Wednesday 4 February 2015

Jualan kerepek harga kilang.

Update terkini (18.2.2017);
Kepada pembaca dan pengunjung blog ini, entri  Jualan kerepek harga kilang saya upload pada 4.2.2015. Oleh kerana iklim perniagaan tidak begitu memberangsangkan sejak pengenalan GST, terdapat beberapa produk yang tidak lagi dihasilkan oleh perusahaan ini. Untuk maklumat terkini, sila berhubung terus dengan pemilik perusahaan melalui nombor telefon yang tertera dalam rencana ini. Harap maklum. Sekian, terima kasih.

Minggu lepas aku berkesempatan singgah di Sungai Siput (Utara), Perak. Tujuan aku ke sana adalah untuk mencari kerepek. Kata orang kalau pergi ke kilangnya, harganya juga dikira harga kilang. Kira murah banyaklah. Aku nak syorkan kepada pembaca kalau nak beli kerepek dalam kuantiti yang banyak bolehlah menghubungi pengeluarnya sendiri yang akan aku berikan contact no mereka nanti. Pada aku memang betullah harganya murah, banyak beza harganya berbanding dengan yang biasa kita beli di kedai. Yang paling bestnya, anda tak perlu pergi ke Sungai Siput semata-mata untuk membeli kerepek. Kalau anda berada di Kuala Lumpur, anda boleh tempah awal-awal dengan menghubungi pihak pengilang kemudian anda boleh ambil tempahan anda di pasar tani Taman Melawati, Kuala Lumpur pada setiap hari Sabtu. Jika anda berada di Ipoh, anda boleh ambil tempahan anda di pasar tani stadium Ipoh atau di Medan Gopeng. Mereka yang tinggal di Kuala Kangsar boleh ambil tempahan di Lembah Kuala Kangsar pada setiap hari Ahad. Senang, mudah dan harga pun murah. Kalau anda nak buat kenduri kawin, boleh juga tempah kuih bahulu atau kerepek untuk diberikan kepada tetamu sebagai jajan.

Mula-mula kita terjah dulu lokasi pengeluar kerepek yang aku maksudkan ini. Lokasinya ialah di Pusat Intergrasi dan Pemborong IKS FAMA Sungai Siput (U), Perak. AKu difahamkan premis ini adalah milik FAMA dan pengeluar kerepek merupakan pihak yang diamanahkan oleh FAMA untuk mengendalikan premis tersebut. Jom kita lihat lokasi premis tersebut secara tepat melalui google map yang aku copy paste seperti di bawah ini.

Titik merah ialah lokasi Pusat Intergrasi dan Pemborongan IKS FAMA (PUSPRO), Sungai Siput (U), Perak.


Papan tanda besar di hadapan premis.
Premis Puspro FAMA terletak berhadapan dengan Kilang Papan Pasifik Abadi.
Jalan di hadapan premis.
Puspro FAMA dilihat dari hadapan pintu pagar utama.
Industrial Oven digunakan dalam proses penghasilan produk mereka.
Dapur besar dan moden yang digunakan untuk menggoreng kerepek.

Senarai harga. Anda bandingkan sendiri dengan harga pasaran semasa.
Kerepek ubi masin.
Kerepek ubi pedas basah.
Kerepek ubi perisa lada hitam.
Kerepek ubi BBQ.
Kerepek bawang.

Jejari ikan bilis.
Jejari udang.
Pagoda udang.
Keropok kacang dhall.
Rempeyek mini.
Buah Rotan.
Maruku.
Bahulu.
Rempeyek kacang tanah dan rempeyek kacang hijau.
Rempeyek kacang dhall.
Kuih karas.
Kuih sepit.
Jika anda rasa nak tempah dari KL atau dari Ipoh atau dari Kuala Kangsar anda boleh hubungi nama dan nombor telefon dalam gambar di bawah ini. Perniagaan ini adalah perniagaan keluarga dan telah beroperasi sekian lama di premis Puspro FAMA yang ada sekarang. Premis ini sendiri telah di buka pada tahun 1984 sebagai bilik sejuk sebelum ditukar fungsinya menjadi pusat pengumpulan dan jualan IKS seperti yang ada sekarang.
Dirasmikan oleh YB Dato' Abdul Manan Othman, Menteri Pertanian ketika itu.
Hubungi nombor yang tertera sekiranya anda ingin menempah produk keluaran mereka.

Fotografi "Light Painting"

Light Painting atau melukis foto dengan cahaya. Tekniknya mudah dan semua orang boleh buat jika ada peralatan yang lengkap. Peralatan yang wajib ada ialah kamera DSLR, tripod, lampu suluh atau sumber cahaya lain yang boleh digunakan untuk melukis cahaya. Ada tiga peralatan asas tersebut sudah mencukupi untuk menghasilkan light painting. Selebihnya bergantung kepada idea kreatif kita sendiri.

Ini ialah foto light painting aku yang pertama. Guna lilin sebagai sumber untuk melukis cahaya.
























Light painting aku yang kedua. Guna mainan kanak-kanak yang ada lampu LED.
























Light painting seterusnya semakin baik. Belajar dari pengalaman.
























Yang ni aku snap kat tepi rumah lebih kurang pukul 9 malam.
Seperti bubu ikan yang bercahaya.
Bubu ikan warna biru. Ikan pun takut nak datang.
Jalan ke kiri dan kanan sambil pusingkan tangan yang memegang lampu.
Yang ini ditujukan khas untuk mereka yang sedang dilamun cinta.
























Semua gambar di atas aku buat sendirian. Lokasinya sama ada di dalam bilik yang gelap atau pun di luar rumah pada waktu malam kerana light painting photography memerlukan keadaan yang gelap. Untuk dapatkan gambar-gambar di atas tadi tu aku gunakan mode manual. Shutter speed dalam lingkungan 10 hingga 30 saat. Jika perlukan masa lebih panjang boleh gunakan BULB. ISO aku set pada 200. Aperture pulak antara f8 ke f22. Focal lenght pula mengikut kesesuaian. Ini bermakna keseluruhan gambar tersebut adalah under expose. Dalam teknik light painting, exposure memang sengaja disetkan under expose supaya objek-objek lain selain sumber cahaya tidak kelihatan.

Secara ringkas, aku ikut aturan berikut untuk misi light painting;
1. Buat dalam bilik yang gelap atau diluar rumah pada waktu malam. Kalau di luar rumah pastikan kawasan tersebut gelap dan tiada gangguan cahaya seperti cahaya dari lampu kereta dan sebagainya.
2. Pasang kamera pada tripod dan pastikan sudut yang sesuai untuk dapatkan komposisi gambar yang sesuai. Setkan fokus, boleh guna manual atau auto. Aku guna manual sebab pada waktu malam auto susah nak dapatkan focus point.
3. Gunakan mode manual. Set exposure yang dikehendaki iaitu shutter speed antara 10 ke 30 saat, ISO 200 dan aperture antara f8 ke f22.
4. Setkan timer pada kamera. Aku set 10 saat. Kalau ada remote control lebih bagus.
5. Padamkan lampu bilik dan mula ambil gambar.
6. Snap gambar berulangkali untuk dapatkan exposure dan komposisi gambar yang sesuai.


Light painting yang cantik dan kreatif. Gambar bukan milik aku. Gambar ini aku ambil dari sini http://hackdaddy.deviantart.com/art/Light-Painting-77821335
Mudah sahaja nak buat light painting ni. Jika kita ada peralatan yang mencukupi tambah saja dengan kreativiti maka dapatlah hasil light painting yang cantik. Kalau anda google carian light painting anda akan jumpa banyak gambar yang kreatif dan cantik yang boleh dijadikan rujukan untuk anda buat light painting sendiri.

Tuesday 3 February 2015

Kuala Sepetang @ Port Weld dengan Mee Udangnya.

Orang kata mee udang Kuala Sepetang sedap. Aku tak pernah rasa. Lagipun aku bukanlah peminat mee udang. Mee goreng saja yang aku boleh masuk. Mee rebus aku boleh terima lagi. Lain-lain mee macam mee kari, mee jawa, mee bandung dan sebagainya memang aku tak minat langsung. Hujung minggu ini cuti panjang untuk penduduk Wilayah Persekutuan. Sabtu dan Ahad cuti hujung minggu ditambah dengan cuti Hari Wilayah yang jatuh pada 1 hb Febuari iaitu hari Ahad maka digantikan dengan hari Isnin. Selasa pulak cuti umum Thaipusam. Empat hari cuti agak panjang juga. Aku ambil kesempatan cuti ini untuk merasa mee udang Kuala Sepetang. 

Kuala Sepetang amat sesuai untuk sesiapa yang suka menghayati sejarah dan menikmati panorama alam sekitar. Ada Pusat Eko Pendidikan Hutan Paya Laut Matang. Hutan Paya Laut adalah merujuk terutamanya kepada hutan bakau. Sistem pengurusan Hutan Paya Laut Matang telah berusia lebih 110 tahun pada tahun ini dan ia merupakan kawasan hutan pokok bakau tertua dan diiktiraf sebagai hutan bakau yang terbaik dari segi pengurusan dan pentadbiran hutan. Di Kuala Sepetang juga ada kelip-kelip macam di Kuala Selangor dan aku difahamkan kat sini kelip-kelipnya lagi banyak daripada tempat lain. Di muara sungai pula kalau bernasib baik boleh jumpa ikan lumba-lumba. Kalau kena musimnya pula, boleh lihat burung migrasi yang menjadikan hutan bakau sekitar Kuala Sepetang sebagai tempat persinggahan. Ada pakej menaiki bot untuk menyusuri perairan sekitar Kuala Sepetang. Di sini juga merupakan pusat pengeluaran kayu arang bermutu tinggi. Anda boleh melawat relau yang membakar kayu bakau sehingga menjadi kayu arang. Dalam sejarah Malaysia, landasan keretapi yang pertama dibina ialah dari Taiping ke Kuala Sepetang (yang ketika itu dikebali sebagai Port Weld).


Pakej menyusuri sungai dan muara Kuala Sepetang yang ditawarkan oleh salah satu daripada beberapa operator pelancongan yang ada di sini.
Mr Lim, salah seorang ejen/pemandu pelancong yang boleh membawa anda menaiki bot menyusuri sungai dan muara Kuala Sepetang. Boleh dihubungi di no 010 5171025.
Di Kuala Sepetang juga ada Kota Ngah Ibrahim atau Muzium Sejarah Matang. Ngah Ibrahim adalah  anak kepada Long Jaafar, pembesar Melayu pada zaman penjajahan Inggeris. Beliau bersama-sama dengan Sultan Abdullah, Laksamana Wan Muhammad Amin, Syahbandar Uda Mahamor dan pejuang-pejuang Perak yang lain telah dibuang ke Pulau Seychelles selama lebih 17 tahun kerana dituduh bersubahat dalam pembunuhan J.W.W Birch, Resident Inggeris yang pertama di Perak pada 2 November 1875. Ngah Ibrahimlah yang memajukan Larut sebagai pusat pengeluaran bijih timah ketika itu. 

Berbalik kepada cerita mee udang, kalau memandu dari Kuala Lumpur ambil masa lebih kurang tiga ke tiga jam setengah untuk sampai ke Kuala Sepetang. Ada tiga peniaga mee udang yang popular di sini iaitu Mak Jah, Salleh Stall dan Mak Teh. Aku rasa yang paling ramai pengunjung ialah Restoran Mak Jah diikuti oleh Sallleh Stall dan Restoran Mak Teh. Tapi yang paling lama berniaga mee udang di Kuala Sepetang ni ialah Salleh Stall iaitu semenjak tahun 1956, satu tahun sebelum merdeka lagi. Ketiga-tiga restoran ini senang dicari. Dari Simpang, Taiping ke Kuala Sepetang kita akan jumpa Restoran Mak Teh terlebih dahulu. Selepas itu kita akan jumpa Pusat Eko Pendidikan Hutan Paya Laut Matang di sebelah kanan. Kemudian barulah jumpa Restoran Mak Jah di sebellah kiri jalan. Restoran Mak Jah ni senang untuk dicam kerana anda akan jumpa berderet-deret kereta parking di kiri dan kanan bahu jalan. Semua tu nak pi makan kat Restoran Mak Jah.

Restoran Salleh Stall pula terletak di pekan Kuala Sepetang. Pekan Kuala Sepetang tak besar mana pun. Sekali pusing pekan ni boleh terus jumpa Salleh Stall. Salleh Stall ni terletak dekat dengan jeti pendaratan ikan. Jadi kalau anda nak makan mee udang dan kemudian cari ikan segar eloklah anda ke Salleh Stall. Dari situ anda berjalan kaki ke penghujung jalan dan anda akan jumpa jeti yang dimaksudkan. Jaraknya lebih kurang 150 ke 200 meter sahaja. Jeti untuk menaiki bot menyusuri muara dan sungai Kuala Sepetang juga terletak berhampiran restoran Salleh Stall. Jaraknya lebih kurang 300 ke 400 meter. Ke sinilah aku hujung minggu tadi. Bangunan utama Restoran Salleh Stall memang tersangatlah antiknya. Di sebelah bangunan utama ada di bina struktur berbumbung yang baru untuk pelanggan menikmati mee udangnya. Selain menu utama iaitu mee udang ada juga menu lain seperti mee goreng, kuey teow goreng, kuay teow udang dan bihun udang. Menu nasi tak ada.

Salleh Stall terletak di pekan Kuala Sepetang. Jalan ke kanan Salleh Stall adalah jalan ke jeti pendaratan ikan.

Bangunan utama Salleh Stall beratapkan zink yang sungguh antik. Memang betullah "since 1956".
Dah separuh baru teringat nak snap gambar. Udang yang digunakan memang segar. Kulit udang dibuang, hanya tinggal kulit pada kepala dan ekor sahaja. Janggut udang pun dipotong tak macam restoran lain.
Sebahagian pelanggan yang khusyuk menikmati mee udang.
Tinggal kulit dengan kepala udang sahaja.
Aku pekena mee goreng. Mee goreng udanglah senang cerita. Dah selesai baru aku terinagt nak ambil gambar. Udang ada 6-7 ekor. Besar-besar pulak tu. Udang laut, bukannya udang ternak.

Jeti bot untuk "sightseeing" Kuala Sepetang
Bot seperti ini digunakan untuk sightseeing. Boleh memuatkan sehingga 50 penumpang. Jaket keselamatan disediakan.
Pemandangan menghala ke hulu.
Yang ini menghala ke muara.
Jalan di hadapan jeti pelancongan. Di hujung jalan ini terletaknya Salleh Stall.
Gerai menjual ikan segar di hadapan jeti pelancongan. Di sini ikan tak sebanyak yang terdapat di jeti perikanan dekat Salleh Stall.
Kali ini aku terjah Kuala Sepetang semata-mata nak rasa mee udangnya yang famous tu jadi aku tak rancang untuk buat aktiviti lain selain makan. Lain kali aku akan datang semula sebab "sightseeing tour" memang jadi kegemaran aku. Aku rasa kena tinggal sekurang-kurangnya sehari semalam di sini barulah puas menjelalah kilang kayu arang, hutan bakau dan panorama di perairan Kuala Sepetang. Sesiapa yang nak ke sana kalau dari KL ikut lebuhraya PLUS exit Changkat Jering kemudian ambil jalan persekutuan lama ke arah kiri sehingga jumpa simpang yang nak ke Taiping arah kanan. Ambil simpang ke kiri ke arah Kuala Sepetang. Kalau  dari utara, ambil exit Taiping Utara dan masuk jalan persekutuan lama arah kanan sehingga jumpa simpang ke Taiping ambil simpang ke kanan arah Kuala Sepetang. Ada banyak signboard yang menunjukkan arah. Anda pasti tak akan sesat.