Friday 30 January 2015

Wanita berakhlak mulia.

Kelmarin aku makan tengah hari dengan kawan di satu restoran yang baru dibuka. Aku ni bukanlah suka sangat cuba makanan di mana-mana restoran pun tapi kawan aku sorang ni macam tertarik je dengan restoran baru yang satu ini. Restoran ni berkonsepkan asam pedas. Menu lain pun ada juga dijual cuma barangkali menu istimewanya ialah asam pedas. Aku tak makan pun. Setakat minum je. Kiranya niat aku menemankan kawan sajalah.

Masa kami mula nak masuk restoran aku perasan ada seorang tua berbangsa India yang jadi jaga kat pejabat disebelah restoran tu. Dia duduk atas kerusi di depan tangga naik ke pejabat tersebut. Kesian aku tengok pakcik berbangsa India tu. Aku agak umurnya dah 60an kut tapi masih lagi perlu bekerja untuk mencari nafkah hidup. Aku terfikir, mana anak-anak pakcik tu. Sanggup dia orang membiarkannya bekerja di usia sedemikian. Atau barangkali juga pakcik tu tak ada anak. Mungkin juga dia tak pernah berkahwin. Wallahu a'lam. Berdasarkan bentuk tubuhnya aku rasa pakcik tu bukannya sihat sangat. Badannya agak kurus. Simpati aku bila tengok fizikal keadaannya.

Aku dan kawan aku pilih meja tepi berdekatan kaki lima restoran. Di kawasan kaki lima pun ada meja juga. Agak ramai pelanggan di restoran ini sebab waktu tu ialah waktu makan tengah hari. Sebelah meja kami di bahagian kaki lima restoran ada seorang wanita Melayu bertudung. Barangkali umurnya lewat 40an. Makan seorang diri. Wanita ini datang lebih awal dari kami jadi makanannya pun dah habis. Selepas wanita itu memanggil pelayan untuk bayar harga makanan dan minumannya tiba-tiba dia memanggil pakcik India yang kerja jaga tadi. Bila pakcik jaga tu datang aku nampak wanita itu hulurkan duit. Pakcik jaga tu nampak happy dengan pemberian wanita tersebut. Rupanya apa yang aku fikir, ada juga orang lain yang berfikiran sama macam aku. Aku kesian bila tengok pakcik jaga tu walaupun dia berbangsa India. Rupanya orang lain iaitu wanita yang makan kat meja sebelah aku pun rasa begitu sebab itulah agaknya dia bagi duit kat pakcik tu.

Itulah contoh akhlak mulia yang patut ada pada kita semua. Aku teringat tazkirah seorang ustaz berkaitan dengan akhlak manusia. Katanya akhlak yang baik dinilai melalui sifat dan sikap. Sifat kita tak boleh nampak tapi sikap kita boleh nampak dengan jelas. Kedua-duanya mesti baik. Jika hanya salah satu sahaja yang ada maka tidaklah dikatakan seseorang tu berakhlak mulia. Wanita tadi mempunyai sifat pemurah yang ditunjukkan dengan sikap yang baik iaitu suka bersedekah. Kita tidak dapat melihat sifat pemurah yang ada dalam dirinya namun kita dapat melihat sikapnya yang suka bersedekah. Sesungguhnya apa yang berlaku di sekeliling kita tidak terjadi dengan sia-sia melainkan ada pengajaran yang berguna untuk diambil ikhtibar oleh manusia yang mahu berfikir. Mudah-mudahan kita termasuk ke dalam golongan orang yang sentiasa berfikir. Firman Allah swt:

Dan Dia telah menundukan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) dari padanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar benar terdapat tanda tanda ( kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.
 (Al-Quran Surah Al-Jathiyah: 13).

No comments:

Post a Comment