Friday, 23 January 2015

Burung wak-wak denak Pak Long Din dan kisah Juan menahan taut burung wak-wak.

Di kampung aku dulu, jiran sebelah kanan rumah aku kami panggil Pak Long Din. Orang kampung panggil dia Din burak. burak tu maksudnya burung keruaklah kalau ikut istilah di kampung aku. Pak Long Din suka membela burung keruak atau kami di kampung panggil burung wak-wak. Dia ada burung wak-wak denak yang digunakan untuk memikat wak-wak liar. Kalau dia memikat wak-wak jarang pulang dengan tangan kosong. Aku suka mengacah burung denak pak long. Burung wak-wak denaknya cukup galak kalau diacah. Aku selalu pergi dekat sangkarnya kemudian aku acah dengan bunyi "keruak...keruak...keruak". Burung denak tu apa lagi, melawan la dia. Yang bestnya bila lama sangat mengacah burung denak tu, akan ada suara lain yang meyampuk iaitu suara pak long din dari atas rumah yang suruh aku balik pasal buat bising kat bawah rumah dia. Mananya tak marah orang tu, biasanya dalam pukul 2-3 petang orang berehat lepas makan balik dari bekerja di sawah. Masa ni lah dia orang nak lelapkan mata sekejap. Bila dia orang baru nak lelapkan mata datang pulak aku main dengan burung denak dia. Riuh rendahlah di bawah rumah pak long din.

Burung keruak atau wak-wak. Gambar carian google. Gambar ini adalah hak milik mereka yang berkaitan.
























Kadang-kadang kalau pak long Din mendenak burung wak-wak dia akan hantar gulai burung wak-wak ke rumah aku. Isi burung ni sikit je. Lebih kurang macam isi puyuh. Rasanya aku dah tak ingat sebab lama sangat dah aku tak makan. Burung ni banyak terdapat di kawasan belukar dan paya. Kat belakang rumah aku ada sawah padi jadi kat atas batas sawah ni lah selalu burung ni melepak. Kalau terjumpa orang, dia akan lari masuk belukar. 

Selepas aku meninggalkan kampung untuk belajar di Miri, Sarawak ada lagi aku berhapadan dengan kisah burung wak-wak ni. Masa aku tinggal di asrama kat Tanjung Lubang, Miri, ramai kawan-kawan aku dari suku Iban, Kayan, Kelabit, Bidayuh dan sebagainya. Ada sorang kawan aku ni nama dia Juan Jugah dari suku Iban. Tinggal satu dorm dengan aku. Satu hari aku tengok dia tengah buat taut. Kalau siapa yang tak tau, taut tu ialah mata kail yang diikat dengan tali tangsi kemudian tali tu pulak diikat ke batang buluh atau apa-apa batang yang pendek lebih kurang sedepa. Tali tangsi pulak lebih kurang 2 kaki je. Kalau di kampung aku taut ni kita orang pacakkan tepi tali air dengan membiarkan mata kail yang dah disalut umpan cacing tanah dan sebahagian dari tali tangsi berada dalam air. Gunanya ialah untuk menangkap ikan keli atau haruan. Biasanya ikan keli yang kena sebab haruan suka umpan yang bergerak macam katak minyak atau anak ikan.

Inilah rupanya batang taut yang asalnya adalah batang  buluh yang dibelah kemudian diraut. Gambar carian google dan merupakan hak milik mereka yang berkaitan.
Aku pun tertanya-tanya apa si Juan ni nak buat dengan batang taut tu. Setahu aku kat kawasan sekolah aku tu mana ada paya. Sekolah tepi pantai dan tebing tinggi menganjur ke pantai. Tak kanlah nak menahan taut kat tepi pantai. Ikan apa yang nak makan taut kat tepi pantai. Rupanya dia nak menaut burung wak-wak. Aku jadi keliru pasal setahu aku umpan taut letak dalam air,  mana pulak burung keruak nak makan umpan taut yang diletakkan dalam air. Kebetulan di bahagian belakang dorm kami ada belukar lalang. Kat situ memang banyak burung wak-wak. Ada masanya boleh nampak burung wak-wak jalan cari makan. Ada masa burung tu berkeruak-keruak nyaring.

Itulah namanya lain padang lain belalang. Aku pun tengoklah apa yang Juan ni buat. Dia pacakkan buluh taut di belukar lalang belakang dorm kita orang tu dengan umpannya tergantung-gantung di udara. Kiranya umpan tu tergantung lebih kurang tinggi kepala burung wak-wak. Bila burung wak-wak makan dan menelan  umpan cacing maka melekatlah kerongkokong dia dengan mata kali. Kalau lambat ambil burung ni akan mati. Cara Juan menaut burung wak-wak ni pada aku agak sadis. Kesian pulak tengok bila tengok burung wak-wak tertelan mata kail yang tersangkut pulak di kerongkongnya. Burung wak-wak pada aku sangat comel. Bulu di dadanya warna putih bersih kadang-kadang ada yang kemerah-merahan. Kalau diberi pilihan, aku lebih suka bela burung wakwak daripada memakannya.

7 comments:

  1. assalam..pak mat nie sama kelas dgn rohaizad,wan n zubaidah ker?

    ReplyDelete
    Replies
    1. wslm wbt. sama batch dgn rohaizad, wan dgn zubaidah tapi tak sama kelas. haiiii.......sapa pulak la ni nama tok saming. ini mesti geng jugak ni :)

      pm tepi tok saming

      Delete
  2. saya satu kelas dgn juan jugah

    ReplyDelete
    Replies
    1. haiii......sapa la pulak ni. mai aku teka. zul? razak, badar? mahadi? yumpud? nak teka lebih2 aku x ingat nama...hehe. tah2 hang rohaizad kot :)ramai geng kolej duk cari rohaizad. tah di mana dia sekarang

      Delete
    2. juan sekarang ni cikgu rasanya.....cikgu juan jugah :)

      Delete
  3. Saya sebilik dgn badar..kalau pintu kunci,panjat dinding dr bilik korang

    ReplyDelete
  4. Room mate badar masa form 5? Sapa ye? Malik ke? Ingat2 lupa. Kalau salah jgn marah no, dah 4 siri......banyak yg nampak kelam drpd terang haha......

    ReplyDelete