Monday, 11 August 2014

"Sunset" dari lensa kameraku

Aku paling suka gambar matahari terbenam. Kalau kena pada masa dan tempatnya, gambar yang terhasil amat cantik dan mengagumkan. Biasanya kalau aku jalan-jalan makan angin atau jalan-jalan cari makan kat tempat yang dekat dengan pantai memang aku akan bawa kamera. Bersedia untuk ambil gambar sewaktu matahari terbenam. Dari pengalaman aku, ada beberapa perkara yang perlu kita perhatikan untuk mendapatkan gambar matahari terbenam yang menarik. Yang paling penting ialah masa. Biasanya kalau di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia, pukul 7.00 petang ialah waktu matahari sedang berada di ufuk barat. Masih nampak matahari sebiji bulat tapi dah dekat sangat nak tenggelam. Waktu ini dah boleh ambil gambar tapi pada aku waktu yang paling cantik pemandangannya ialah sekitar pukul 7.20 ke 7.35 petang. Waktu ini biasanya matahari dah tenggelam tapi cahaya lembayung yang dihasilkan sangat cantik. 

Pantai Kuah, Langkawi 7.31 pm.



Selain dari itu aku selalu perhatikan awan di ufuk barat. Kalau langit tak berawan, gambar matahari terbenam kurang cantik sebab cahaya yang kena awan tu lah yang akan  menimbulkan warna yang menarik. Kalau awan bertompok-tompok dan banyak itulah masa yang sesuai ambil gambar matahari terbenam. Aku suka letakkan model dalam gambar matahari terbenam yang aku snap. Boleh minta kawan-kawan tolong jadi model. Kadang-kadang tu memang ada orang yang mandi atau memerhatikan matahri terbenam. Masa tu kita snap gambar dia orang berlatar belakangkan matahari. Gambar dia orang tu akan jadi gelap, tak nampak muka pun jadi tak timbul masalah kemudian hari. 

Port Dickson 7.18pm.






Pantai Klebang, Melaka 7.35 pm.
Selain dari manusia sebagai objek yang berlatar belakangkan matahari terbenam, kalau ada peluang dapatkan model yang lebih menarik dan semulajadi. Yang ini kira nasib. Kalau nasib baik boleh dapat. Contoh sekawan burung terbang. Kalau dapat snap gambar macam ni dan disertai latar belakang matahari terbenam gambar akan nampak lebih menarik. Aku ada tersnap satu gambar burung terbang ketika matahari terbenam. Memang aku tak berniat nak ambil gambar macam tu tapi bila masa snap ngam-ngam burung tu lalu.

Jeram, Kuala Selangor 7.16 pm.


Sebenarnya untuk dapat gambar matahari terbenam yang cantik bergantung kepada kreativiti masing-masing. Kalau rajin boleh cuba white balance yang berlainan. Cuba gunakan cloudy, shade, tungsten dan lain-lain. Setiap kali snap, tengok perbezaan gambar dalam mode white balance yang berlainan. Jangan guna auto white balance kerana ia akan menghilangkan warna keemasan ketika matahari terbenam. Tapi kalau snap dalam format RAW, white balance tu tak payah set la. Nanti balik rumah boleh adjust balik white balance dia. Kalau snap gambar model berlatar belakangkan matahari dan anda dapati gambar model tu kurang gelap, maksudnya nampak rupa dan muka anda kena lock exposure tempat yang lebih cerah. Caranya halakan kamera ke arah tempat yang lebih cerah. Fokus kemudian lock exposure tempat cerah tersebut. Macam mana nak buat anda rujuk manual kamera anda masing-masing. Lepas dah lock exposure tu halakan semula kamera anda kepada objek asal yang berlatar belakangkan matahari tadi. Kemudian snaplah macam biasa. Gambar jadi lebih gelap dan muka model anda pun jadi tak nampak. Jadi macam gambar burung kat atas tu.

Aku biasa gunakan ISO yang kurang kalau snap gambar-gambar macam ni. 100 biasanya dah okay. Aperture gunakan f8 ke atas sebab gambar ni kira landscape. Bagi background nampak sharp. Shutter speed biar kamera tentukan sebab aku biasa guna mode AV. Akhir sekali kalau anda ambil gambar matahari terbenam jangan fokus tepat ke arah matahari kerana ia boleh merosakkan mata anda. Boleh fokus awan dan sebagainya. kalau auto fokus susah nak fokus, guna manual fokus.

Wednesday, 6 August 2014

Nasi Ayam Lot 10, Medan Selera Jalan Sungai Kuah, Pekan Kuah, Langkawi vs Ownn Nasi Ayam Keramat, Kuala Lumpur

Kali ini aku nak cerita pasal makan. Khasnya nasi ayam. Kalau di Kuala Lumpur rasanya ramai yang tahu Ownn Nasi Ayam depan stesyen minyak Petron Keramat (dekat dengan Keramat Mall). Sebenarnya aku baru tahu je hehe. Tu pun ada ceritanya. Kalau tidak aku pun tak tau. Biasanya kalau nak makan nasi ayam aku buat sendiri je. Selama aku duk makan nasi ayam kat mana-mana pun aku rasa nasi ayam yang aku masak lagi power. Sebab tu lah aku jarang makan nasi ayam kat luar. Masak sendiri puas makan dah tu pulak boleh ulang-ulang makan. Kalau makan nasi ayam kat luar, nasi dia alamak aii ciput sungguh. Rasa dizalimi je bila kena macam tu. Sup pulak cair gila. Apa punya meniaga la macam tu.

Berbalik kepada ceita pasal tajuk entry kali ini, baru-baru ni aku pi Langkawi. Famili dan kaum kerabat aku semua ikut. Ada la dalam 20 orang semuanya. Aku pi sana tak dak tujuan lain melainkan jalan-jalan makan angin je tapi aku tau kaum kerabat aku pi sana sebab nak shopping. Memang sungguh pun dia orang shopping bagai nak rak. Penyudahnya masa nak balik berpeluh sampai basah baju aku mengangkat barang-barang dia orang yang dah menimbun nak naik feri. Kebanyakan tempat untuk bershopping kat Langkawi ni ialah kat pekan Kuah. Yang topnya ialah kat HIG (Haji Ismail Group). Dah penat dia orang shopping kita orang pun pi la makan kat Medan Selera Jalan Sungai Kuah. Nama Jalan Sungai Kuah tu aku rasa sebab jalan tu betul-betul sepanjang tepi Sungai Kuah. 

Tempat ni senang je nak cari. Kalau kita datang dari jeti feri menghala ke pekan Kuah kita akan melalui masjid di sebelah kiri. Lepas masjid ada kompleks pekan rabu di sebelah kiri jugak. Jalan terus ke depan lagi anda akan melalui jambatan yang melintasi sungai. Sungai tu kecil je. Tepi jambatan kiri kanan ada bot-bot nelayan kecil parking kat situ. Itulah dia Sungai Kuah. Di sebelah kanan jalan besar ada satu jalan betul-betul memanjang ikut tepi sungai . Itulah dia Jalan Sungai Kuah. Tapi kalau kita dari jeti kemudian lalu masjid dan kompleks pekan rabu sampai jambatan ni kita tak boleh terus belok ke kanan sebab ada divider di tengah jalan. Kita kena jalan terus ke depan lagi lalu balai bomba di sebelah kanan kemudian kat depan sikit lagi ada simpang boleh buat u turn. Kalau tak buat u turn pun boleh. Masuk kanan terus sampai dekat hujung jalan ada simpang ke kanan, ikut jalan tu terus je sampai lintas jambatan. Kemudian belok kiri dah boleh nampak medan selera dari situ (medan selera tu sebelah kanan). Itu kalau tak buat u turn. Kalau buat u turn, sampai kat jalan tepi sungai tadi beloklah ke kiri. Jalan terus dalam seminit dua jumpalah medan selera di sebelah kanan jalan.

Jadi apa kaitannya nasi ayam medan selera Jalan Sungai Kuah Langkawi dengan Ownn Nasi Ayam Keramat? Sat lagi aku habaq mai no. Masa aku datang makan kat medan selera ni aku datang dengan kaum kerabat. Ramai la. Jadi nak senang dan pantas kami order la makanan yang sama untuk semua sekali iaitu nasi ayam. Sebelas pinggan semuanya. Budak-budak tak nak makan. Kedai ni orang agak ramai. Nampak macam semua makan nasi ayam. Agaknya dia orang pun berfikir sama macam kita orang kot. Nak senang dan cepat. Sudahnya semua orang order nasi ayam hehe. Okay kita tengok dulu rupa kedai nasi ayam ni ye.

Lot 10, Medan selera Jalan Sg Kuah, Langkawi.


Dalam gambar atas tu meja depan kosong tapi di sebelah kiri gambar, penuh dengan pelanggan. Meja kuning sebelah kanan tu kedai sebelah punya, tutup masa aku datang. Okay, bila nasi sampai aku pun makan la. Hmm sedap rupanya nasi ayam kedai ni. Aku ni kalau masak nasi ayam memang kira expert jugak la. Aku rasa satu-satu dari nasi, ayam, sup dan sos dia. Nak tau apa yang menyedapkan nasi ayam dia ni. Semuanya sedap tapi yang paling menyerlah dah menyedapkan nasi ayam ini ialah sos dan sup dia. Untuk pengetahuan anda, nasi ayam kedai ni tak ada kicap. Kalau anda selalu makan kat Ownn Nasi Ayam Keramat anda akan dapati kat situ kadang-kadang ada disediakan kicap sebagai sebahagian daripada hidangan nasi ayam dia orang tapi kadang-kadang tak ada. Tapi kalau yang kat Langkawi ni memang tak ada kicap. Sebenarnya ini bukan kebetulan, ada kaitannya. Nanti aku cerita hubung kaitnya. Masa makan tu aku terfikir nak tanya resepi sos nasi ayam kedai ni. Tah dia orang nak bagi ke tak. Nanti aku cuba tanya tengok. Lain-lain bahan nasi ayam macam sup, ayam, nasi dan kicap memang aku rasa masakan aku tak kalah dengan nasi ayam kedai ni. Cuma bab sos ni aku fail sikit. Tu lah aku fikir baik aku tanya resepi sos dia orang ni.

Lepas makan aku pi kat meja bayaran. Semua sekali RM62.00 termasuk minuman yang adalah dalam 15 gelas terdiri daripada teh o ais, teh o ais limau, sirap limau, laici, fresh oren dan sebagainya. Aku kira-kira sepinggan nasi ayam harganya cuma RM4.00. Murah la tu. Mana boleh bandingkan dengan KL. Kalau kat Ownn Nasi Ayam sekarang ni sepinggan RM7.00.....oii mak kau hehe. Lepas bayar aku sembang dengan pakcik tuan kedai ni. Lupa nak tanya nama dia. Aku tanya dia pelan-pelan boleh tak bagi resepi sos nasi ayam dia orang. Hanya resepi sos sahaja. Yang lain-lain aku tak nak. Pakcik tu tanya aku meniaga ke tak. Aku kata la aku tak meniaga. Saja kadang-kadang buat nasi ayam untuk makan sendiri. Dia pun setuju bagi resepi sos tu. Dia bagi tau detail siap suruh aku tulis lepas tu supaya aku tak lupa. Aku pun dengar baik-baik apa yang dia cakap. Bahan sos lebih kurang sama je cuma adunan dan kuantiti bahan je yang membuatkan sos tu rasa lain.

Pakcik tu tanya aku mai dari mana. Aku kata la mai dari KL. Hmm dia kata kalau nak rasa nasi ayam yang sama macam nasi ayam dia pi lah ke Ownn Nasi Ayam depan Petron Keramat. Hehe rupanya tauke Ownn Nasi Ayam tu adik kepada pakcik ni. Jadi kaitan antara gerai nasi ayam Lot 10, Medan Selera Jalan Sungai Kuah, Pekan Kuah, Langkawi dengan Ownn Nasi Ayam Keramat, Kuala Lumpur ialah taukenya adik beradik. Yang kat Langkawi tu abang manakala yang kat Keramat tu pulak adik dia. Kalau sapa-sapa kat KL pernah makan nasi ayam Ownn dan kata nasi ayam dia sedap, anda patut cuba abang dia punya kat Langkawi (kalau anda bercuti di sana). Dua-dua aku dah rasa dan pada pandangan aku yang abang dia punya lagi power. Bukan aku kata yang kat Keramat tu tak sedap. Kat keramat tu memang sedap tapi yang Langkawi punya lagi terangkat. Hehe hampa bayangkanlah sendiri ye. Yang kat Keramat tu kalau pergi tengah hari meja penuh memanjang sampai pukul 3-4 petang. Tunggu lama la sikit. Yang bungkus pun banyak. Kena la banyak sabar :). Yang kat Keramat ni sos dia rasa lain sikit berbanding Langkawi punya. Sebab tu lah aku kata Langkawi punya lagi power. Ayam yang kat Keramat ni color merah sikit tapi yang Langkawi agak gelap sikit. Aku rasa yang Langkawi punya lagi lembut. Nama pun yang Langkawi tu abang yang Keramat tu adik mestilah menang kat abang dia. Banyak pengalaman gitu.

Kata orang (tak pasti betul ke tak) dulu abang dia yang meniaga kat Keramat tu. Bila abang dia pindah pi Langkawi dia bagi kat adik dia meniaga kat situ. Sebab tu lah kalau sapa-sapa pernah makan nasi ayam kat situ daripada dulu sampai sekarang pasti dapat merasakan perbezaan rasa antara nasi ayam dulu dan yang sekarang. Yang ori dah pindah pi Langkawi. Jadi jika anda bercuti ke Langkawi bolehlah try nasi ayam Lot 10, Medan Selera Jalan Sungai Kuah, Pekan Kuah, Langkawi. Untuk kedudukan yang tepat anda gunalah google map. Sat je cari boleh jumpa. Kalau tak jumpa juga boleh call pakcik kedai tu. Nombor handphone dia 0194576242 atau 0173013062.

Monday, 4 August 2014

Pak Bakar belanja makan laksa Penang.

Ada dua sebab kenapa aku buat blog ini. Pertama sebab cuti raya lama sangat sampai aku boleh terlupa password blog aku yang terdahulu. Haha macam ni pun ada ka? Jenuh aku ingat-ingatkan tapi tak dapat jugak. Tu lah dia perangai orang belagak ni. Password tak nak simpan elok-elok konon boleh ingat la. Sudahnya habuk pun tak dak. Tapi tak apalah. Lessons learnt. Kenalah aku mulakan blog yang baru. Kira macam bayi baru lahirlah blog ni. Aku lah yang akan mencorakkan hala tujunya hehe.

Sebab keduanya pulak ialah aku teringatkan Pak Bakar. Jadi aku abadikan nama Pak Bakar untuk entry pertama dalam blog ini. Ada cerita asal Pak Bakar ni. Meh sini aku ceritakan kisahnya. Aku ni lahir di utara Semenjung Malaysia. Ibu bapa meninggal masa umur aku 9 tahun. Anak yatim piatulah aku ni. Kampung aku dulu kelilingnya sawah padi. Aku tinggalkan kampung masa umur 12 tahun. Sekarang ni tak ada lagi famili aku yang tinggal di kampung. Semua dah ada keluarga masing-masing dan semuanya pun dah merantau bawa diri masing-masing. Tanah pusaka di kampung dah jadi rang. Kalau orang utara kata tanah rang maksudnya tanah yang sudah tidak diusahakan. Tanah terbiarlah senang cerita. Dah ditumbuhi hutan belukar. Aku pun dah lama sangat tak balik kampung sebab kalau aku balik kampung pun bukannya ada tempat aku nak tuju. Lagipun aku la ni dah jadi orang bandar manalah aku tahan gigitan nyamuk yang banyak dan besar-besar kat kampung tu. Nyamuk satu hal, pacat pun satu hal jugak hehe (orang kampung jangan marah no :) ). Ini baru intro je, kisah Pak Bakar belum mula lagi tau.

Aku ni walaupun dah berpuluh tahun duk Kuala Lumpur tapi hati dan jiwa aku masih merindui suasana kampung. Nak jadi cerita, pada hari raya kedua yang lepas aku pi beraya rumah saudara mara sebelah orang rumah aku di negeri paling utara semenanjung. Seluruh keluarga sebelah orang rumah aku ikut serta. Tak dak sorang pun yang tertinggal. Baik yang tua sampai la yang umur dua bulan pun ikut sekali. Masa balik tu singgah la kat Kubang Semang. Adik ipar aku kahwin dengan orang kampung tu. Ada la jugak dalam 4-5 kali aku pi rumah mertua adik ipar aku tu sebelum ni. Keluarga mertua dia pun baik-baik belaka. Plannya singgah kejap je pas tu nak terus balik KL tapi orang sana pelawa la bermalam di rumah dia orang pasal masa tu pun dah pukul 11 malam. Dia orang kesian agaknya pasal kita orang letih memandu. Jadi tidurlah semalam di Kubang Semang, Bukit Mertajam.

Pak Bakar tu sebenarnya nama pak mertua adik ipar aku. Aku dengan Pak Bakar ni tak dak hubungan apa-apa cuma saudara seagamalah. Tapi yang syoknya Pak Bakar ni baik orangnya. Tu lah yang buat aku respek kat dia. Di belakang rumah Pak Bakar ni ada lagi 4-5 buah rumah. Lepas 4-5 buah rumah tu terbentang luas sawah padi. Kalau kita lalu highway PLUS kat area Permatang Pauh tu kita akan jumpa sawah padi kiri kanan highway. Macam tu lah rupanya sawah padi di belakang rumah Pak Bakar. Aku sebenarnya rindu sangat dengan pemandangan sawah padi. Zaman kanak-kanak aku memang bergelumang dengan sawah. Istilah-istilah yang orang bendang je tau macam menggagau, berkubang, menimba, berderau memang membangkitkan nostalgia. Mana aku boleh lupa tahan taut dapat ikan keli dan haruan. Menggagau ikan sepat kadang-kadang dapat ular air. Kalau berkubang dalam tali air sah la kena ligan dengan orang tua-tua pasal dia orang nak mandi air tali air dah jadi macam air susu. 

Pagi sebelum balik KL tu aku melilau kat belakang rumah Pak Bakar. Ingatkan nak pi tengok bendang nak mengimbas kenangan lalu. Kebetulan Pak Bakar nampak aku kat belakang rumah dia jadi aku tanya la berapa jauh nak pi ke sawah. Dia bagi taulah dalam 4-5 biji rumah macam tu. Aku agak-agak jauh jugak kalau nak berjalan. Rumah kampung bukan macam rumah kat taman perumahan. Rumah kampung laman dia luas. Tak jadi la aku nak jalan. Pak Bakar tau yang aku memang nak sangat pi jadi dia start motor ajak la aku pi round kampung. Aku pun apa lagi, ambik kamera gantung la kat leher. Dalam perjalanan ada la jumpa orang kampung. Segan jugak aku pasal siap bawa kamera lagi. Sah la depa kata orang ni tah mai dari mana tak tau la. Tapi ak Bakar sporting. Habis dia bawa aku pusing satu kampung. Masuk jalan tengah sawah sampai la tepi highway PLUS. Sempat la jugak aku minta dia berhenti untuk aku ambil gambar. Salah satu gambar yang aku ambil tu aku jadikan header blog ini. 

Waktu aku dengan Pak Bakar round satu kampung tu lebih kurang pukul 10 pagi. Rombongan dari KL sebenarnya dah nak bergerak balik. Bila-bila masa je dia orang akan bertolak. Tapi sebab aku belum balik dia orang kena la tunggu lagi hehe. Yang bestnya bila dah habis part round kampung Pak Bakar bawa aku singgah kat warung laksa. Warung tu memang top satu kampung. Orang luar ada mai ke tak aku tak tau la. Pak Bakar order laksa campur. Ada sotong, tauhu, cucur udang, telur rebus selain dari bahan hiasan laksa yang biasa. Harga sepinggan jeng jeng jeng hanyalah RM3.00 sahaja. Laksa biasa sepinggan RM2.00. Laksa special RM3.50. KL mana nak dapat oii! Masa pi negeri paling utara hari tu aku sebenarnya nak pekena laksa Pak Su belakang Maybank Kuala Perlis. Tapi sebab kesuntukan masa tak sempat nak pi. Jadi bila Pak Bakar belanja aku makan laksa kat Kubang Semang aku rasa macam terkabul jugak la niat aku nak makan laksa. Sebab tu lah aku ingat sangat dengan pak Bakar ni. Kat bawah ni aku upload gambar-gambar yang sempat aku ambil masa round satu kampung dengan Pak Bakar tempoh hari.


Kampung aku dulu lagu ni lah.

Saujana mata memandang.

Buah padi baru nak terbit.

Laksa campur Bukit Indera Muda, Kubang Semang. Sepinggan RM3 shj.
Kedai ni tepi jalan. Bahagian belakang ada mesin laksa. Laksa basah depa buat sendiri.
Yang ni orang tempah. 100 pax ada kot. Tunggu tuan dia mai ambik.
Last but not least, terima kasih kepada Pak Bakar yang sudi bawa aku membonceng motor pusing keliling kampung dan jalan atas batas sawah padi semata-mata nak temankan aku ambil gambar dan menyaksikan panorama Kampung Kubang Semang.