Bandar ini selalu ada di hati aku. Walaupun bukan kampung asal aku tapi banyak jugak usia aku dihabiskan di sini. Aku pernah menoreh getah di kampung Tanah Merah masa zaman aku belajar dulu. Masa tu aku tinggal bersama abang aku di Lubuk Merbau. Kampung Lubuk Merbau terletak di jalan Kuala Kangsar Lenggong. Kampung ni memang cantik sebab ada sawah padi yang berlatar belakang banjaran gunung titiwangsa. Dua puluh tahun lalu hanya ada jalan lama tapi sekarang ni dah ada jalan baru yang lebih lebar dan memendekkan masa untuk sampai ke pekan Lenggong dan Gerik. Sekali sekala kalau aku dalam perjalanan balik atau pergi ke utara dari Kuala Lumpur pasti aku akan singgah di Kuala Kangsar tambahan pula abang aku masih menetap di sana cuma sekarang tinggal di Talang, bukan lagi di Lubuk Merbau. Lubuk Merbau dengan Talang bukannya jauh pun. Dalam 3-4 km sahaja.
Aku paling suka pemandangan kampung sekitar Kuala Kangsar. Paling best yang ada sawah padi. Kalau di kampung asal aku nun di utara, pemandangan sawah padi perkara biasa malahan lagilah luas berbanding dengan sawah padi kat Kuala Kangsar. Tapi keunikan sawah padi di Kuala Kangsar ialah ianya berlatar belakangkan gunung-ganang. Kalau di sebelah pagi ternampak jelas kabus menyelubungi puncak gunung. Masa dulu pagi-pagi aku selalu duduk di tangga melihat sawah padi dan puncak gunung yang berkabus. Latar belakangnya seolah-olah sama seperti yang digambarkan oleh penulis terkenal Allahyarham Azizi Haji Abdullah (Al Fatihah kepada Allahyarham) dalam novel "Seorang Tua Di Kaki Gunung".
Dari Lubuk Merbau aku selalu berbasikal ke Kampung Tanah Merah. Kampung Tanah Merah ni ialah jalan pintas ke Sungai Siput tanpa melalui pekan Kuala Kangsar. Kalau lalu ikut Kampung Tanah Merah kita akan keluar ke jalan Kuala Kangsar - Ipoh melalui Kampung Jamuan sebelum Jambatan Sultan Iskandar yang merentangi Sungai Perak.
Sekarang ni jalan Lubuk Merbau - Kampung Tanah Merah - Beluru - Kampung Jamuan - keluar ke Jalan Kuala Kangsar Ipoh sebelum Jambatan Iskandariah, dijadikan jalan alternatif untuk mereka yang nak ke Sungai Siput atau Ipoh. Kalau anda dari lebuhraya PLUS exit Kuala Kangsar anda akan jumpa lampu isyarat. Arah kanan ke Kuala Kangsar dan arah kiri ke Padang Rengas. Pada persimpangan ini anda akan lihat papan tanda jalan alternatif ke Ipoh menunjukkan arah terus. Jalan ini ialah jalan ke Lenggong dan Gerik tapi jika anda nak ke Ipoh, anda perlu belok kiri pada persimpangan lampu isyarat selepas Kampung Lubuk Merbau menuju ke Kampung Tanah Merah. Kalau anda lalu siang hari anda pandulah perlahan sebab ada pemandangan cantik yang agak tersembunyi di sini. Perhatikan kiri kanan jalan, di tempat-tempat tertentu anda akan jumpa pemandangan kampung dan lembah yang dijadikan sawah padi
|
Inilah pemandangan sawah padi yang aku maksudkan. |
|
|
Disebabkan jalan raya agak tinggi, kita dapat lihat pemandangan kampung dan sawah padi dengan jelas. Macam aku kata awal tadi, nak jumpa kawasan yang boleh lihat pemandangan macam ni kena jalan perlahan. Kalau pandu laju kemungkinan besar anda akan terlepas. Bukan semua sawah padi di sini terletak di tepi jalanraya. Hanya di dua tiga tempat sahaja yang sawah padinya terletak hampir dengan jalanraya.
|
Yang putih tengah sawah tu ialah kawanan burung bangau mencari makan. |
|
|
|
Keliling sawah ni terdapat banyak rumah kampung. | | |
|
Rumah yang cantik di tepi sawah. |
|
|
Tepi sawah banyak dengan pokok buah-buahan. |
|
|
Inilah Kampung Tanah Merah. Cantik pemandangan kampung ini. |
|
Pada setiap Ahad akan ada pasar hari kat lembah Sungai Perak di Pekan Kuala Kangsar. Macam-macam barang ada. Tapi kat lembah ni yang popularnya ialah laksa dan cendol. Dulu-dulu hari Ahad rajin jugak aku datang sini. Dari lembah ni, naik ke atas sikit ialah Bukit Chandan. Di kawasan inilah terletaknya banyak tempat menarik seperti Masjid Ubudiah, Istana Iskandariah, Galeri Sultan Azlan Shah serta istana lama yang dikenali sebagai Istana Kenangan (sekarang Muzium DiRaja Perak).
|
Lembah Sungai Perak, Kuala Kangsar dilihat dari Kampung Sayong Lembah. |
|
Jambatan Sultan Abdul Jalil menghubungkan Kampung Sayong Lembah dan Pekan Kuala Kangsar. |
|
Masjid Ubudiah mempunyai rekabentuk yang sangat cantik. |
|
Istana Kenangan juga dikenali sebagai Istana Tepas dan Istana Lembah. Sekarang adalah Muzium DiRaja Perak. |
|
|
Kalau anda pernah melalui Jalan Kuala Kangsar Ipoh, ada satu pekan kecil namanya Karai. Nak jumpa pekan kecil ni kena masuk ke dalam sikit lebih kurang satu atau dua kilometer. Di sini ada Jambatan Victoria yang dibina dari bulan Disember 1897 dan siap pada Mac 1900. Jambatan ini dirasmikan oleh Sultan Perak ketika itu iaitu Sultan Idris Shah 1 bersama dengan Resident General British Sir Frank Swettenham.
|
Jambatan Victoria yang dibina pada zaman British. |
Jambatan ini dibina untuk laluan keretapi dan juga pejalan kaki. Sekarang ini, di sebelah jambatan ini ada satu lagi jambatan yang baru yang lebih besar dan lebih canggih dibina untuk memberi laluan kepada projek landasan keretapi berkembar elektrik Ipoh-Padang Besar.
Artikel dan foto-foto menarik! Kunjungi juga Longji Rice Terraces di Guilin China. Baca juga artikel di stenote-berkata.blogspot.com/2017/12/sawah-padi-di-longji.html.
ReplyDeleteLihat juga video di Youtube https://youtu.be/-FEADXHsiSM