Wednesday, 29 January 2020

Sukatan air untuk tanak pulut yang nak dibuat tapai.

Dalam seminggu dua ini rasa teringin nak makan tapai pulut. Bukan apa, cuma nak menambah level gula dalam darah yang memang sedia ada tingginya...hehe. Kalau makan tapai pulut kat kedai mamak yang dalam bekas tupperware kecil tu setiap satu harganya RM1.50. Mahai sungguh. Nak makan puas-puas kena buat sendiri. Boleh makan sampai lebam. Tapi yang sebenarnya aku buat tapai pulut sebab nak dapatkan balik skil membuat tapai pulut yang dah lama ku tinggalkan. Sepupu orang rumah nak kenduri kawinkan anaknya bulan Febuari akan datang. Dulu pernah sekali datang rumah kebetulan masa tu ada hidangkan tapai pulut buatan sendiri.

Bila dah makan agaknya kena dengan selera dia terus dia buat tempahan untuk kenduri kawin anaknya. Aku pun ye kan ajelah. Sebab ingatkan dia bergurau. Rupanya memang betul-betul nak tempah. Minggu lepas datang rumah menjemput seterusnya confirmkan tempahan. Adehh......aku ni bukan nak meniaga. Buat tapai cuma untuk makan sendiri. Tapi dek kerana nak penuhi harapan orang apatah lagi mem punya sepupu kenalah penuhi juga hajat mereka. Itulah sebabnya rajin menapai seminggu dua ni sebab nak dapatkan balik skil yang dah lama ditinggalkan. Takut last minute buat tak jadi......haru nanti.

Bab menapai pada aku yang paling susah ialah tanak atau kukus pulut. Lembik tak boleh, keras pun tak boleh. Kukus lebih baik dari tanak tapi kukus ambil masa lama. Pada aku kalau nak senang tanak je atas dapur gas. Sekejap je masak. Dalam 20 minit siaplah untuk sekilo dua pulut. Cara untuk dapatkan tekstur yang sesuai untuk pulut yang nak dibuat tapai ialah dengan gunakan air yang sama banyak dengan beras pulut. Contohnya macam gambar kat bawah ni.


Beras pulut 1.558kg. RM5.00 satu kilo

Banyak inilah 1.558kg. Tandakan banyak mana beras pulut tersebut.
Kosongkan bekas kemudian tuang air sama paras dengan beras pulut tadi.

Basuh beras pulut kemudian tapis airnya. Masukkan semula ke dalam periuk dan campurkan air yang telah disukat tadi. Seterusnya tanaklah macam kita tanak nasi. Cuma pastikan api jangan kuat sangat. Gunakan api sederhana cukuplah. Kalau dah mahir bolehlah guna api besar. Guna api besar cepat masaknya. Kena selalu gaul terutama bahagian bawah untuk mengelakkan daripada pulut melekat ke dasar periuk. Bila air betul-betul kering, perlahankan api ke tahap yang paling kecil yang anda boleh kemudian tutup periuk dan biarkan dengan api kecil tersebut selama lebih kurang 10 minit. Pastikan periuk ditutup rapat kalau boleh tiada wap yang keluar kerana wap tersebut berfungsi untuk mengembangkan/memasakkan pulut. Lepas 10 minit tutuplah api dan pulut bolehlah dikaut dan diletakkan di atas talam bagi mempercepatkan proses penyejukkan. Pulut yang nak dibuat tapai mestilah sejuk sepenuhnya. Kalau tidak tapai tak jadi.

Monday, 20 January 2020

Kari kepala ikan yang sangat sedap

Kari kepala ikan versi aku sendiri. Kepala ikan Jenahak.

Dua kepala ikan jenahak masak kari yang baru siap dimasak. Masih duk dalam kuali lagi.
Minggu lepas rasa gian nak makan kari kepala ikan. Dah lama tak pekena. Aku pun pi la pasar borong Selayang beli dua ketul kepala ikan jenahak. Dua ketul RM26. Satu besar dan satu lagi sederhana. Beli bendi dan tomato sikit dan juga bahan-bahan lain. Aku kalau mengkari mesti tak lupa buh halba campur. Ada kelainan rasa kalau campurkan halba campur ke dalam masakan kari. Kalau nak bagi cantik color merah buh la sama serbuk cili. Campurkannya dengan serbuk kari. Nanti hasilnya kuah kari nampak merah cantik. Tengoklah gambar kari kepala ikan jenahak yang aku masak tu, color dia cantik merah-merah sikit.

Cerita pasal kari kepala ikan mengingatkan aku kepada kari kepala ikan Restoran Ahamed, Stadium Merdeka. Dia punya power......perghh sapa yang pernah rasa je tau. Kuah dia pekat color kehitaman. Apa gamaknya dia buh tak tau la. Tapi restoran Ahamed yang original dah lama tak ada. Tahun berapa tah last operasi dia kat sana aku pun dah tak ingat. Pada akulah, sampai hari ini pun belum ada lagi restoran kari kepala ikan yang semantap kari kepala ikan stadium merdeka. Dengar cerita restoran Ahamed berpindah operasi ke Jalan Lumut. Tapi aku pernah cuba kari kepala ikan kat tempat baru ni. Rasanya lain sangat daripada kari kepala ikan stadium merdeka. Setakat ini yang paling hampir rupa dan rasa kari kepala ikan Stadium Merdeka ialah kari kepala ikan Restoran ZK, Jalan Kampung Attap.

Kari kepala ikan Restoran ZK agak mantap juga pada aku. Kalau korang rajin google cubalah cari gambar kari kepala ikan Restoran ZK. Kuah karinya agak pekat. Kalau dituang ke atas kepala ikan, kuahnya melekat. Kalau kari kepala ikan restoran lain, kuahnya tak sepekat kari kepala ikan Restoran ZK. Lagi satu restoran kari kepala ikan yang bagi aku boleh la layan gian ialah Restoran kari kepala ikan Sri Gombak. Yang ini kuah karinya pekat jugak. Rasa dia bolehlah tahan. Korang try google, boleh tengok beza kepekatan kuah karinya berbanding restoran kari kepala ikan yang lain.

Tapi apa pun kalau nak lagi sedap kena masak sendirilah. Boleh adjust rasa yang kita sukai. Nak masam sikit boleh. Nak manis boleh. Nak pekat pun boleh. Pendek kata, boleh buat betul-betul ikut selera kita sendiri. Kalau aku suka kuah pekat. Aku tambah kentang gelek/mashed potato untuk memekatkan kuah. Setakat ini formula aku ni berjaya. Kuah likat pekat. Puas hati :)

Mana la tau korang berminat nak try masak kari kepala ikan, resepi kari kepala ikan versi aku ada di sini http://pipsterian.blogspot.com/2018/09/kari-kepala-ikan-pak-mat-yang-sangat_5.html