Sunday, 14 February 2016

Mai sini chek ajaq hampa goreng char kuey teow sungai dua

Hari ni chek nak habaq mai cara goreng char kuey teow yang macam kat Sungai Dua tu. Sebenarnya chek pun tak tau lagu mana depa kat Sungai Dua goreng char kuey teow. Chek makan pernah la tapi tak pernah pulak jenguk kat dapur dia......hehe. Chek saja buat gempak ja. Jangan marah no. Pada sapa yang tak tau char kuey teow Sungai Dua telur dibasuh nu ada dekat-dekat tol Lebuhraya PLUS Sungai Dua. Sapa peminat char kuey teow depa tau la. Kalau hampa tak tau jugak hampa google la, mesti jumpa punya.

Nak terbelit lidah duk becakap slang utara. Baik aku tulis bahasa standard aku je......hehe lagi senang. Esok anak sedara nak masuk sekolah berasrama penuh. Sebelum pi daftar dia minta char kuey teow paklong dia yang sungguh sedap sehingga menjilat jari. Paklong dia tu aku la. Tak pa la, anak sedara punya pasal aku pun buat la. Lagi pun aku dah lama tak makan char kuey teow. Aku pun sebenarnya nak juga. Anak-anak aku pun nak jugak. Bini aku pun nak. Adik ipar aku pun nak. Elok la buat agar semua dapat makan. Sambil masak sempat la aku snap gambar step by step. Kalau sesiapa nak cuba masak boleh la try. Aku pasal masak char kuey teow ni memang expert. Nak api naik boleh, tak nak api naik pun boleh. Tapi kalau naik api, char kuey teow yang dimasak jadi kurang sedap sikit sebab ada rasa macam terbakar. Kalau meniaga, nak tarik pelanggan kena naikkan api tinggi-tinggi bagi pelanggan nampak. Barulah terangkat.

Mula-mula goreng udang dulu. Sekejap je. Cukup sampai udang bertukar warna kemerah-merahan.


Kemudian ketepikan udang, masukkan cili kisar dalam sesudu. Tumis sampai cili masak.
Lepas tu masukkan daun kucai, tauge dan sos char kuey teow. Gaul rata.
Masukkan pula kuey teow. Guna yang halus. Kalau tak ada yang kasar pun ok. Gaul sebati.
Tambah air masak. Sikit je dalam 1/2 cawan (bukan gelas). Gaul lagi bagi sebati.
Tak perlu tunggu air menggelegak. Air suam-suam dah cukup. Pecahkan sebiji telur, masukkan dalam kuali terus kacau rata. Lepas kacau matikan api terus tuang ke pinggan agar telur tidak mengeras. Jika telur mengeras kualiti kuahnya akan terjejas. Sebab itulah tak perlu tunggu hingga air menggelegak. Jika air meggelegak telur akan cepat mengeras.

Hehe....yang ini cara aku makan. Udang tinggal last sekali untuk aku ratah. Kena jaga elok-elok, pantang lepa anak sedara aku cekau dulu.
Alhamdulillah.......selesai juga akhirnya......perghhhh :)

Kerang tak dak. Baru lepas raya cina susah nak dapat kerang. Jadi char kuey teow aku ni tak dak kerang. Kalau ada kerang lagi best. Menggoreng char kuey teow sekejap je. Paling lama 3 minit. Kalau meniaga depa goreng sepinggan char kuey teow ambil masa tak sampai seminit. Aku penah catat masa tukang masak goreng char kuey teow atas lori depan Vista Angkasa tepi LRT Stesyen Universiti kat Kerinci nu hanya ambil masa 39 saat sahaja untuk satu hidangan. Memang char kuey teow ni kena goreng satu-satu, barulah rasa dia tak lari. Kalau aku pulak, satu hidangan lebih kurang seminit.

Kesedapan char kuey teow bergantung kepada sos dia. Kalau sos dia sedap maka sedaplah char kuey teownya. Sos char kuey teow ada banyak di pasaran tapi nak cari yang betul-betul sedap susah nak jumpa. Kalau aku nak makan char kuey teow biasanya aku buat sos sendiri. Sos aku memang original resepi aku. Makan masa 3 tahun jugak aku buat trial and error barulah dapat rasa yang ngam. Tapi.....tapi buat masa ni aku tak boleh nak turunkan resepi sos tu kat sini sebab aku ada plan nak meniaga. Kalau tak ada plan nak meniaga memang aku nak kongsikan dengan pembaca blog aku ni. Masa depan tak taulah. Kot-kot aku berubah hati bolehlah aku turunkan ilmu aku tu di sini......hehe.

No comments:

Post a Comment