Saturday, 24 January 2015

Dua bulan anak yatim piatu ponteng sekolah (Part 2).

Aku nak cerita sikit pasal abang aku yang tinggal kat sebelah rumah pusaka. Kiranya abang aku inilah yang menjaga aku setelah kematian ibu bapa kami. Abang aku ni ada sejarah yang tak berapa baik dengan arwah ayah. Orang dulu-dulu tak berapa pentingkan pelajaran. Abang aku ni dulu pelajar yang agak bijak masa sekolah rendah tapi arwah ayah tak benarkan dia meneruskan persekolah ke peringkat menengah. Arwah ayah kata lebih baik dia tolong arwah ayah buat kerja bendang. Itulah apa yang diceritakan oleh abang aku kepada aku. Aku rasa ada kemungkinan abang aku menyimpan rasa sesal dan sesalannya itu dilepaskan kepada aku, adik yang bongsu. Aku rasa begitu kerana abang aku tahu aku ponteng tapi dia buat tak kisah.

Waktu aku ponteng sekolah masa aku banyak dihabiskan di bendang. Banyak pokok mangga yang ditanam di ban tali air dan ada sejenis pokok mangga yang sentiasa berbuah iaitu mempelam telur. Mempelam ni kecil-kecil buahnya. Selalunya mempelam telur sesuai dibuat jeruk. Kalau masak memang manis tapi makan sebiji tak puas sebab saiznya kecil. Aku selalu panjat pokok mempelam sambil makan buahnya yang masak. kadang-kadang aku panjat pokok keriang. Pokok keriang banyak tumbuh di kawasan sawah padi di sebelah utara. Rasanya manis kelat. Buah yang masak berwarna hitam pekat. Begitulah aku habiskan masa bila aku ponteng sekolah. Anak yatim piatu memang tak ada orang nak peduli. Pandai-pandailah membawa diri. Tapi zaman sekarang dah berbeza. Anak-anak yatim telah memdapat pembelaan yang sewajarnya. Zaman berubah turut membawa perubahan sikap dan kesedaran masyrakat terhadap anak-anak yatim.

Inilah rupa buah keriang. Pokok ini banyak tumbuh di kawasan sawah padi. Sekarang dah semakin pupus.
























Yang ni mempelam telur. Muda lagi. Kalau dah tua warnanya jadi hijau tua. Yang muda sesuai dibuat jeruk.
Sehinggalah pada suatu hari setelah dua bulan aku ponteng sekolah, datang seorang guru berjumpa dengan abang aku. Kebetulan aku tak ada di rumah masa tu. Nama cikgu itu ialah Cikgu Taib. Bukan guru kelas aku tapi Cikgu Taib ni adalah guru yang senior dan agak berumur. Cikgu ni datang ke rumah abang aku naik basikal. Cikgu Taib bagi nasihat kepada abang aku supaya jaga adik baik-baik. Di samping nasihat, dia juga beri sindiran tak kan satu orang adik pun tak boleh nak jaga. Abang aku ni jenis panas baran. Agaknya panaslah hati dia kena sindir macam tu. Kemudian Cikgu Taib sambung lagi dengan mengatakan adik kamu (akulah tu) bukannya tak pandai. Budak ini belajar dalam kelas yang pandai cuma tak dijaga dengan betul sebab itulah jadi macam ni. Maksudnya abang aku tak pandai jaga akulah, itu yang cuba disampaikan oleh Cikgu Taib. Aku mulanya tak tahu kedatangan Cikgu Taib. Lepas cikgu balik aku terjumpa dengan kawan sekelas yang tinggal di sebelah rumah aku. Dialah yang menunjukkan rumah abang aku kepada Cikgu Taib. Waktu dah petang, lebih kurang pukul 5 macam tu. Satu siang aku merayap keliling kampung sorang-sorang. Tapi kebanyakan masa aku habiskan kat bendang belakang rumah aku je, bukan pi jauh pun.

Petang itu aku balik ke rumah macam biasa. Sebelum aku naik tangga rumah pusaka, abang aku panggil. Aku tengok tangan kanan dia pegang kayu api. Kayu api tu aku tau gunanya bukan nak buat memasak tapi untuk makanan punggung aku. Aku sampai kat abang aku, dia terus pegang tangan aku sambil kayu api di angkat tinggi siap nak melayang je lagi. Dia kata esok pergi sekolah. Kalau tak nak pergi dia nak hayun kayu api tu kat aku. Aku pun kata ye ajelah. Abang aku kata esok dia akan hantar aku ke sekolah. Tapi aku ada plan lain sebenarnya. Aku kan tinggal sorang-sorang kat rumah pusaka. Tidur malam pun sorang-sorang. Aku plan esok pagi sebelum orang lain bangun, aku akan bangun dulu dan hilangkan diri. Bukan aku nak lari dari rumah. Aku cuma nak keluar meyorok supaya pagi tu abang aku tak dapat cari aku jadi tak payahlah aku pergi sekolah.

Sungguhlah, manusia itu hanya merancang tetapi Allah swt jualah sebaik-baik perancang. Esoknya entah macam mana aku boleh terbangun lewat. Biasanya aku memang bangun awal tapi kali ini aku hanya bangun bila abang aku naik ke rumah pusaka dan mengejutkan aku. Mahu tak mahu terpaksalah aku mandi dan bersiap untuk pergi sekolah. Aku pun dah tak tau nak bawa buku apa. Akhirnya aku masukkan semua buku teks ke dalam beg sekolah aku. Sebenarnya aku ada satu rancangan lagi untuk melepaskan diri aku dari kena pergi sekolah untuk hari-hari berikutnya. Nanti aku akan ceritakan rancangan aku pada part yang seterusnya iaitu part 3.

*gambar dalam entry ini bukanlah hak milik aku. Ianya adalah hasil carian google. Hakmilik gambar tersebut adalah kepunyaan mereka yang berkenaan.

No comments:

Post a Comment