Udang sambal petai aku masak untuk berbuka puasa hari ini sekali dengan lauk paprik. Aku memang peminat setia sambal petai. Anak-anak aku suka makan udang. Jadi, to be fair aku masaklah udang sambal petai. Ayahnya okay, anak-anak pun okay. Resepi ni adalah mengikut cara aku. Cara yang mudah dan senang. Apa pun yang pentingnya sedap. Peminat setia masakan aku biasanya anak-anak akulah. Kalau mak dia orang masak, dia orang akan makan pelan-pelan je, sikit pulak tu. Tapi kalau paknya masak, makan dia orang mesti bertambah. Adeh la, paknya memang suka angkat bakul. Kalau maknya baca entrinya sah la akan berperang. Nasib baik maknya tak tau aku ada blog...haha. Okaylah, cerita banyak pun tak guna. Jom tengok resepi Udang Sambal Petai yang senang bangat ini.
Resepi Udang Sambal Petai
Bahan-bahan
1/2 kg udang
200 gram petai (mata sahaja)
3 ulas bawang putih*
4 biji bawang merah*
1 inci halia*
Belacan sebesar ibu jari* (bakar dahulu)
6 sudu makan cili boh/cili kisar*
1 batang serai diketuk
1 biji bawang besar potong gelang
1 @ 1 1/2 sudu kecil garam
2 @ 2 1/2 sudu kecil gula
1/2 sudu kecil serbuk perasa atau boleh digantikan dengan serbuk cukup rasa
sedikit air asam jawa
sedikit air
minyak untuk menumis
Cara
Masukkan semua bahan yang bertanda * ke dalam blender kemudian tambah sedikit air dan kisar halus (cili boh/cili kisar pun blend sekali).
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik minyak. Masukkan serai yang diketuk.
Masukkan udang yang telah dibersihkan. Terpulang sama ada nak buang kepala atau tidak. Gaul rata. Aku biasanya potong janggut dan muncung tajamnya sahaja. Kepala udang sedap kalau disedut kuahnya, sebab itulah aku tak buang kepala udang.
Masukkan petai. Kalau kering tambah sedikit air. Biasanya udang akan mengeluarkan air bila di masak. Jadi tak perlu tambah air yang banyak. Masukkan bawang besar. Gaul rata.
Masukkan air asam jawa. Gaul rata. Bila menggelegak tambah garam, gula dan serbuk perasa. Adjust garam dan gula ikut selera anda. Nak sambal yang sedap mesti lebihkan gula berbanding garam. Biar ada rasa sedikit manis tapi jangan terlebih manis pulak.
Bila rasa dah sesuai dengan selera anda, tutup api. Sambal udang dan petai tak boleh masak lama sangat nanti udang jadi kecut dan liat lepas tu petai jadi kurang rangup.