Showing posts with label mee goreng basah. Show all posts
Showing posts with label mee goreng basah. Show all posts

Friday, 16 January 2015

Resepi Mee Goreng Mamak yang paling best.

Hari ini aku nak berkongsi resepi mee goreng mamak yang sangatlah sedap pada lidah aku. Resepi ni aku dapat dari kedai mamak. Ceritanya begini. Kat tempat aku ni ada satu restoran mamak yang mee gorengnya aku rasa above average berbanding mee goreng restoran mamak yang lain. Kalau nak makan mee goreng, ke situlah aku tuju. Mamak ni goreng mee kat tempat terbuka sikit jadi bila aku ke restoran ni aku duduk mengadap dapur dia orang goreng mee. Lepas tu aku order la mee goreng. Tujuan aku duk berdepan dengan dapur tu sebab aku nak tengok macam mana dia orang masak dan apa bahan yang dia orang pakai. Banyak kali jugak aku peratikan cara dia orang menggoreng. Kadang-kadang saja aku pi dekat konon nak bersembang tapi sebenarnya aku nak tengok jenis kicap dan bahan-bahan lain yang digunakan. Bila dah tahu cara masak dan bahan-bahan yang dia orang guna, aku try masak kat rumah. Kali pertama tak menjadi. Rasanya tak sama macam mee goreng mamak yang biasa aku makan. Lepas tu hari lain aku pi ulang tengok lagi. Balik rumah, goreng mee lagi. Aku rasa kali ke empat barulah aku dapat menggoreng mee yang rasanya macam mee goreng mamak malahan aku rasa aku punya lebih sedap daripada mee goreng mamak tu. Okaylah, cerita panjang pun tak guna. Ni aku nak kongsikan resepi mee goreng mamak yang aku cilok dan dah aku adjust bagi lagi power......haha perasan giler wei. Aku namakan resepi ni "resepi mee goreng mamak yang sangat sedap". Mudah-mudahan perkongsian ini memberi kebaikan kepada kita semua. Insya Allah.

Resepi mee goreng mamak yang sangat sedap


Bahan-bahan (untuk 1 hidangan shj)
1/3 daripada sebungkus mee kuning 450gram (paling sesuai mee kuning cap wau)
1/2 biji tauhu lembut. kalau tak jumpa, tauhu biasa pun ok
2-3 tangkai cili api di ketuk
1 sudu besar cili kisar atau cili boh
1 biji bawang merah dimayang
2 ulas bawang putih diketuk
1/2 biji tomato hiris ikut suka
2 helai daun sawi ketuk bahagian batangnya dan potong mcm biasa
1 1/2  sudu kecil gula
1 sudu kecil cukup rasa atau serbuk perasa (kalau tak nak taruh pun tak apa)
1 biji telur
2 sudu besar minyak untuk menumis 
1 biji kuih udang potong ikut suka (beli kat makcik jual kuih petang-petang kat tepi jalan tu)
sedikit kubis (cincang - bila anda makan mee nanti kubis yg dicincang ini rangup seolah-olah kacang)
sedikit tauge
sedikit air
kicap secukup rasa (mesti kicap brand BILAL. Kalau tak ada gantikan dgn Tamin. Tapi BILAL paling best)

Cara
Gunakan api sederhana. Masukkan minyak dalam kuali tak perlu tunggu panas, potong tauhu terus  masukkan dalam kuali. Bila tauhu dah agak-agak separuh masak masukkan bawang putih dan bawang merah. Kacau-kacau sikit bagi semua bawang kena minyak.

Bila bawang sedikit layu, masukkan cili kisar. Tumis bagi pecah minyak. Masukkan kubis diikuti oleh tomato, cili api dan sawi. Gaul sebati.

Masukkan mee kuning (cuci dengan cara lalukan air paip - sekejap je). Gaul sebati kemudian masukkan gula dan cukup rasa. Gaul lagi bagi gula dan cukup rasa sebati dengan bahan-bahan lain. 

Masukkan kuih udang dan tauge. Gaul dan tuangkan kicap BILAL sikit-sikit. Jangan sampai hitam sangat ye. Kalau hitam sangat nanti mee jadi pahit. Gaul sebati.

Masukkan sedit air agak-agak dalam 1/3 cawan. Kalau nak basah lebihkan air. Lepas anda masukkan air, warna mee akan jadi cerah sikit. Kalau anda rasa kurang gelapnya bolehlah tambah kicap sikit lagi. Gaul lagi kemudian tolak semua bahan ke tepi dan masukkan telur. Lepas masukkan telur terus je gaul sebati. Jangan tunggu telur mengeras.(Step last ni kena cepat untuk elakkan mee kembang sebab kita dah buh air. Kalau boleh slowkan api masa ni). Padamkan api, sedia untuk dihidang. 

Proses masak mee goreng ni tak lama. Tak sampai 5 minit dah siap. Kalau masak lama mee jadi kembang. Tak best. Lepas tu kalau rajin hiaslah dengan potongan timun dan daun bawang serta daun sup. Nak tabur bawang goreng pun ok jugak. Selamat mencuba.

Garam tak payah guna. Kicap bertindak sebagai pengganti garam. Kalau ada yang tak tahu macam mana rupa kicap BILAL, kat bawah ni gambarnya yang aku crop dari sini http://reenhazzkitchen.blogspot.com/2013/08/109.html

Sos Campuran BILAL.
Update - Gambar tauhu lembut dan kicap bilal terbaru boleh lihat di sini http://pipsterian.blogspot.my/2016/01/tauhu-lembut-kicap-bilal-untuk-mee.html

*kalau korang nak tengok macam mana mamak goreng mee boleh buka link ini https://www.youtube.com/watch?v=NsSN-ot-Gnk tapi yg aku nampak cara mamak goreng mee ikut suka dia orang je. tak ada yg specific. video ni aku ambil kat restoran abdullah jalan sungai tua selayang.