Tuesday, 23 February 2016

Buah ini membawa aku mengenangkan kembali zaman kanak-kanak.

Lama dah aku tak jumpa buah yang satu ini. Kawasan rumah aku sekarang memang buah ini tak akan dijumpai. Kalau jumpa buah ini segera fikiran aku akan melayang ingat zaman kanak-kanak. Buah ini sangat banyak kat belakang rumah aku dulu. Pokoknya menjalar dan memanjat pokok nipah. Buahnya berjuntaian dan kalau masak warnanya bertukar hitam. Sekali tengok seolah-olah buah anggur hitam, sungguh menyelerakan. Buah yang muda berwarna hijau. Bila nampak buah ini rasa nak petik dan terus makan tapi tak pernah di buat orang. Kalau dicampur dalam masakan kari atau asam pedas memang ada namun aku tak pernah makan kari atau asam pedas yang dicampur dengan buah ini. 

Buah Lakum
Kalau di kampung aku buah ini dikenali sebagai Buah Lakum. Masa belajar mengaji bila sampai ke ayat Lakum Diinukum Waliya Diin” buah inilah yang bermain dalam fikiran aku. Tentulah ayat tersebut tidak ada kaitan dengan buah lakum. Hanya nama dan sebutannya sahaja yang sama.

Anak-anak aku tak tahu ini buah apa.
Anak-anak orang bandar rasanya tak tahu buah ini buah apa. Anak aku dua-dua tak tahu. Membesar di bandar memang jauh bezanya dengan membesar di kampung. Aku dulu kalau tengok daun pokok mempelam pun aku dah tahu jenis apakah mempelam itu. Tapi skill tu hilang sedikit demi sedikit bila aku keluar meniggalkan kampung halaman.

Buah lakum sinonim dengan pokok nipah. Pelepah nipah yang tinggi menjadi tempat pokok lakum menjalar naik. Selain sinonim dengan pokok nipah, bagi aku buah lakum ini sinonim dengan sawah padi. Di belakang rumah aku dulu ada sawah padi dan pokok nipah. Itulah tempat aku bermain dan mencari ikan laga. Biasanya kalau ada pokok nipah adalah ikan sempilai atau ikan laga. Dulu aku panggil ikan laga sebagai ikan sempilai. Ikan sempilai sangat cantik. Warna setiap ikan berbeza antara satu sama lain. Ikan ni buat sarang dan bertelur di celah-celah pangkal pelepah nipah. Nak tengok sarangnya senang sahaja. Kalau celah pelepah nipah berbuih maknanya adalah ikan sempilai ada di situ. 

Ikan Sempilai @ Ikan Laga. Gambar hasil carian google.
Tapi kena kenal jugak buihnya. Buih ikan sempilai strukturnya kecil. Ada satu lagi ikan yang seakan sama ikan sempilai. Lupa nama dia. Ikan yang satu lagi ini menghasilkan buih yang berstruktur sedikit kasar. Ikan itu pun cantik juga cuma ianya tidaklah secantik ikan sempilai. Kalau ikan sempilai, pantang jumpa ikan sempilai lain, mereka akan berlaga@lawan sebab itulah ianya dinamakan juga ikan laga. Ikan yang sejenis lagi tu tidak berlawan. Itulah bezanya dua jenis ikan ini. Best betul zaman aku membesar di kampung. Pengalaman macam ni dah tak ada lagi sekarang ini. Zaman dah berubah. Aku pasti sentiasa merindui zaman kanak-kanak dulu.

2 comments:

  1. Mana saya nak dapatkann buah tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. belukar yang ada pokok nipah biasanya blh jumpa buah ni

      Delete