Sunday, 23 August 2015

Skodeng resepi ayam masak halia cara mamak

Ada suatu hari tu aku pergi kedai mamak. Janji nak jumpa kawan. Biasa kalau jumpa kawan port baik mesti kat kedai mamak punya. Tunggu punya tunggu kawan aku ni tak sampai-sampai jugak. Aku bosan menunggu. Teh O ais pun dah habis secawan. Last-last aku pi belakang kedai mamak. Aku tahu biasanya dia orang masak kat bahagian belakang kedai. Tujuan aku ke belakang kedai tu sebenarnya nak mengendap resepi masakan mamak. Kebetulan masa aku sampai kat belakang kedai tu mamak tukang masak tengah menumis. Kuali tengah berasap. Aku pun skodeng la, apa benda yang di masak. Rupanya dia tumis bawang merah dan bawang putih. Agak-agak bawang dah berubah warna sedikit perang dia masukkan pula cili kering. Cili kering yang dipotong kasar siap dengan biji dia aku nampak timbul di atas minyak. Lepas tu digaul semua tu sampai bawang semuanya perang sepenuhnya kemudian dia masukkan ayam yang di potong kecil-kecil.

Aku tanya mamak tu, apa dia masak. Dia kata ayam masak halia. Tah betul ke tidak aku pun tak tahu.....haha. Entah-entah dia kelentong aku je. Tapi tak apa, kawan aku pun tak sampai lagi jadi aku ada masa tunggu mamak tu masak sampai habis. Ayam yang di masukkan dalam kuali tadi dia gaul dan tunggu sehingga lembut. Warna kuahnya dah jadi perang kehitaman disebabkan oleh warna bawang yang ditumis sampai perang tadi. Setelah ayam  lembut aku nampak mamak tu tambah air. Aku ingat air biasa rupanya air pati halia. Yang ni dia yang bagi tau aku. Patut la aku nampak warna air tu keruh memang macam warna air halia. Betullah apa yang mamak ni bagi tahu aku yang dia masak ayam masak halia. Dia tak kelentong akulah tu.

Aku nampak lagi dia tambah serbuk cili, diikuti dengan serbuk ketumbar, serbuk kari dan serbuk lada hitam. Digaul rata semuanya kemudian dia tambah garam dan gula. Memang lain macam betul cara mamak ni masak ayam masak halia. Agaknya dia orang punya cara memang macam tu kot. Bila dah siap aku nampak masakan mamak tu memang menyelerakan. Biasanya untuk pekatkan kuah ayam masak halia kita guna tepung jagung tapi mamak ni tak guna tepung jagung pun. Kuahnya masih nampak pekat. Agaknya sebab kuah dia sikit, di masak sampai agak kering tu lah jadinya kuah pekat. Dah siap dia masak aku pun apa lagi ambil pen terus tulis bahan dan cara masak ayam masak halia stail mamak. Lepas tulis aku bacakan kat mamak tu betul ke tak apa yang aku tulis tu. Mamak tu kata betul. Makanya dapatlah aku resepi Ayam Masak Halia cara mamak hasil dari skodeng aku kat dapur mamak. 

Aku belum cuba lagi resepi ini tapi aku pasti akan cuba bila aku cuti nanti. Masakannya mudah dan cepat. Ada iras-iras ayam macam kicap sebab kuahnya gelap. Aku kalau ayam masak kicap memang suka sangatlah tapi....ada tapinya jugak hehe....kombinasi gula dan garamnya mesti ngam barulah rasanya sedap. Biasanya kebanyakan masakan (bukan semua ya) kalau nak bagi rasanya sedap mesti lebihkan manis berbanding masin. Tak percaya tengoklah sambal nasi lemak. Kalau nasi sambal nasi lemak masin mana ada sedapnya. Macam tu juga dengan ayam masak merah. Ayam masak merah yang sedap biasanya rasa manisnya ada. Daging masak hitam pun sama. Kena timbulkan rasa manisnya. Ini semua aku belajar masa aku training jadi tukang masak kat syarikat katering. Dah dapat ilmu memasak aku pun cabut ler. Tapi awas ye, manis yang aku maksudkan bukannya manis sangat. Manisnya sikit sudahlah. Kalau kuat sangat manisnya jadi tak sedap pulak.

Aku tuliskan resepi ayam masak halia cara mamak ni supaya nanti kalau aku terlupa aku boleh rujuk balik kat sini. Kalau ada sapa-sapa nak cuba pun boleh jugak. Tapi seeloknya baiklah aku yang cuba dulu.....haha, manalah tahukan dah masak nanti rasanya tah apa-apa alamat kena kutuklah aku. Selepas aku cuba nanti, aku akan update dengan gambarnya sekali. Kat bawah ni aku turunkan dulu bahan-bahan dan cara masaknya.


Ayam Masak Halia Mamak Style

Bahan-bahan
1/2 kg ayam potong kecil-kecil
10 tangkai cili kering potong kasar (1 tangkai potong dua cukuplah)
6 biji bawang merah dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
1/2 cawan pati halia (yang ni aku agak mungkin dalam 1 atau 2 inci halia. mamak tu aku tengok guna pati je)
1 sudu makan serbuk ketumbar
1 sudu makan serbuk cili
1 sudu makan serbuk kari
1/2 sudu makan serbuk lada hitam
garam dan gula secukup rasa
minyak untuk menumis (minyak ni aku nampak agak banyak juga)
1 biji tomato potong 3 - yang ni aku suggestkan
1 biji bawang besar potong gelang - yang ni pun aku suggest

Cara
Panaskan minyak. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga sedikit perang kemudian masukkan cili kering.

Setelah bawang menjadi benar-benar perang, masukkan ayam. Gaul rata. Masak sehingga isi ayam lembut.

Kemudian tambah pati halia. Jika agak kering tambahkan sedikit air. Gaul rata.

Masukkan serbuk cili, diikuti oleh serbuk kertumbar, kari daging dan serbuk lada hitam. Gaul rata semua bahan. Perasakan dengan gula dan garam. Kalau sapa suka masukkan bahan perasa, bolehlah masukkan sekali. 

Kalau nak tambah tomato, boleh tambahkan waktu ini. Bawang besar yang dipotong gelang pun boleh juga kalau nak masukkan masa ni.

Bila kuah mereneh dan jadi pekat tutup api. Sedia untuk dihidang.

Sekian dari saya. Selamat mencuba ya tuan-tuan dan puan-puan :) 

No comments:

Post a Comment