalan Sungai Kuah, Pekan Kuah, Langkawi dengan Ownn Nasi Ayam Keramat, Kuala Lumpur ialah taukenya adik beradik. Yang kat Langkawi tu abang manakala yang kat Keramat tu pulak adik dia. Kalau sapa-sapa kat KL pernah makan nasi ayam Ownn dan kata nasi ayam dia sedap, anda patut cuba abang dia punya kat Langkawi (kalau anda bercuti di sana). Dua-dua aku dah rasa dan pada pandangan aku yang abang dia punya lagi power. Bukan aku kata yang kat Keramat tu tak sedap. Kat keramat tu memang sedap tapi yang Langkawi punya lagi terangkat. Hehe hampa bayangkanlah sendiri ye. Yang kat Keramat tu kalau pergi tengah hari meja penuh memanjang sampai pukul 3-4 petang. Tunggu lama la sikit. Yang bungkus pun banyak. Kena la banyak sabar :). Yang kat Keramat ni sos dia rasa lain sikit berbanding Langkawi punya. Sebab tu lah aku kata Langkawi punya lagi power. Ayam yang kat Keramat ni color merah sikit tapi yang Langkawi agak gelap sikit. Aku rasa yang Langkawi punya lagi lembut. Nama pun yang Langkawi tu abang yang Keramat tu adik mestilah menang kat abang dia. Banyak pengalaman gitu.

Kata orang (tak pasti betul ke tak) dulu abang dia yang meniaga kat Keramat tu. Bila abang dia pindah pi Langkawi dia bagi kat adik dia meniaga kat situ. Sebab tu lah kalau sapa-sapa pernah makan nasi ayam kat situ daripada dulu sampai sekarang pasti dapat merasakan perbezaan rasa antara nasi ayam dulu dan yang sekarang. Yang ori dah pindah pi Langkawi. Jadi jika anda bercuti ke Langkawi bolehlah try nasi ayam Lot 10, Medan Selera Jalan Sungai Kuah, Pekan Kuah, Langkawi. Untuk kedudukan yang tepat anda gunalah google map. Sat je cari boleh jumpa. Kalau tak jumpa juga boleh call pakcik kedai tu. Nombor handphone dia 0194576242 atau 0173013062.

Monday 4 August 2014

Pak Bakar belanja makan laksa Penang.

Ada dua sebab kenapa aku buat blog ini. Pertama sebab cuti raya lama sangat sampai aku boleh terlupa password blog aku yang terdahulu. Haha macam ni pun ada ka? Jenuh aku ingat-ingatkan tapi tak dapat jugak. Tu lah dia perangai orang belagak ni. Password tak nak simpan elok-elok konon boleh ingat la. Sudahnya habuk pun tak dak. Tapi tak apalah. Lessons learnt. Kenalah aku mulakan blog yang baru. Kira macam bayi baru lahirlah blog ni. Aku lah yang akan mencorakkan hala tujunya hehe.

Sebab keduanya pulak ialah aku teringatkan Pak Bakar. Jadi aku abadikan nama Pak Bakar untuk entry pertama dalam blog ini. Ada cerita asal Pak Bakar ni. Meh sini aku ceritakan kisahnya. Aku ni lahir di utara Semenjung Malaysia. Ibu bapa meninggal masa umur aku 9 tahun. Anak yatim piatulah aku ni. Kampung aku dulu kelilingnya sawah padi. Aku tinggalkan kampung masa umur 12 tahun. Sekarang ni tak ada lagi famili aku yang tinggal di kampung. Semua dah ada keluarga masing-masing dan semuanya pun dah merantau bawa diri masing-masing. Tanah pusaka di kampung dah jadi rang. Kalau orang utara kata tanah rang maksudnya tanah yang sudah tidak diusahakan. Tanah terbiarlah senang cerita. Dah ditumbuhi hutan belukar. Aku pun dah lama sangat tak balik kampung sebab kalau aku balik kampung pun bukannya ada tempat aku nak tuju. Lagipun aku la ni dah jadi orang bandar manalah aku tahan gigitan nyamuk yang banyak dan besar-besar kat kampung tu. Nyamuk satu hal, pacat pun satu hal jugak hehe (orang kampung jangan marah no :) ). Ini baru intro je, kisah Pak Bakar belum mula lagi tau.

Aku ni walaupun dah berpuluh tahun duk Kuala Lumpur tapi hati dan jiwa aku masih merindui suasana kampung. Nak jadi cerita, pada hari raya kedua yang lepas aku pi beraya rumah saudara mara sebelah orang rumah aku di negeri paling utara semenanjung. Seluruh keluarga sebelah orang rumah aku ikut serta. Tak dak sorang pun yang tertinggal. Baik yang tua sampai la yang umur dua bulan pun ikut sekali. Masa balik tu singgah la kat Kubang Semang. Adik ipar aku kahwin dengan orang kampung tu. Ada la jugak dalam 4-5 kali aku pi rumah mertua adik ipar aku tu sebelum ni. Keluarga mertua dia pun baik-baik belaka. Plannya singgah kejap je pas tu nak terus balik KL tapi orang sana pelawa la bermalam di rumah dia orang pasal masa tu pun dah pukul 11 malam. Dia orang kesian agaknya pasal kita orang letih memandu. Jadi tidurlah semalam di Kubang Semang, Bukit Mertajam.

Pak Bakar tu sebenarnya nama pak mertua adik ipar aku. Aku dengan Pak Bakar ni tak dak hubungan apa-apa cuma saudara seagamalah. Tapi yang syoknya Pak Bakar ni baik orangnya. Tu lah yang buat aku respek kat dia. Di belakang rumah Pak Bakar ni ada lagi 4-5 buah rumah. Lepas 4-5 buah rumah tu terbentang luas sawah padi. Kalau kita lalu highway PLUS kat area Permatang Pauh tu kita akan jumpa sawah padi kiri kanan highway. Macam tu lah rupanya sawah padi di belakang rumah Pak Bakar. Aku sebenarnya rindu sangat dengan pemandangan sawah padi. Zaman kanak-kanak aku memang bergelumang dengan sawah. Istilah-istilah yang orang bendang je tau macam menggagau, berkubang, menimba, berderau memang membangkitkan nostalgia. Mana aku boleh lupa tahan taut dapat ikan keli dan haruan. Menggagau ikan sepat kadang-kadang dapat ular air. Kalau berkubang dalam tali air sah la kena ligan dengan orang tua-tua pasal dia orang nak mandi air tali air dah jadi macam air susu. 

Pagi sebelum balik KL tu aku melilau kat belakang rumah Pak Bakar. Ingatkan nak pi tengok bendang nak mengimbas kenangan lalu. Kebetulan Pak Bakar nampak aku kat belakang rumah dia jadi aku tanya la berapa jauh nak pi ke sawah. Dia bagi taulah dalam 4-5 biji rumah macam tu. Aku agak-agak jauh jugak kalau nak berjalan. Rumah kampung bukan macam rumah kat taman perumahan. Rumah kampung laman dia luas. Tak jadi la aku nak jalan. Pak Bakar tau yang aku memang nak sangat pi jadi dia start motor ajak la aku pi round kampung. Aku pun apa lagi, ambik kamera gantung la kat leher. Dalam perjalanan ada la jumpa orang kampung. Segan jugak aku pasal siap bawa kamera lagi. Sah la depa kata orang ni tah mai dari mana tak tau la. Tapi ak Bakar sporting. Habis dia bawa aku pusing satu kampung. Masuk jalan tengah sawah sampai la tepi highway PLUS. Sempat la jugak aku minta dia berhenti untuk aku ambil gambar. Salah satu gambar yang aku ambil tu aku jadikan header blog ini. 

Waktu aku dengan Pak Bakar round satu kampung tu lebih kurang pukul 10 pagi. Rombongan dari KL sebenarnya dah nak bergerak balik. Bila-bila masa je dia orang akan bertolak. Tapi sebab aku belum balik dia orang kena la tunggu lagi hehe. Yang bestnya bila dah habis part round kampung Pak Bakar bawa aku singgah kat warung laksa. Warung tu memang top satu kampung. Orang luar ada mai ke tak aku tak tau la. Pak Bakar order laksa campur. Ada sotong, tauhu, cucur udang, telur rebus selain dari bahan hiasan laksa yang biasa. Harga sepinggan jeng jeng jeng hanyalah RM3.00 sahaja. Laksa biasa sepinggan RM2.00. Laksa special RM3.50. KL mana nak dapat oii! Masa pi negeri paling utara hari tu aku sebenarnya nak pekena laksa Pak Su belakang Maybank Kuala Perlis. Tapi sebab kesuntukan masa tak sempat nak pi. Jadi bila Pak Bakar belanja aku makan laksa kat Kubang Semang aku rasa macam terkabul jugak la niat aku nak makan laksa. Sebab tu lah aku ingat sangat dengan pak Bakar ni. Kat bawah ni aku upload gambar-gambar yang sempat aku ambil masa round satu kampung dengan Pak Bakar tempoh hari.


Kampung aku dulu lagu ni lah.

Saujana mata memandang.

Buah padi baru nak terbit.

Laksa campur Bukit Indera Muda, Kubang Semang. Sepinggan RM3 shj.
Kedai ni tepi jalan. Bahagian belakang ada mesin laksa. Laksa basah depa buat sendiri.
Yang ni orang tempah. 100 pax ada kot. Tunggu tuan dia mai ambik.
Last but not least, terima kasih kepada Pak Bakar yang sudi bawa aku membonceng motor pusing keliling kampung dan jalan atas batas sawah padi semata-mata nak temankan aku ambil gambar dan menyaksikan panorama Kampung Kubang Semang.

Monday 6 January 2014

Keropok Lekor mana paling best? Bukit Tok Beng 2209 atau Kelulut 008.

Hujung minggu lepas aku pergi jalan-jalan bujang ke Terengganu. Pergi dengan kawan. Anak-anak dengan orang rumah tak ikut. Tu lah aku kata jalan-jalan orang bujang...haha. Aku sama la macam anda semua. Kalau pergi Terengganu mesti fikir pasal keropok lekor. Kalau tanya google keropok lekor mana yang sedap, hasilnya pasti sama ada Bukit Tok Beng 2209 (BTB2209) atau Kelulut 008. Sebelum dua-dua tu top, keropok lekor kak yah kat Losong tu yang duk ranking paling atas. Tapi sekarang ni ranking paling atas keropok lekor Terengganu memang jatuh kepada BTB2209 dengan Kelulut 008. Cuma antara BTB2209 dengan Kelulut 008 mana lagi best? Kali ini aku nak jadi pengadil kepada dua juara ni. Tapi kena ingat ye, aku cerita ni ikut selera aku dan kawan aku tu lah. Mungkin juga selera aku dan kawan aku tu tak sama dengan selera anda. Apa-apa pun kalau anda ke Terengganu anda cubalah sendiri.

Masa aku pergi ke Terengganu hari tu aku cuba merasai keenakan keropok lekor kat tiga tempat. Niat aku untuk dapat bezakan mana yang lebih sedap untuk aku beli borong bawa balik KL. Mula-mula aku try yang kat Kelulut dulu. Lokasi kedai ni kat pantai Kelulut. Kalau anda dari Dungun ke Kuala Terengganu, sebelum sampai pekan Marang anda akan jumpa kedai ni di sebelah kiri jalan. Kalau anda dari Kuala Terengganu menuju ke arah Dungun, selepas pekan Marang anda akan jumpa kedai ni di sebelah kanan jalan. Tapi sekarang ni ada landmark yang lebih mudah. Di sebelah kiri kedai ni ada stesyen minyak CALTEX. Jadi senanglah nak cari.

Kalau anda dari Kuala Terengganu menuju Dungun, sampai saja Pantai Kelulut anda akan dapat lihat sign board ini di sebelah kanan jalan.
CALTEX terletak bersebelahan dengan Kelulut 008.
Jalan menuju ke arah Dungun. Depan Kelulut 008 ialah Pantai Kelulut.
Yang ini jalan menuju ke arah Marang dan Kuala Terengganu.
Aku dengan kawan aku order keropok lekor untuk makan tak banyak sebab kami nak merasa tiga tempat campur dengan makan benda lain lagi jadi tak boleh lah nak lebih-lebih nanti melendut pulak hehe. Kawan aku ni suka makan keropok rebus. Jadi kami order la keropok goreng dan keropok rebus. Duduk je kat meja disebelah kedai tu nanti ada la pelayan tanya nak makan dan minum apa. Ini untuk makan di situ ye. Kalau anda nak bungkus borong bawa balik silalah beratur kat dalam kedai tu.

Kepok goreng dan kepok rebus.
Kepok goreng ni memang best. Kelulut 008.
Dah habis makan, memang aku dan kawan aku akui keropok lekor Kelulut 008 ni memang sedap tapi tunggu dulu ye sebab ada dua tempat lagi aku nak test. Lepas makan kita orang pun geraklah menuju ke Kuala Terengganu. Kawan aku ni lama dah tak datang Terengganu. Kira dalam puluh tahun jugak la. Jadi aku bawalah dia pergi Pasar Payang dulu. Jalan-jalan sekejap kemudian terus pergi ke Losong. Kat Losong kami singgah pulak kat kedai keropok lekor Kak Yah. Dulu-dulu yang ni top tapi semenjak dua menjak ni jadi kurang power rasa keropoknya. Apa pun kita orang cuba jugaklah. Order benda yang sama dengan masa kat Kelulut tadi. Kat sini aku tak ambil gambar pasal rasa malaslah pulak nak keluarkan kamera dari beg dia sebab tangan dah berminyak makan keropok lekor. Kalau nak dibandingkan dengan Kelulut 008 memang yang kat Kelulut lagi sedaplah. Macam mana pun aku beli jugak sikit keropok rebus untuk bawa balik KL. 

Pintu masuk Pasar Besar Kedai Payang.
Lepas tu jalan ke Pulau Wan Man sekejap. Kat sini kalau sapa tak pernah datang boleh la melawat. Nak masuk tengok replika masjid kena ambil tiket. Tah berapa aku tak tau. Taman Tamadun Islam ni sebenarnya idea Tun Abdullah Badawi. Budak-budak sekolah sesuai la melawat tempat ni. Banyak info berguna untuk dia orang. Kalau anda datang sini elakkan makan kat restoran tepi sungai tu. Mahal nak mampos bai. Ada banyak tempat lagi kat Kuala Terengganu yang anda boleh makan. Tapi kalau anda nak bersantai-santai dihembus angin laut sambil menghayati panorama masjid kristal dan Sungai Terengganu bolehlah anda lepak sambil makan atau minum kat sini.

Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam
Dah selesai melepak kat Pulau Wan Man kita orang pun bergeraklah menuju ke tempat seterusnya iaitu Bukit Tok Beng. Nak ke situ kena melalui Jambatan Sultan Mahmud yang merentangi Sungai Terengganu melalui Pulau Duyung. Sebaik-baik saja melintasi jambatan ini anda akan jumpa lampu isyarat untuk membelok ke kanan iaitu jalan menuju ke Bukit Tok Beng. Ada papan tanda arah. Anda ikut saja tanda arah tersebut. Jalan ini juga menuju ke lapangan terbang. Daripada lampu isyarat tersebut hingga jumpa kedai BTB2209 jaraknya lebih kurang 1.5 ke 2km. Kedai BTB2209 terletak disebelah kiri jalan. Jika anda jumpa 1 lagi lampu isyarat di jalan tersebut maknanya anda dah terlepas kedai BTB2209. Kedai ni dekat selekoh sikit tapi bukanlah selekoh yang tajam. Malangnya aku pun tak sempat nak snap gambar jadi tak adalah gambarnya. Keropok lekor Bukit Tok Beng ini sangat popular. Kalau anda datang musim cuti sekolah atau cuti perayaan anda kena ambil nombor dan tunggu giliran macam kat bank. Kalau setakat cuti hujung minggu macam aku pergi minggu lepas tu tak payah la ambil nombor, beratur pun ada la dalam 5-6 orang. Jika pembeli ramai dan kena ambil nombor giliran, satu nombor giliran boleh beli keropok lekor maksimum harga RM100 sahaja. Maknanya kalau nak beli lebih dari RM100 kena ambil 2 nombor giliranlah.

Kali ni kita orang order benda yang sama macam kat Kelulut dan Losong. Pada akulah kan, rasa keropok lekor goreng BTB2209 ni tak adalah power sangat. Saing-saing dengan keropok lekor Kak Yah Losong je. Jadi jika nak dibandingkan keropok lekor GORENG antara Kelulut, Losong dan Bukit Tok Beng aku kata memang confirm KELULUT 008 paling sedap. Tapi anda jangan terus pi borong semua kat Kelulut 008. Yang aku kata sedap tu hanya untuk keropok lekor goreng. Keropok lekor ni ada dua iaitu keropok goreng dan rebus. Yang biasa kita makan kat kedai dia orang tu keropok goreng. Yang selalu orang bungkus banyak-banyak tu keropok rebus. Keropok goreng bentuknya kecil macam besar jari tangan kita. Kalau keropok rebus bentuknya besar dan lebih memanjang. Tadi aku kata keropok lekor goreng Kelulut 008 paling sedap tapi untuk keropok lekor REBUS aku kata BUKIT TOK BENG (BTB2209) yang paling sedap. Jadi kalau anda nak memborong keropok lekor goreng pi lah ke KELULUT 008 dan kalau anda nak memborong keropok lekor rebus pulak pi lah ke Bukit Tok Beng 2209.

Jangan salah paham pulak ye. Keropok lekor rebus tu balik rumah nanti kena goreng jugak. Tapi ada jugak orang suka keropok rebus yang tak bergoreng macam kawan aku ni. Dia makan kat tiga-tiga kedai tu semuanya keropok rebus. Pada akulah kan, antara keropok goreng Kelulut 008 dengan keropok rebus BTB2209 aku pilih keropok goreng KELULUT 008 yang paling sedap. Lain kali kalau aku pi Terengganu aku nak borong keropok goreng Kelulut je. Keropok lekor rebus tak payah la. Jauh berbeza rasanya. Itu lidah aku la, kalau orang lain mungkin lain pulak rasanya.

Satu lagi, kalau anda dari Kuantan atau Cherating tak payah la susah-susah pi cari keropok lekor sampai ke Kuala Terengganu. Ada satu kedai tepi jalan kat sempadan Pahang - Terengganu kat pintu gerbang jual keropok lekor goreng yang sedap jugak. Nama kedai tu keropok lekor cap kapal layar. Kedai ni buat keropok lekor kecil-kecilan aje. Kalau nak beli kecil-kecilan bolehlah. Pintu gerbang dan kedai tu macam kat gambar-gambar di bawah ni.
Pintu gerbang sempadan Pahang - Terengganu di depan kedai ini.
Makcik tauke kedai kepok lekor cap kapal layar
Kedai keropok lekor cap kapal layar.