Monday, 26 January 2015

Mempelam @ Mangga unik yang pasti ramai tak pernah tengok (Part 2).

Aku ada banyak kenangan dengan mempelam kelipisan ni. Masa aku budak-budak dulu, aku ada satu prinsip iaitu kalau nak buat jahat, buat sorang-sorang. Jangan ajak kawan sebab kalau ajak kawan rahsia senang pecah tapi kalau sorang-sorang tak ada sapa nak pecah rahsia....haha. Oleh kerana mempelam kelipisan ni sangatlah menggiurkan pada aku, jadi timbullah satu rancangan jahat yang sentiasa berlegar di hati. Plannya ialah aku nak kebas buah mempelam pada waktu malam. Masa tu aku cukup berani. Anak yatim piatu yang tak bertuanlah katakan. Budak-budak kampung mana ada seberani aku keluar berjalan malam hari. Dulu mana ada lampu jalan. Rumah pun ada yang ada bekalan letrik dan ada yang tak ada letrik. Waktu malam kalau bulan tak ada memang gelap sungguh. Tapi jangan hairan kalau jumpa orang naik basikal pada waktu malam gelap. Orang kampung memang dah hafal kat mana ada tunggul dan kat mana ada lopak jadi kemungkinan nak langgar benda-benda macam tu memang payah.

Oleh kerana aku dah plan nak kebas buah mempelam yang banyak masak menggiurkan kat atas pokok jadi pada waktu siangnya aku peratikan betul-betul kat mana dahan paling rendah dan banyak buah. Siang-siang sambil duduk ramai-ramai tunggu buah gugur, aku peratikan betul-betul di mana aku nak mulakan memanjat sebab batang pokok mempelam kelipisan tu memang besar, sepemeluk orang dewasa pun tak tercapai. Mempelam tu ada empat pokok. Aku dapati pokok yang pertama memang boleh dipanjat. Ada macam buku kayu yang boleh dibuat tempat berpijak semasa memanjat. Tambahan pula pokok pertama yang paling banyak buah. Dah tu pulak dahannya antara yang terendah. Yang ini pasti aku boleh panjat dan capai buah di dahan yang terendah tu. Rendah-rendah pun aku agak dalam 20 kaki jugaklah rasanya.

Tiga empat hari jugak aku buat kira-kira. Akhirnya setelah yakin aku pun mulakan operasi. Lebih kurang pukul 9 malam aku pergi sorang diri. Rumah pakcik ni dengan rumah aku jaraknya lebih kurang dalam 500 meter. Line clear aku pun mulalah panjat. Aku memang pakar memanjat. Pokok kelapa pun aku boleh panjat inikan pula pokok yang ada tempat berpijak, lagilah mudah. Tak tahulah aku dulu pasal apa lasak sangat. Agaknya sebab tak bertuan, itulah yang jadi lasak semacam je. Hantu-hantu ni aku tak takut langsung. Kalau budak lain, balik mengaji, dekat nak sampai rumah dia orang melaung-laung minta mak dia orang buka pintu cepat-cepat sebab gelap takut hantu. Kadang-kadang aku yang jadi hantu takutkan dia orang. Tak kira jantan betina semua kena usik dengan aku.....haha.

Diam tak diam aku dah panjat sampai ke dahan yang aku target. Dahan tu memang sesuai untuk berjalan sampai ke hujung sebabnya selain dari ada dahan untuk berpijak, ada pulak dahan di atasnya yang selari,  sesuai sangat untuk dibuat tempat berpaut. Aku panjat pokok mempelam tu sambil pakai kain pelikat je. Kain tu gunanya ialah bila dapat buah mempelam aku akan masukkan dalam gulungan. Makin lama kalau banyak buah yang dimasukkan dalam gulungan kain tu maka makin pendeklah jadinya. Petik punya petik tiba-tiba bunyi prakk......cabang dahan yang aku pijak tu patah rupanya. Bukan dahan utama yang patah tapi cabang dahan tu. Nasib baik aku tak jatuh sebab tangan aku berpaut pada dahan sebelah atas. Rupanya bunyi dahan jatuh tadi telah mengejutkan Pakcik Johari tuan punya mempelam tu. Dia buka tingkap rumahnya dan menyuluh ke arah pokok. Disebabkan aku terlindung oleh rimbunan daun jadi pakcik tu tak nampaklah aku. Aku pun diam membatu, tak bergerak langsung. Bila dia tutup tingkap cepat-cepat aku bergerak ke arah batang pokok konon nak turun dan cabutlah. 

Tak sempat nak turun, Pakcik Johari buka pintu dan keluar menuju ke pokok mempelam. Barangkali dia syak ada orang curi mempelam dia.  Aku masa tu masih di atas pokok tapi dah berada di bahagian batang utama, bukan lagi dahan. Nak turun memang tak sempat dah. Pakcik Johari datang dengan cucu dia, Lily. Kebetulan ranting patah yang aku pijak tadi jatuh betul-betul di tengah laluan dari rumah pakcik tu ke pokok mempelam. Jadi sebelum dia sampai ke pokok mempelam, dia dah nampak ada ranting patah. Aku dengar Lily, cucu Pakcik Johari cakap ada ranting patah, ranting yang reput. Sampai di bawah pokok terus dia suluh ke atas. Aku berlindung di balik batang jadi Pakcik Johari tak nampak aku. Lama jugak Pakcik Johari suluh dari sepokok ke sepokok. Aku diam mematikan diri. Lutut punyalah ketar. Aku kata dalam hati kali ni kenalah aku. Mulalah menyesal buat jahat...haha.

Dah puas pakcik tu menyiasat, dia  pun agaknya puas hati bunyi tadi disebabkan oleh dahan reput yang patah, bukannya disebabkan oleh orang yang nak kebas mempelam dia, lalu dia pun balik. Aku di atas pokok punyalah lega tapi ketar lutut tak hilang lagi. Aku duduk diam-diam lebih kurang dalam lima belas minit. Manalah tahu kalau-kalau Pakcik Johari saja buat perangkap konon-konon balik rumah tapi dia mengendap dari rumah dia. Bila aku rasa semuanya dah okay aku pun mulalah nak turun perlahan-lahan. Elok saja aku mula melangkah turun tiba-tiba aku dengar bunyi. Macam bunyi suara orang tapi aku tak pasti sebab aku dengar macam suara berbisik. Aku tak jadi turun. Aku diam mematikan diri. Aku tunggu dengan pasrah apa yang nak jadi lepas ni. Adakah suara hantu atau suara manusia. Nak tahu suara apa, kita tunggu kisahnya pada part 3 nanti.

Part 1 boleh baca di sini http://pipsterian.blogspot.com/2015/01/mempelam-mangga-unik-yang-pasti-ramai.html

No comments:

Post a Comment