Monday 13 August 2018

Resepi Paprik yang sedap........rasanya sama macam restoran tomyam

Lama tak ke udara. Biasanya kalau lama tak update blog, pengunjung semakin berkurangan. Ibarat rumah tinggal, penuh bersawanglah jawabnya. Macam blog aku ni yang tenggelam timbul. Ada mood aku tulis, kalau tak ada mood bersawanglah jawabnya. Selalunya akan bersawanglah sebab malas nak menulis....hehe.

Hari ni sebenarnya aku bukan ada mood pun nak menulis tapi sebab aku menemui sesuatu tadi jadi elok rasanya aku tulis di sini. Bukan apa, umur dah banyak angka jadi pelupalah pulak. Kalau tak direkodkan di sini kemungkinan aku akan lupa akhirnya. Lagi pun kalau aku letakkan di sini boleh juga dikongsi dengan pembaca. Mana tau bermanfaat, dapatlah berkongsi ilmu. Panjang pulak cerita aku kan. Apa yang nak aku tulis ni ialah pasal resepi lauk paprik. Inilah makanan pilihan aku kalau pi makan kat restoran tomyam. Biasalah kalau makan kat restoran tomyam, ada yang okay masakannya dan ada jugak yang tak okay. Nasib-nasiblah.

Selalu kalau aku order nasi paprik, aku akan nilai masakan tu. Paprik mana yang lidah aku rasa sedap maka aku akan perati dan agak-agak bahan apa yang diguna yang boleh jadikan ianya sedap. Lepas tu balik rumah, jika ada masa aku cubalah buat. Selalunya tak menjadi.....hehe. Paling aku tak suka ialah paprik yang aku buat ada rasa masam sikit. Oleh sebab aku pakai prinsip "try n error" akhirnya aku dapat jawapan rasa masam itu adalah daripada sos tomato. Jadinya, sos tomato pada aku memang tak sesuai digunakan sebagai salah satu bahan untuk resepi paprik.

Hari ini aku cuba buat paprik udang. Yang sebenarnya dari malam tadi lagi aku teringin nak makan nasi paprik tapi aku tabahkan hati tunggu hari ini. Pagi tadi lepas hantar mem pergi kerja, aku balik singgah NSK Selayang beli bahan-bahan yang perlu. Dah siap beli balik rumah baru aku perasan aku lupa beli baby corn. Alamak inilah paberet aku. Nak keluar balik malas betul. Ahhh....pakai jelah apa yang ada. Lagipun aku kan bereksperimen. Tetapi untuk kali ini walaupun aku bereksperimen namun hasilnya sangat memuaskan. Aku rasa la kan, alang-alang restoran tomyam belum tentu boleh lawan kesedapan resepi paprik aku ni......haha bestnya masuk bakul angkat sendiri. Bolehlah aku katakan bahawa eksperimen resepi paprik aku berakhir di sini sebab aku dah dapat resepi paprik yang sedap dan sesuai dengan selera aku. Tengoklah ni gambarnya. Bagi hampa kecur air liur....hihi

Paprik udang hasil try n error
Baik, aku nak kongsi resepi paprik hasil try n error ini. Mudah-mudahan bermanfaat. Siapa nak cuba, silalah. Nak share boleh nak copy pun boleh. 

Resepi Paprik Udang (ayam, sotong atau campur pun boleh)
(untuk satu hidangan sahaja)
Bahan-bahan
6 ekor udang
2 ulas bawang putih (diketuk)
1 tangkai serai (diketuk)
1/4 bahagian drpd sebiji bawang Holland (hiris kasar)
4-5 tangkai cili api (diketuk) - kalau nak lebih pedas tambah lagi 
1 sudu makan cili kisar
1 sudu makan sos tiram*
1 sudu makan kicap manis*
1 sudu makan sos cili*
1 sudu makan sos ikan*
1 sudu makan Mae Pranom Thai Tom Yum chili paste* (rujuk gambar di akhir entri ini)
sedikit kubis bunga
1-2 tangkai kacang panjang
1/4 bahagian drpd sebatang carrot
1 tongkol baby corn
3-4 sudu makan minyak masak
1/2 cawan air 
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil gula 
1-2 helai daun limau purut (aku tak buh pasal aku tak suka)

 Cara masak
1. Bersihkan udang. Nak buang kepala boleh tak nak buang pun ok. Ikut suka nak macam mana. Aku suka kepala udang jadi aku tak buang kepala dia cuma aku potong muncung tajam dan janggut.
2. Sayur kubis bunga, kacang panjang, carrot dan baby corn potonglah ikut kegemaran hampa. Tapi aku bagi tau siap-siap sayuran ni jangan banyak sangat. Ikut sukatan yang aku bagi tu dah memadai. Masa belum potong memang nampak sikit tapi bila dah disatukan ianya akan jadi banyak.
2. Dalam bekas yang berasingan, satukan semua bahan yang bertanda *
3. Panaskan minyak tapi jangan sampai berasap. Panas sederhana dah le. lepas tu masukkan bawang putih. Tumis bagi naik bau kemudian masukkan cili kisar dan serai. Tumis lagi bagi pecah minyak.
4. Masukkan cili api diikuti oleh bahan yang bertanda *. Gaul rata kemudian masukkan udang. Biarkan sekejap.
5. Masukkan sayur dan bawang holland. Gaul rata kemudian tambah air kemudian masukkan daun limau purut (jika ada). Kalau air tu hampa rasa kurang bolehlah tambah tapi jangan tambah banyak sangat sebab ianya akan memberi kesan pada rasanya kelak. Bila menggelegak tambahlah garam dan gula. Perasakan dulu sukatan yang aku bagi tu. Tambah apa yang patut jika kurang kemasinan atau kemanisannya. Tapi rasanya sukatan gula dan garam tu dah ngam. Untuk paprik ni nisbah garam dan gula yang aku tetapkan ialah 1:2. Kalau hampa nak tambah serbuk perisa makanan pun boleh. Bila dah dapat rasa yang ngam matikan api. Lama sangat nanti sayur jadi lembut tak sedap dimakan.

*Daun limau purut akan beri kesan kepada rasa paprik. Sapa suka boleh buh, tak suka macam aku maka abaikan sahaja bahan ini.

Berikut ialah gambar Mae Pranom Thai Tom Yum chili paste. Ada logo halal In Shaa Allah boleh digunakan tanpa was-was. Restoran tomyam pun duk pakai paste yang satu ini;

Thai Chili Paste Maepranom

Yang ini anak buah aku baru balik sekolah tengok aku tengah pulun dia mai join sekali hehe...

Semoga bermanfaat dan sehingga berjumpa lagi :)