Orang kata mee udang Kuala Sepetang sedap. Aku tak pernah rasa. Lagipun aku bukanlah peminat mee udang. Mee goreng saja yang aku boleh masuk. Mee rebus aku boleh terima lagi. Lain-lain mee macam mee kari, mee jawa, mee bandung dan sebagainya memang aku tak minat langsung. Hujung minggu ini cuti panjang untuk penduduk Wilayah Persekutuan. Sabtu dan Ahad cuti hujung minggu ditambah dengan cuti Hari Wilayah yang jatuh pada 1 hb Febuari iaitu hari Ahad maka digantikan dengan hari Isnin. Selasa pulak cuti umum Thaipusam. Empat hari cuti agak panjang juga. Aku ambil kesempatan cuti ini untuk merasa mee udang Kuala Sepetang.
Kuala Sepetang amat sesuai untuk sesiapa yang suka menghayati sejarah dan menikmati panorama alam sekitar. Ada Pusat Eko Pendidikan Hutan Paya Laut Matang. Hutan Paya Laut adalah merujuk terutamanya kepada hutan bakau. Sistem pengurusan Hutan Paya Laut Matang telah berusia lebih 110 tahun pada tahun ini dan ia merupakan kawasan hutan pokok bakau tertua dan diiktiraf sebagai hutan bakau yang terbaik dari segi pengurusan dan pentadbiran hutan. Di Kuala Sepetang juga ada kelip-kelip macam di Kuala Selangor dan aku difahamkan kat sini kelip-kelipnya lagi banyak daripada tempat lain. Di muara sungai pula kalau bernasib baik boleh jumpa ikan lumba-lumba. Kalau kena musimnya pula, boleh lihat burung migrasi yang menjadikan hutan bakau sekitar Kuala Sepetang sebagai tempat persinggahan. Ada pakej menaiki bot untuk menyusuri perairan sekitar Kuala Sepetang. Di sini juga merupakan pusat pengeluaran kayu arang bermutu tinggi. Anda boleh melawat relau yang membakar kayu bakau sehingga menjadi kayu arang. Dalam sejarah Malaysia, landasan keretapi yang pertama dibina ialah dari Taiping ke Kuala Sepetang (yang ketika itu dikebali sebagai Port Weld).
|
Pakej
menyusuri sungai dan muara Kuala Sepetang yang ditawarkan oleh salah
satu daripada beberapa operator pelancongan yang ada di sini. |
|
Mr
Lim, salah seorang ejen/pemandu pelancong yang boleh membawa anda
menaiki bot menyusuri sungai dan muara Kuala Sepetang. Boleh dihubungi
di no 010 5171025. |
Di Kuala Sepetang juga ada Kota Ngah Ibrahim atau
Muzium Sejarah Matang. Ngah Ibrahim adalah anak kepada Long Jaafar,
pembesar Melayu pada zaman penjajahan Inggeris. Beliau bersama-sama dengan
Sultan Abdullah, Laksamana Wan Muhammad Amin, Syahbandar Uda Mahamor dan
pejuang-pejuang Perak yang lain telah dibuang ke Pulau Seychelles selama lebih
17 tahun kerana dituduh bersubahat dalam pembunuhan J.W.W Birch, Resident
Inggeris yang pertama di Perak pada 2 November 1875. Ngah Ibrahimlah yang
memajukan Larut sebagai pusat pengeluaran bijih timah ketika itu.
Berbalik kepada cerita mee udang, kalau memandu
dari Kuala Lumpur
ambil masa lebih kurang tiga ke tiga jam setengah untuk sampai ke Kuala
Sepetang. Ada
tiga peniaga mee udang yang popular di sini iaitu Mak Jah, Salleh Stall dan Mak
Teh. Aku rasa yang paling ramai pengunjung ialah Restoran Mak Jah diikuti oleh
Sallleh Stall dan Restoran Mak Teh. Tapi yang paling lama berniaga mee udang di
Kuala Sepetang ni ialah Salleh Stall iaitu semenjak tahun 1956, satu tahun
sebelum merdeka lagi. Ketiga-tiga restoran ini senang dicari. Dari Simpang,
Taiping ke Kuala Sepetang kita akan jumpa Restoran Mak Teh terlebih dahulu.
Selepas itu kita akan jumpa Pusat Eko Pendidikan Hutan Paya Laut Matang di sebelah
kanan. Kemudian barulah jumpa Restoran Mak Jah di sebellah kiri jalan. Restoran
Mak Jah ni senang untuk dicam kerana anda akan jumpa berderet-deret kereta
parking di kiri dan kanan bahu jalan. Semua tu nak pi makan kat Restoran Mak
Jah.
Restoran Salleh Stall pula terletak di pekan Kuala Sepetang.
Pekan Kuala Sepetang tak besar mana pun. Sekali pusing pekan ni boleh terus
jumpa Salleh Stall. Salleh Stall ni terletak dekat dengan jeti pendaratan ikan.
Jadi kalau anda nak makan mee udang dan kemudian cari ikan segar eloklah anda
ke Salleh Stall. Dari situ anda berjalan kaki ke penghujung jalan dan anda akan
jumpa jeti yang dimaksudkan. Jaraknya lebih kurang 150 ke 200 meter sahaja.
Jeti untuk menaiki bot menyusuri muara dan sungai Kuala Sepetang juga terletak
berhampiran restoran Salleh Stall. Jaraknya lebih kurang 300 ke 400 meter. Ke
sinilah aku hujung minggu tadi. Bangunan utama Restoran Salleh Stall memang
tersangatlah antiknya. Di sebelah bangunan utama ada di bina struktur
berbumbung yang baru untuk pelanggan menikmati mee udangnya. Selain menu utama
iaitu mee udang ada juga menu lain seperti mee goreng, kuey teow goreng, kuay
teow udang dan bihun udang. Menu nasi tak ada.
|
Salleh Stall terletak di pekan Kuala Sepetang. Jalan ke kanan Salleh Stall adalah jalan ke jeti pendaratan ikan. |
|
Bangunan utama Salleh Stall beratapkan zink yang sungguh antik. Memang betullah "since 1956". |
|
Dah
separuh baru teringat nak snap gambar. Udang yang digunakan memang
segar. Kulit udang dibuang, hanya tinggal kulit pada kepala dan ekor
sahaja. Janggut udang pun dipotong tak macam restoran lain. |
|
Sebahagian pelanggan yang khusyuk menikmati mee udang. |
|
Tinggal kulit dengan kepala udang sahaja. |
|
Aku
pekena mee goreng. Mee goreng udanglah senang cerita. Dah selesai baru
aku terinagt nak ambil gambar. Udang ada 6-7 ekor. Besar-besar pulak tu.
Udang laut, bukannya udang ternak. |
|
Jeti bot untuk "sightseeing" Kuala Sepetang |
|
Bot seperti ini digunakan untuk sightseeing. Boleh memuatkan sehingga 50 penumpang. Jaket keselamatan disediakan. |
|
Pemandangan menghala ke hulu. |
|
Yang ini menghala ke muara. |
|
Jalan di hadapan jeti pelancongan. Di hujung jalan ini terletaknya Salleh Stall. |
|
Gerai menjual ikan segar di hadapan jeti pelancongan. Di sini ikan tak sebanyak yang terdapat di jeti perikanan dekat Salleh Stall. |
Kali ini aku terjah Kuala Sepetang semata-mata nak rasa mee
udangnya yang famous tu jadi aku tak rancang untuk buat aktiviti lain selain
makan. Lain kali aku akan datang semula sebab "sightseeing tour"
memang jadi kegemaran aku. Aku rasa kena tinggal sekurang-kurangnya sehari
semalam di sini barulah puas menjelalah kilang kayu arang, hutan bakau dan
panorama di perairan Kuala Sepetang. Sesiapa yang nak ke sana kalau dari KL ikut lebuhraya PLUS exit
Changkat Jering kemudian ambil jalan persekutuan lama ke arah kiri sehingga
jumpa simpang yang nak ke Taiping arah kanan. Ambil simpang ke kiri ke arah
Kuala Sepetang. Kalau dari utara, ambil exit Taiping Utara dan masuk
jalan persekutuan lama arah kanan sehingga jumpa simpang ke Taiping ambil simpang
ke kanan arah Kuala Sepetang. Ada
banyak signboard yang menunjukkan arah. Anda pasti tak akan sesat.
No comments:
Post a Comment