Thursday, 4 August 2016

Kayu hanyut menghilir sungai.

Hampa pernah dengar cerita kayu hanyut menghilir sungai. Cerita tak popular tapi bukan cerita dongeng. Cerita ini releven dari dulu hingga kini.......hehe. Hari ni aku cuti mengayuh jadi aku nak bersihkan rumah aku ni dari bersawang sebab jenguk sekali sekala je. Kalau rumah kosong, jin dan makhlus halus yang seangkatan dengannya suka menumpang. Untuk mengelakkan perkara sedemikian berlaku, anda janganlah tinggalkan rumah kosong tanpa penghuni terlalu lama. Blog aku ni ibarat rumahlah. Kalau aku tak selalu update, orang pun tak nak melawat.....ahak, betulkan? Seperti biasa lepas aku bagi intro nak cerita apa, mesti aku konar kelentong dulu. Saja bagi panjang sikit ceritanya. Kalau singkat karangannya nampak sangat malas nak menulis. 

Cerita kayu hanyut menghilir sungai ini sebenarnya diceritakan oleh bekas bos aku, Mr Lee. Tak silap aku dia ceritakan kisah ni dalam tahun 2006 macam tu. Dah 10 tahun lebih kurang. Masa tu aku kerja makan gaji. Cerita ini kekal dalam ingatan aku hingga ke hari ini sebab mesej yang disampaikan sangat jelas (kepada orang yang mahu berfikir). Dulu-dulu, orang kampung buat rumah guna kayu balak. Nak buat tiang, kena masuk hutan cari pokok balak yang sesuai. Lepas tebang kena usung keluar hutan pulak. Oleh sebab kampung dulu-dulu teletak ditebing sungai maka jalan paling mudah untuk bawa keluar kayu yang ditebang adalah melalui jalan sungai. 

Balak yang dihanyutkan melalui sungai untuk dibawa balik ke kampung itu biasanya adalah balak berkualiti tinggi. Nak buat rumah mestilah cari balak yang keras supaya boleh bertahan lama. Sekiranya kayu yang dihanyutkan itu banyak, ada kemungkinan sebatang dua akan terlepas atau tak sempat dikutip apabila ianya sampai ke tempat yang dituju. Balak yang tak sempat diambil oleh orang yang menebangnya tadi akan hanyut mengikut aliran sungai ke hilir, merentas dari satu kampung kepada kampung berikutnya. Jika balak tersebut berkualiti tinggi, ianya pasti akan diambil oleh penduduk kampung berikutnya yang paling awal terjumpa dengan balak tersebut. Kalau balak tersebut kurang berkualiti, orang yang menjumpainya akan membiarkan ianya terus hanyut mengikut arus sungai menghilir ke muara. 

Begitulah proses yang berlaku. Ianya berulang-ulang. Sekiranya balak tersebut tidak berkualiti, ia akhirnya akan sampai ke muara. Ibaratkan balak ini ditebang di Kuala Lipis. Dihanyutkan melalui Sungai Pahang. Ianya akan melalui Jerantut. Jika kayu itu bagus kualitinya, ianya akan diambil orang Jerantut. Kalau kualiti tak berapa cantik ianya akan terus hanyut ke Kuala Krau. Di Kuala Krau kalau tak ada sesiapa berminat ianya akan hanyut ke Jerantut. Jika tiada sesiapa yang mengutip balak ini di Jerantut maka ianya akan terus hanyut ke Temerloh. Begitulah seterusnya balak ini akan hanyut ikut arus sungai jika tiada siapa yang mengambilnya melalui Kuala Bera, Chenor, Chini dan akhirnya sampai ke Pekan yang terletak di muara sungai Pahang. 

Pengajaran kisah ini ialah, amat sukar untuk mendapat sesuatu barang berkualiti secara percuma atau dalam kata lain sesuatu yang berkualiti tidaklah boleh didapati dengan mudah. Jika orang di Pekan jumpa kayu hanyut di sungai Pahang kemungkinan kayu tersebut tidak berkualiti kerana jika kayu itu berkualiti sudah pasti ada penduduk kampung yang tinggal di tebing sungai Pahang bermula dari Kuala Lipis sehinggalah Chini akan mengambilnya terlebih dahulu. Berpuluh-puluh kampung telah dilalui oleh kayu tersebut mengikut aliran air sungai. Ianya telah dijumpai oleh ramai orang tetapi tidak seorang pun yang mahu mengambilnya kerana kualitinya yang tidak baik dan akhirnya sampai ke muara sungai Pahang. Jika kita tinggal di muara sungai Pahang dan kita yang menjumpai kayu tersebut bolehkah kita claim kayu tersebut kayu yang berkualiti? Lu fikirlah sendiri....hehe.

Aku kata kisah ini relevan sehingga ke hari ini kerana zaman sekarang banyak berlaku kisah macam cerita tadi cuma ianya berlaku dalam bentuk lain. Contohnya ialah kes penipuan black money, love scam dan sebagainya. Tapi sifat manusia yang tamak membuatkan manusia lalai dan alpa. Ketamakan mengatasi kewarasan berfikir. Yang ini bukan aku kata kat orang lain, aku pun sama juga......haha. Kena selalu ingat, jika anda ditawarkan sesuatu yang "too good to be true" maka hati-hatilah kerana kemungkinan besar pada akhirnya anda akan terkena. Contohnya kalau anda melabur dalam satu skim dan anda dijanjikan pulangan yang tinggi dalam jangkamasa yang pendek, maka hati-hatilah kerana pada akhirnya pasti akan ada yang terkena. 

Sebenarnya kisah ini aku tujukan kepada kawan aku. Entah la dia baca ke tidak tapi aku harap dia baca. Kawan aku ni lelaki umur 43 tahun. Bujang lagi. Tahun lepas kenal seorang wanita dari selatan. Setahun lebih kurang masa dah berlalu. Kawan aku duk KL. Ini cinta jarak jauhlah kiranya. Wanita tersebut masih bujang umur dalam lingkungan 36. Kawan aku ni ada la 2-3 kali jumpa dengan teman wanita dia tu di rumah keluarga wanita tersebut. Hari tu, lepas kenal 6 bulan dah kata nak kawin. Aku selalu nasihatkan kawan aku ni supaya kenal dulu wanita tersebut dengan lebih mendalam bukan tergesa-gesa nak kawin sebab desperado, maklum la usia dah banyak angka. Lagipun dua-duanya duk berjauhan. Memanglah masing-masing bercerita yang baik aje. Realitinya entah ya entah tidak. Yang aku tak boleh belah tu ialah kawan aku ni selalu cerita kebaikan teman wanita dia ni. Aku selalu ceritakan kisah kayu hanyut  menghilir sungai kepada dia supaya dia boleh guna akal dan berfikir secara logik. Bukan aku tak suka kawan aku kawin tapi kan biasanya barang yang baik selalunya awal-awal lagi orang dah sapu.....hehe jangan marah kepada sesiapa yang terkena ye......lu fikirlah sendiri.

Sekian sajalah kelentong dan temberang aku untuk hari ini....hingga berjumpa dilain masa.