Tuesday, 3 November 2015

Resepi sambal petai dengan kulitnya sekali

Yang satu ini memang masakan kegemaran aku. Semenjak dari kecil hinggalah dah tua bangka sekarang ni. Bila aku jumpa masakan ini, teringat aku zaman kanak-kanak dahulu. Teringat aku kepada masakan arwah ibu aku. Masakan yang satu ini memang ada sentimental value kepada aku. Tak tahu kenapa sambal petai orang kampung dulu dia orang masukkan kulitnya sekali. Barangkali tak nak membazir kut. Atau juga kulit petai ada khasiat disebabkan oleh rasa pahitnya itu. Tapi pada aku, disebabkan adanya kulit petai itulah yang membuat rasanya sedap. Selalunya belah utara nu yang duk masak lagu ni. Masak petai cara begini mudah sahaja cuma part kena kikis kulit hijau petai yang rumit sikit. Biasany aku memang kikis kulit petai yang hijau tu. Kalau tak nak kikis pun tak pa tetapi pahit sikitlah rasanya. Kalau nak bagi ada rasa pahit sedikit, kikis kulit hijau sikit-sikit sudah la. Kalau tak nak ada rasa pahit langsung, kikislah rata kulit hijau tu. Aku selalu kikis rata. Tinggal hijau pun sikit-sikit dicelah mata petai sebab part tu sukar nak kikis. Kalau kikis rata memang langsung tak ada rasa pahit bila dimasak nanti. Lepas kikis kulit hijau petai, basuhlah petai tersebut kemudian hiris nipis kulit sekali dengan isinya. Bahagian urat ditepi papan petai tersebut hiris buang.
Masakan kegemaran aku. Sambal petai berkulit.


Resepi Sambal Petai Berkulit

Bahan-bahan
3-4 papan petai kikis kulit hijaunya kemudian hiris nipis
4 biji bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1 inci halia*
belacan sebesar ibu jari*
2 sudu besar cili kisar/cili boh*
1 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil serbuk cukup rasa
minyak untuk menumis

Cara 
Kisar semua bahan yang bertanda *. Aku biasanya kisar sekali dengan cili boh/cili kisar walaupun cili tersebut memang pun dah dikisar. Sebabnya ialah nanti nak tumis kena sekali jugak. Jadi eloklah aku campurkan sekali dan kisar semuanya.

Panaskan minyak kemudian tumis bahan kisar sampai naik minyak. Kemudian perasakan dengan gula, garam dan serbuk cukup rasa. Kalau aku masak resepi ini biasanya aku maniskan sikit. Kalau masinnya kurang, kurang sikit sedapnya. Sukatan gula dan garam tu anggaran shj. Kalau kurang manisnya tambahlah gula. Kalau kurang masin tambahlah lagi garamnya.

Dah dapat rasa yang okay, masukkan petai yang telah siap dihiris. Gaul rata kemudian tutupkan sekejap bagi stim panas melembutkan sikit petai yang keras.

Dalam 3-4 minit macam tu, buka tudung dan gaul rata sekali lagi. Tengok kalau kalau kulit petai dan petai dah sedikit lembut padamkan api dan bolehlah terus dihidang.

P/S - Kalau sebelah utara kadang-kadang dia orang masukkan daging yang dihiris nipis dalam masakan petai cara begini. Masakan dia orang pun sedikit berkuah tapi aku tak berapa suka berkuah jadi resepi masakan ini ikut cara aku kering tak berkuahlah.

No comments:

Post a Comment