Saturday, 16 February 2019

Mee Rebus Lan Ban Pecah Tanjung Piandang yang sedap

Asalnya memang aku tak ada rancangan nak pergi ke Ban Pecah. Niat awal hanya nak memenuhi jemputan walimatul urus sahabat aka jiran aku masa kat kampung dulu. Terima menantulah dia. Dulu sahabat aku ni adalah jiran sebelah rumah. Arwah pak dia suka bela burung wak-wak. Kami di kampung panggil burung buraq. Aku panggil arwah pak kawan aku ni sebagai pak long Din. Baik orangnya. Selalu jugak aku makan kat rumah sahabat aku ni. Maklumlah aku masa tu anak yatim piatu. Kadang-kadang makan, kadang-kadang tak. Sekarang ni tapak rumah aku dulu dah berpindah milik. Kami adik beradik pakat jual sebab dalam geran banyak sangat nama. Ada tiga belas. Kalau dalam geran banyak nama memang masalah jika ada apa-apa urusan berkaitan tanah tersebut. Last-last kami pakat juallah. Lagi pulak masing-masing dah merantau tinggalkan kampung halaman dan punya kehidupan sendiri.

inilah dia rupa burung wak-wak atau aku panggil burung buraq
Lepas memenuhi undangan kenduri kahwin baru aku sedar aku ada banyak masa lagi. Malam sebelumnya aku singgah tidur rumah adik ipar di Sungai Siput. Dia pun ikut sekali makan kenduri ke rumah sahabat aku ni. Lepas kenduri rupanya dia orang terus ke Permatang Pauh rumah besan mertua aku. Lupa pulak nak minta kunci rumah. Jadinya aku kena tunggu dia orang balik barulah boleh masuk rumah. Itulah yang aku katakan aku ada banyak masa lagi. Menung punya menung aku pun ajak la orang rumah dan anak-anak ke Ban Pecah. Aku tak pernah sampai ke Ban Pecah sebelum ni. Tak susah cari pun. Ikut google map atau waze sampailah ke sana.

Kat kenduri sahabat aku tadi sebenarnya aku tak makan apa-apa. Jumpa kawan-kawan lama tak sempat dah nak makan. Lagi pulak aku memang dah tiga bulan tak makan nasi. Kalau aku makan nasi hari tu pecah pulalah diet aku...haha. Sebenarnya gula dalam darah aku agak tinggi. Sebab tu la aku diet, tak makan nasi. Tapi bihun, mee, kuih muih aku bantai je. 

Sampai je kat Ban Pecah, lepas jalan-jalan sekejap ternampaklah gerai Mee Rebus Lan Ban Pecah. Kebetulan perut aku lapar. Apa lagi, singgah la sebentar. Order dua pinggan mee rebus. Orang rumah dengan anak perempuan aku tak nak makan sebab perut kenyang lagi baru lepas makan kat kenduri tadi. 

Gerai Mee Rebus Lan Ban Pecah

Gerainya berdekatan dengan pintu air

Gerai ni ringkas je
Tak ramai orang masa ni pasal tengah panas lit-lit kat luar nu
Yang paling best - Mee Rebus Udang
Mee rebus udang Lan Ban Pecah rupanya sangatlah sedap. Anak bujang aku order lagi sepinggan. Tadi dia kata tak nak makan sebab kenyang baru lepas makan kenduri. Bila dia rasa dua tiga sudu sedap terus tambah order lagi sepinggan. Aku bagi 9/10 untuk mee rebus gerai Lan Ban Pecah ni. Point 1/10 yang hilang tu ialah sebab gerai ada bau udang. Maksud aku bau sisa udang yg dah disiang. Bukan bau udang dalam mee. Mungkin bau udang tu datang dari dapur atau dari tong sampah. Kalau bau udang tu tak ada harus aku bagi 10/10 untuk mee rebus Lan Ban Pecah. Barangkali bau udang tu tak selalu ada. Mungkin di lain hari kot-kot hampa pi masalah bau udang ni dah tak dak. Apa pun, aku memang syorkan hampa try mee rebus udang dia. Pada lidah aku memang sedap. Selain dari mee rebus udang ada juga mee rebus sotong, mee rebus udang lipan dan juga kari semilang. Selain dari mee rebus udang, menu lain aku tak try. Lain kali kot ada rezeki sampai Ban Pecah lagi bolehlah try menu lain. Kepada tuan punya gerai kalau terbaca cerita aku ni diucapkan selamat maju jaya. Mee rebus tuan memang sedap.

Thursday, 17 January 2019

Durian

Gambar hiasan saja ni...bukan durian yang kawan aku bagi tu...

Ini kali kedua kawan aku panggil ambil durian kat rumah dia. Kali pertama ialah pada musim lepas. Musim ini nampak macam buah kurang sikit. Rezeki kawan aku tu durian di dusunnya berbuah la pulak walaupun banyak pokok durian orang lain tak berbuah. Aku sebenarnya bukanlah nak cerita apa pun. Ini kisah kawan-kawan. Kawan yang panggil aku ambil durian kat rumah dia ni ialah kawan aku masa bersekolah di Miri, Sarawak dulu. Kami dari Semenanjung seramai 12 orang semuanya dari pelbagai negeri. Sampai kat Sarawak, daripada 12 orang dipecahkan kepada 2 kumpulan terdiri dari 6 pelajar. Satu kumpulan dihantar ke Miri dan satu kumpulan lagi dihantar belajar ke Saratok. Lima tahun kami belajar bersama. Bila habis tingkatan lima tahun 1986 masing-masing bawa diri. Ada yang pergi KPP, ada yang masuk tingkatan 6 dan ada juga yang keciciran macam aku ni...haha. Bila dah masing-masing bawa diri jadinya masing-masing lost contact sehinggalah kemajuan teknologi menemukan semula melalui FB. Itulah kebaikan facebook kan. Cumanya jangan disalah guna. Kalau disalah guna yang elok pun jadi tak elok.

Kawan aku yang sorang ni baru je dapat contact semula. Baru dua tahun macam tu. Itulah yang buat aku segan. Kalau bukan musim durian tak mau pi ziarah kawan. Tetiba mai musim durian timbul pulak kat pintu rumah dia...haha haru betul. Itulah sebabnya musim durian yang lepas aku diajak ambil durian kat dusun kawan aku ni, jadi segan la pulak, rasa keberatan nak pergi. Musim durian kali ini memang nampak sangat buahnya kurang,  segan jugak nak pi walaupun diajak. Tapi sebab aku dah dua tiga kali jumpa sahabat aku ni, tak de la nampak sangat aku kemaruk durian...hahaha kan kan kan.

Apa pun terima kasihlah kepada sahabat ku itu. Semoga dimurahkan rezekinya. Terima kasih daun keladi. Kalau ada, mai la panggil ambil lagi. Moleknya bukan durian sahaja, kalau boleh dengan rambutan, pulasan, manggis dan yang lain-lain jugalah. Hehe kalau macam tu barulah puas pi dusun.