Wednesday, 21 January 2015

Kolestrol, bersenam dan masa muda yang telah berlalu pergi.

Hari ini anak aku demam. Kelmarin dulu aku yang demam. Aku dah baik demam, anak aku pulak yang demam. Demam berjangkit agaknya. Lepas sorang, sorang lagi kena. Aku bawa check kat klinik. Demam biasa saja kata doktor tapi kalau 2-3 hari tak kebah jugak kena ke poliklinik kerajaan pulaklah jawabnya. Aku nak cerita kali ni bukan pasal demam tapi aku nak cerita pasal kolestrol. Pada 11.11.2014 yang lalu aku check paras kolestrol kat klinik. Rupanya paras kolestrol aku tinggi. Diukur masa tu ialah 7.9 sedangkan maksimum bagi yang normal ialah 5.0. Aku diberi ubat untuk turunkan paras kolestrol. Yang bestnya ubat tu aku tak makan pun hehe. Aku pulak jarang check kolestrol. Ini merupakan satu kejutan kepada aku. Selama ini aku ingat keadaan kesihatan aku baik belaka. Pengajarannya, jangan ambil mudah penjagaan kesihatan diri sendiri. Badan kita nak pakai lama. Jika diberi Allah swt umur yang panjang tapi kesihatan tak baik meranalah kita. Kalau duit banyak tapi ada penyakit tak guna juga. Kalau tak ada duit tapi ada penyakit lagilah tak guna. 

Alang-alang aku dah ke klinik dengan anak aku tadi jadi aku teruslah check kolestrol aku. Dah dua bulan lebih semenjak aku check kolestrol bulan sebelas tahun lepas. Alhamdulillah paras kolestrol dah turun jadi 5.9. Walaupun masih sedikit tinggi tapi penurunan 2 point sungguh melegakan aku. Aku tak pernah makan ubat untuk turunkan kolestrol yang doktor bagi tapi aku amalkan gaya hidup sihat. Daripada apa yang aku tahu, mandi awal pagi dapat menurunkan kadar kolestrol kita. Semenjak 12.11.2014 yang lalu aku amalkan mandi seawal pukul 5.45 pagi tanpa menggunakan water heater.

Kemudian selepas solat subuh aku amalkan senaman berjalan pantas diselang-selikan dengan jogging di sekitar rumah aku. Setiap hari aku maintain senaman sekurang-kurangnya 30 minit. Seminggu aku buat enam hari. Maksudnya masa senaman aku untuk seminggu ialah 180 minit, lebih 30 minit dari masa minimum yang disyorkan oleh doktor. Masa senaman untuk seminggu yang disyorkan oleh doktor ialah 150 minit. Masa 150 minit itu tidak boleh dikumpulkan sekaligus. Ianya harus dilakukan untuk selama lima hari dalam seminggu. Lagi dua hari dalam seminggu tu dikira cuti bersenam, bolehlah luangkan masa bersama keluarga. Bermaksud sehari masa senaman minimum ialah 30 minit. Senaman yang kurang daripada 30 minit tidak dapat membakar kolestrol. Sebab itulah kalau bersenam masa yang diambil mestilah 30 minit atau lebih. Jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan, cara paling berkesan untuk menurunkan berat badan ialah dengan berjogging atau berenang selama sekurang-kurangnya satu jam untuk satu hari. Senaman yang kurang dari satu jam sehari hanya memberi faedah kesihatan yang lain tetapi tidak untuk menurunkan berat badan.

Amalan seterusnya yang aku lakukan untuk turunkan paras kolestrol ialah dengan jaga pemakanan. Aku berhenti dari makan makanan yang berkolestrol tinggi. Makanan yang mempunyai kolestrol tinggi ialah telur burung puyuh, otak lembu, kuning telur ayam, sotong, organ dalaman kambing kecuali otot dan tulang, tiram, mentega, marjerin, susu lembu, santan, kerang, udang, siput, ketam, keju, daging lembu tetel dan lain-lain lagi. Manakala makanan yang mengandungi kolestrol yang kurang ialah putih telur, timun laut atau gamat, susu lembu tanpa lemak, daging ayam tanpa kulit, ikan air tawar, daging lembu tanpa lemak, daging arnab dan daging kambing tanpa lemak. Semua yang banyak kolestrol aku tinggalkan. Aku selalu banyakkan minum air masak. Berhenti dari minum air yang berwarna dan bergas. Makan lebih sayur-sayuran hijau. Sarapan pagi hanya mengambil capati dan air suam.

Nampak teruk apa yang aku kena buat. Begitulah yang aku buat dan hasilnya dalam dua bulan turunlah paras kolestrol sebanyak dua point. Aku bernasib baik kerana selama aku amalkan pemakanan sihat aku tak pula rasa teringin nak makan makanan yang tinggi kolestrol macam seafood, sup daging tetel dan sebagainya. Agaknya aku dah puas  makan makanan tersebut sebelum ini jadi sekarang tak adalah aku teringin nak menikmatinya lagi. Umur dah meningkat ni fahamlah aku ungkapan "hargai masa muda sebelum tua" kerana masa muda yang berlalu tak akan datang lagi. Ianya hanya berlaku sekali. Beruntunglah orang yang menyedarinya dari awal. Sebab itulah Allah swt tegaskan;

”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan  kesabaran” 

(Al ‘Ashr). 

No comments:

Post a Comment