Monday, 12 January 2015

Resepi Ayam Goreng ala "KFC Crispy Fried Chicken"

Hari ni rasa terasa nak makan ayam goreng ala kfc. Sempat pergi Tesco kejap beli kepak dan peha ayam. Kalau beli seekor ayam pasti nanti ada bahagian yang tak habis. Budak-budak suka kepak dan peha je. Bukan budak-budak saja, orang tuanya pun sama....haha. Dah siap goreng terasa nak tulis resepi pulak. Aku ni kadang-kadang lupa. Maklum la dah tua. Kalau ada rekod macam ni, lain kali kalau lupa resepi boleh rujuk balik. Lagipun mana la tau ada orang yang mencari-cari resepi ayam goreng, kut-kut nak cuba, silakanlah.


Bahan
1 ekor ayam (potong ikut suka) - saya lebih suka guna peha shj atau kepak shj atau kombinasi peha dan kepak. 1.5 - 1.8kg peha atau kepak ayam sama dengan lebih kurang seekor ayam).
200 gram tepung goreng serbaguna*
2 sudu besar serbuk cili* (2 sudu besar ni tak terasa pun pedasnya. kalau nak pedas lagi kena tambah la)
2 sudu besar serbuk kari daging*
1 sudu besar stok ayam*
1 sudu kecil serbuk perasa atau cukup rasa* (kalau tak suka blh skip yang ini)
1 sudu kecil serbuk lada hitam*
2 sudu kecil baking powder*
2 sudu kecil garam*
2-3 biji telur ayam (pecahkan satu persatu)
Sedikit susu (jika susu pekat dalam 1-2 sudu, jika susu segar 50ml memadai)
Minyak untuk menggoreng secara deep fry

Bahan Perap
2 sudu kecil garam
3 ulas bawang putih ditumbuk halus (kalau guna serbuk bawang putih lagi best)
1 inci halia ditumbuk halus

Cara
Basuh bersih ayam kemudian toskan sebentar bagi airnya agak kering. Perapkan dengan bahan-bahan perap sekurang-kurangnya 1 jam.

Setelah waktu perapan hampir tamat, dalam satu bekas, gaulkan bahan-bahan yang bertanda * hingga bercampur sebati.

Pecahkan telur dalam satu bekas lain, campurkan dengan susu dan pukul setakat susu, putih dan kuning telur bercampur. Pecahkan sebiji telur dahulu, Jika tak cukup nanti boleh tambah lagi.

Panaskan minyak masak, ambil ketulan ayam kemudian celup dalam telur. Kemudian gaulkan pula dengan tepung serbaguna yang telah diadun dengan bahan yang bertanda * tadi. Pastikan adunan tepung melekat ke serata permukaan ketulan ayam. Lepas gaul dengan tepung terus goreng. Ulang step ini satu persatu.

Goreng dengan menggunakan api kecil dan tutup bekas gorengan supaya gorengan ayam jadi sekata dan isi ayam akan menjadi lembut. Sekali goreng hadkan kepada 4 atau 5 ketul ayam sahaja.

Masa menggoreng biasanya paling lama 15 minit. Lebih kurang 6-7 minit selepas gorengan, alih-alihkan ayam kemudian sambung balik goreng. Biasanya kalau saya goreng, lebih kurang dalam 12 minit ayam dah masak. Untuk mengetahui samada ayam dah masak atau tidak, cucuk ayam dengan garfu. Kalau tembus sampai ke isi maksudnya ayam tu dah masak.

Bila dah masak, angkat dah letakkan atas tisu penyerap minyak lebih kurang 5 minit kemudian bolehlah terus dihidang. Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment