Monday, 26 January 2015

Lelaki, judi, arak dan wanita.

Seorang lelaki berpakaian kemas dengan suit yang lengkap serta bertali leher, perut buncit dan gaya seperti orang kaya, berjalan keluar dari sebuah pusat membeli-belah elit. Di hadapan pusat membeli-belah tersebut, ada seorang peminta sedekah yang lebih kurang sama baya dengan lelaki kaya tersebut. Walaupun lebih kurang sama usia, kedua-dua lelaki tersebut kelihatan jauh berbeza dari segi penampilan. Lelaki peminta sedekah kelihatan kurus mungkin kurang zat makanan, berbaju kusam dan compang-camping, berbau hapak dan dengan rambut yang kusut masai.

Apabila peminta sedekah tadi melihat sahaja lelaki kaya  keluar dari pusat membeli-belah dah lalu dihadapannya terus dia menghulurkan tangan  sambil berkata "Tuan kasihanilah saya, berilah saya sedikit wang"

Lelaki kaya berhenti, ditenungnya peminta sedekah tersebut sejenak lalu bertanya " kalau saya beri RM50, kamu tidak akan gunakan wang tersebut untuk minum arak bukan?"
Peminta sedekah : "Oh tidak tuan, saya tidak suka dan tidak pernah minum minuman keras."
Lelaki kaya : "Kalau kamu tidak gunakan wang itu untuk mabuk-mabuk, mungkin kamu guna untuk berjudi?"
Peminta sedekah : "Tentu tidak tuan, saya tidak suka dan tidak pernah berjudi."
Lelaki kaya : "Kalau kamu tidak gunakannya untuk mabuk dan berjudi barangkali kamu akan gunakannya untuk main perempuan?"
Peminta sedekah : "Tidak, tidak. Seumur hidup saya tidak pernah berfoya-foya dengan wanita.”

Lelaki kaya itu berfikir sejenak lalu berkata lagi "Beginilah, kamu ikut saya balik untuk berjumpa dengan isteri saya selepas itu saya berikan kamu RM50"

 
Peminta sedekah terkejut lalu menjawab "Buat apa saya ikut tuan balik ke rumah?"

"Saya nak istri saya lihat sendiri apa akan jadi kalau seorang lelaki tidak suka mabuk-mabuk, tidak suka berjudi, dan tidak suka main perempuan, hasilnya akan jadilah lelaki seperti kamu inilah!" jawab lelaki kaya.

*************************************************
Cerita di atas hanyalah rekaan semata-mata sebagai pembuka kata sebelum kita bercerita panjang pasal kaitan antara lelaki, judi, arak dan wanita. Tapi dalam dunia realiti memang ramai lelaki yang hanyut dalam salah satu atau dua atau ketiga-tiga perkara tersebut. Kalau terlibat dengan salah satu daripada tiga perkara tersebut, kerosakannya minimum dan masih mudah untuk diperbaiki. Jika terlibat dengan dua daripada tiga perkara tersebut, kerosakannya agak berat, akan ambil masa untuk diperbaiki. Namun jika terlibat dengan ketiga-tiga perkara tersebut iaitu judi, arak dan wanita, kerosakannya bolehlah dikira kritikal. Biasanya setelah jatuh terduduk dan tidak ada apa-apa harta lagi yang tinggal barulah timbul keinsafan. Waktu itu, sesalan pun dah tak berguna. Ibarat nasi dah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kalau jadi begini, kenalah mulakan hidup baru, semuanya kena mulakan semula sebab yang diusahakan selama ini dah habis dijoli.

Aku nak cerita kisah kawan aku. Bukan nak burukkan beliau. Aku pun tak nak sebut nama dia dan pembaca pun tak kenal dia. Tujuan aku ialah supaya kita boleh dapat ikhtibar dari kisah beliau. Kawan aku ni dulu bekerja sebagai pemandu teksi. Pemandu teksi ni bukan kerja bergaji rendah. Kalau di Kuala Lumpur ni aku tahu, pendapatan pemandu teksi sehari bersih RM100 kira biasa je. Kalau kerja dari pukul 8 pagi sampai pukul 5 petang target RM100 bersih tu memang senang dicapai. Kira sendirilah kalau RM100 kali dengan 26 hari kerja sebulan tolak cuti hari ahad maknanya sebulan gaji bersih ialah RM2600. Tak percaya tanyalah sendiri pemandu teksi. Ada pemandu teksi yang aku kenal, sebulan pendapatan bersih beliau ialah RM5000 ke RM5500. Maknanya, sehari pendapatan bersih beliau lebih kurang RM200. Income tax tak kena tau....hehe. Kita yang kerja pejabat setengah mampus, gaji kasar Rm5000 cukup tahun kena submit borang taksiran lepas tu kenalah bayar cukai pendapatan yang ditentukan. Tapi......ada tapinya. Pendapatan yang aku ceritakan tu hanya boleh dicapai oleh pemandu teksi yang betul-betul memandu teksi. Bukan banyak melepak main dam bawah pokok atau sembang di kedai kopi atau memilih destinasi. Pendek kata, kalau orang lain kerja nine to five dengan waktu rehat 1 jam, pemandu teksi pun kena buat macam tu barulah pendapatan macam aku cerita kat atas tadi boleh dicapai.

Berbalik kepada kisah sahabat aku tadi, beliau bawa teksi macam pemandu teksi lain tapi yang jadi masalahnya ialah dia suka berjudi. Tak kiralah judi apa pun asalkan namanya judi, semua jadi minat dia. Blackjack, roulette, mesin kuda, lumba kuda sungai besi, empat nombor ekor jangan kiralah dan yang satu ni kira wajib. Bila dah suka berjudi banyaklah duit dihabiskan ke situ. Kalau bawa teksi dapat sehari bersih RM100 semuanya boleh habis buat main judi. Penyudahnya duit nak bagi anak bini makan pun dah tak ada budget. Bila kalah judi fikiran jadi runsing. Kawan-kawan pulak jenis yang masuk air. Nak rilek dan tenangkan fikiran pi pulak minum beer sampai mabuk. Minum beer pulak kat bar. Ada la GRO yang siap melayan asal ada RM. Tak ada RM sorry la abang......haha. Nampak tak, lepas judi pi mabuk, lepas mabuk main GRO pulak. Dah dapat layanan mesra dari GRO, esok mai lagi. Lama-lama jatuh cinta.

Macam tulah parahnya kawan aku ni. Egonya tinggi, nasihat kita dia tak nak dengar. Marah-marah lagi. Tapi kita kawan-kawan dia tetap nasihatkan dia walaupun dia tak suka. Dia ikut atau tidak terpulanglah kepada dia. Nak jadi cerita, aktiviti kawan aku ni tak lama. Tak sampai setahun teksi sewa beli kena tarik sebab selalu miss bayaran harian. Biasanya kalau teksi bandar bayaran sewa hariannya adalah sekitar RM35 ke RM55 sehari bergantung kepada jenis teksi. Ada syarikat teksi yang terus tarik teksi kalau seminggu berturut-turut tak bayar sewa. Ada juga yang bagi peluang sampai sebulan, tak bayar jugak barulah dia orang tarik. Kawan aku ni tak taulah berapa banyak dan berapa lama bayaran dah tertunggak sehinggakan teksi pun kena tarik. Bila teksi dah kena tarik maka hilanglah punca pendapatan.

Bila hilang punca pendapatan mulalah muncul masalah rumahtangga yang sekian lama terpendam. Akhirnya bini pun minta cerai. Nafkah zahir tak cukup. Asyik bagi nafkah batin je, nafkah zahir tak bagi mana aci kan. Bila dah bercerai kenalah keluar dari rumah. Rumah pulak rumah sewa. Anak bini masih tinggal di rumah tu cuma dia yang keluar. Sekarang kawan aku ni tinggal di satu bilik kecil yang majikan dia sediakan. Aku masuk bilik dia rasa nak menangis pun ada. Bangla mai sini lagi elok bilik dia orang. Apa nak buat, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kawan aku ni sekarang kerjanya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kerja bukan kat syarikat besar. Syarikat katering. Caruman KWSP pun tak ada. Umur dah 40an, bukan muda belia lagi. Hilang habis segala apa yang diusahakannya sebelum ini akibat salah langkah. 

Begitulah secubit kisah kehidupan disekeliling kita dan kebetulan kisah ini terjadi kepada kawan aku. Aku sentiasa mendoakan semoga dia mendapat pengakhiran yang baik. Aku tidak bermaksud nak merendah-rendahkan beliau dengan meceritakan kisahnya di sini. Moga-moga kisah beliau yang aku ceritakan tadi memberi manafaat dan pengajaran kepada kita semua dalam menempuhi hari-hari yang mendatang.   

3 comments:

  1. askum bro, aku x penah komen blog2 ni tapi aku cuba yeek. sedang aku research nak tahu negative ngan positive pekerjaan sebagai pemandu teksi ni terasa hati aku ni nak share sesuatu dalam blog ni. Story bro ni memang betul. Aku setuju 100%. aku sekarang bekerja dgn syarikat dan aku rasa keberkatan pada pekerjaan aku ni memang jauh sekali. Memiliki jawatan tinggi tapi hati aku sempit, solat fardhu miss apa tah lagi solat jumaat, bukan sebab aku x mahu solat atau malas, disebabkan tekanan kerja yang sangat tinggi dan faktor ketidakhormatan tidak penjadualan mesyuarat yang panjang dan kadang2 ngam2 waktu solat jumaat syarikat aku buat mesyuarat. aku sebenarnya tiada apa2 sijil yang mnembanggakan. hanya sekeping sijil SPM dan SKM yang tiada apa2 harga pada zaman global sekarang. Disebabkan ketekunan dan tahap sabar yang tinggi aku dinaikkan pangkat sehingga menjadi pengurus jabatan. Ok stop story tentang aku, berbalik pada keberkatan ni. Life aku jadi sempit apabila aku dah mula berani bermain dgn perempuan, minum arak, rasuah, judi apabila aku bergaji besar. Tapi Allah masih sayang aku, pendapatan bulanan aku untuk anak dan bini masih cukup. tapi.. ada tapi.. (tiru ayat bro) tiada simpanan setiap bulan walaupun RM1. bayangkan duit tu lesap mcm tu. walaupun ada lebih. hati aku sempit sgt2. Aku rasa dulu aku kerja kilang setakat 200 - 300 ada je lebih. bukan sebab aku dah bekeluarga memang sebab x BERKAT. menitik airmata aku bila aku igt balik. kiraan gaji aku sepatutnya aku dah boleh memiliki sebuah rumah semi-d tapi sampai sekarang aku masih menyewa. Allah maha adil. 2 Kenderaan aku kene curi dalam masa 3 bulan tanda amaran DIA pada aku. Aku dah tekat nak berhenti kerja n mulakan bawa teksi ni. Atas sebab faktor untuk aku jaga solat, jaga family aku, bina balik apa yang aku dah rosakkan. Ingat la pada sesiapa yang baca ni. Tiada erti pangkat dalam 'List" Allah melainkan keberkatan. Aku pernah dgr orang jual air tebu pun boleh beli Mazda RX7. Itu semua KEBERKATAN. Assalamualaikum.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam bro,
      Kita semua pernah buat kesilapan. Alhamdulillah keinsafan dan kesedaran itu hadir sebelum ianya terlambat. Saya doakan kebaikan dan keberkatan untuk saudara.

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete