Wednesday, 28 October 2015

Belakang kasi taruh..........

Jangan terkejut pulak dengan tajuk entri kali ini. Memang aku maksudkan begitu. Tengoklah gambar kat bawah ni, memang sah belakang kena hentam. Siap sampai terjongket lagi. Power punya taruh tu. Tak boleh tahan wooo.....

Accident pagi tadi di jalan susur masuk MRR2 dari Batu Caves, depan kuil hindu.
Kemalangan macam ini kalau terjadi waktu pagi memang teruklah orang nak pergi kerja. Kesesakan teruk pasti berlaku. Kalau tak ada kemalangan pun berlaku kesesakan inikan pulak bila ada kemalangan. Jadi berhati-hatilah ketika memandu. Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Bersopan di jalanraya jadikan amalan hidup kita.

Friday, 23 October 2015

Aircond kereta tak sejuk...........adui la tensionnyaaaaaaaa!

Penghawa dingin kereta kalau ada masalah memang buat kita pening. Kereta aku aircondnya memang bermasalah semenjak awal tahun lagi. Aircond hanya berfungsi dengan baik pada waktu malam atau waktu hujan tapi bila siang hari panas terik atau ketika aku tersangkut dalam kesesakan lalulintas, aircond tak berfungsi dengan baik. Aku yang memandu di depan pun berpeluh apa lagi anak-anak aku yang duduk di tempat duduk penumpang. Aku jadi trauma pulak bila memandu waktu tengah hari atau bila tersangkut dalam kesesekan lalulintas. Banyak kali dah aku buat pemeriksaan aircond kereta yang bermasalah tersebut kat kedai aircond. Sekali pergi ada saja part yang nak kena tukar. Kononnya kalau tukar part tertentu tersebut barulah aircond boleh jadi sejuk. Aku ikut saja tapi bila dah tukar hasilnya sama jugak. Tak ada perubahan pun. Bila cuaca panas aircond macam tak berfungsi. Bila masuk jalan yang sesak sama jugak, aircond tak berfungsi dengan sempurna. Aku tahu ramai orang yang mengalami masalah macam aku ni. Tapi tak ada daya upaya nak mengatasinya. Sama macam aku jugak, pergi ke mekanik yang repair aircond namun hasilnya setelah diperbaiki tetap sama macam sebelum diperbaiki. Lama-lama pasrah sajalah. Nak repair lagi, kena kos tambahan lagi. Macam akulah, dah makan ribu ringgit jugak la kos repair aircond tu. Masalah tak selesai jugak.

Tapi hari ini, aku puas hati sangat kerana masalah aircond kereta aku dah selesai. Rupa-rupanya "cooling coil" yang bermasalah. Sebelum ini aku pernah tukar cooling coil tersebut. Baru lebih kurang tujuh bulan lalu aku tukar cooling coil yang baru. Bukan cooling coil je yang aku tukar, banyak komponen lain juga yang aku tukar. Boleh kata komponen air cond kereta aku semuanya baru kecuali kondenser sahaja yang aku tak tukar. Malahan aku tambah lagi satu kipas kat depan kondenser menjadikan dua kipas semuanya kononnya boleh menyejukkan lagi kondenser tersebut. Tapi hasilnya tetap mengecewakan. Aircond tak juga berfungsi dengan sempurna. Modal dah banyak keluar tapi pulangannya tak ada.

"Cooling coil" aku yang lama sebenarnya masih elok lagi tapi ianya bersaiz kecil. Sebab itulah kereta tak boleh sejuk. Cooling coil tersebut tak mempunyai keupayaan untuk menyejukkan saiz ruang yang besar. Kalau saiz kereta kancil mungkin bolehlah kut. Aku pun tak tahu cooling coil ada saiz kecil dan besar. Aku rasa mekanik yang aku hantar repair sebelum ini pun tak tahu pasal benda ini. Tapi kedai yang aku hantar repair aircond hari ini memang pakar aircond. Aku hanya bagi tahu dia yang kereta aku tu aircondnya sejuk sikit je. Sejuk tak cukup tajam. Aku ceritalah kalau tengah hari atau jalan jem sama macam tak ada aircond. Dia check dalam setengah jam lepas tu dia bagi tau aku suruh tukar cooling coil baru. Katanya cooling koil aku saiz kecil. Tukar ke saiz yang lebih besar. Selesai masalah aku selama berbulan-bulan tu. Punya la senang penyelesaian dia. Itulah aku kata dia memang pakar aircond.

Lepas tukar cooling coil baru terasa aircondnya cukup sejuk. Kembali aku ke dunia asal setelah berbulan-bulan berada dalam alam padang pasir......haha. Selama ini aku betul-betul buang duit tukar komponen itu, tukar komponen ini, semuanya tak berhasil. Kalaulah aku tahu, awal-awal lagi aku pergi ke bengkel aircond yang satu ini. Tentu aku boleh jimat duit ribuan jugaklah kiranya. Kalau anda ada masalah aircond kereta jadi macam aku punya kes tu eloklah anda pergi ke bengkel ini. Aku kasi promote sikit kat sini. Tapi ini hanyalah untuk sesiapa yang tinggal kat Lembah Klang sahaja. Kalau yang duk jauh tu tak kan la nak datang KL semata-mata nak ke bengkel aircond tu je. Tapi kalau nak datang jugak ikut suka lah. Bengkel aircond yang aku maksudkan ini terletak kat Kepong di Jalan Metro Perdana Barat 2. Kalau anda nak cari tempat ini, carilah Stesyen Minyak Petronas. Bengkel ini terletak di belakang stesyen minyak tersebut. Kalau tak jumpa juga anda call tuan punya kedai nama Ah Hock 0173889732. Aku cerita kes aku kat sini sebab aku tahu ada ramai lagi yang menghadapi masalah yang sama. Tak tahu nak buat macam mana lagi dah. Macam aku ni, hari ini aku rasa lega dan lapang sungguh fikiran sebab masalah dah selesai. Aku dah cuba bengkel aircond yang satu ini dan aku puas hati dengan hasil kerja dia orang sebab itulah aku berani syorkan bengkel ini kepada anda semua. Kepada sesiapa yang nak cuba khidmat bengkel ini aku ucapkan selamat berjaya!!!

Friday, 16 October 2015

Lembu oh lembu

Hampa jangan hairan pulak dengan tajuk entri aku kali ini. Aku sebenarnya teringat satu pengalaman masa nak menyambut hari raya haji yang baru lepas ni. Ceritanya bukan pasal lembu korban terlepas atau lembu korban ligan orang. Ceritanya pasal orang muslim Burma atau Myanmar yang datang cari makan kat negara kita ni. Orang Burma yang muslim ada dua etnik. Yang selalu kena tindas ialah Rohingya. Mereka ini tidak diiktiraf oleh kerajaan Burma sebagai warganegara. Dalam kata lain etnik ini tidak mempunyai kewarganegaraan. Etnik ini tinggal ni negeri selatan negara Burma. Burma macam Malaysia juga, terbahagi kepada beberapa negeri. Negeri yang orang Rohingya ni tinggal ialah Rakhine. Ada empat daerah dalam negeri ini iaitu Sittwe, Maungdaw, Kyaukpyu dan Thandwe. Daerah yang paling teruk berlaku penindasan etnik ialah Sittwe dan Maungdaw. Dulu nama bagi negeri ini ialah Arakan. Sekarang dah ditukar ke Rakhine. Samalah macam Burma, itu nama dulu, Nama sekarang ialah Myanmar.

Lagi satu golongan muslim Burma ialah mereka yang diiktiraf sebagai warganegara Burma. Mereka ini tidak tinggal di negeri Rakhine sebaliknya mereka menetap di Yangon (dulu Rangoon), Yangon adalah nama negeri dan juga nama bandar, macam Penang dan Melaka. Mereka ini ramai juga yang datang ke Malaysia. Jika etnik Rohingya datang ke negara kita atas sebab penindasan etnik, muslim yang berasal dari Yangon pula datang ke Malaysia atas alasan ekonomi. Mereka yang tinggal di Yangon walaupun diiktiraf sebagai warganegara Burma tetapi ada juga berlaku penindasan yang tidak dizahirkan dengan nyata. Golongan muslim yang tinggal di Yangon kebanyakannya adalah peniaga. Mereka ini bukan golongan bawahan sebaliknya mereka menguasai ekonomi. Sebab itulah jika anda pergi ke Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, anda akan dapati mereka inilah yang memenuhi tempat-tempat tersebut. Kalau di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, lebih tepat lagi Bandar Pusat Utara, bersepah segala macam kedai yang diusahakan oleh orang-orang Burma dari Yangon ini. Ada kedai runcit, kedai jahit, kedai telefon bimbit, pemborong makanan sejuk beku, pemborong barangan kering dan basah, pemborong buah-buahan, pemborong sayur, restoran dan segala bagainya. 

Panjang intro cerita ni. Balik kepada cerita lembu tadi. Aku biasa berurusan dengan peniaga warga Burma. Salah satunya ialah penjual ayam kampung. Dia ni bukan sahaja jual ayam kampung, buah-buahan pun dia jual sekali tapi dalam skala runcitlah. Dua hari sebelum raya haji aku ada beli 10 ekor ayam kampung. Dengan dia ni murah je harganya. RM12 bagi 1kg. Tempat lain palling murah RM13 1kg. Ada yang jual sampai RM19 1kg. Masa beli ayam tu aku nampak ada seekor lembu brahman kat tepi tempat dia berniaga. Aku tanyalah sapa punya. Dia kata dia punya untuk dibuat korban. Lembu brahman ni memang besar. Jenis yang belakangnya ada bonjol tu. Aku letak gambar kat bawah ni supaya hampa kenal macam mana rupa lembu brahman.

Lebih kurang macam inilah rupanya. Gambar ini aku google je.
Aku tanya lagi kongsi berapa orang. Jawapan dia tu yang membuat aku terkejut. Kalau kita biasa kongsi 7 bahagian tapi dia ni tak dak kongsi-kongsi punya. Seekor lembu tu dia korban sorang-sorang dia je. Bukan itu sahaja, ada lagi yang buat aku terkejut. Dia kata tahun ni dia korban 2 ekor lembu brahman. Lagi seekor dia buat kat kampung dia di Yangon. Satu sini, satu Yangon. Tahun depan katanya nak pi haji pulak. Mak aii kata hati aku banyaknya duit mamat ni. Muda lagi orangnya. Barangkali baru 30an. Muda lagi dari aku. Seekor lembu brahma tu harga dia dalam 7 ke 8 ribu ringgit. Kalau dua ekor dah dalam lingkungan RM15,000. 

Aku bukan terkejut sebab dia korban dua ekor lembu tanpa kongsi bahagian dengan sapa-sapa. Orang kaya ramai yang korban lebih banyak lembu lagi. Yang aku terkejut ialah mamat ni tak nampak macam orang berduit. Sekali tengok perniagaan dia macam kais pagi makan pagi je. Berniaga pun biasa pakai kain pelikat. Meniaga pula kecik-kecik aje. Selalu juga kena angkut dengan DBKL. Bukan berniaga ada lesen pun. Kalau diangkut barang-barang perniagaan dia orang oleh DBKL meloponglah dia orang tengok. Tapi walaupun dalam keadaan macam tu rupanya dia orang ni berniaga masyuuk boleh tahan juga sampaikan boleh korban lembu tanpa perlu kongsi bahagian. 

Itulah aku duk fikir balik, sebenarnya orang asing yang datang ke negara kita ni dia orang nampak peluang yang terhidang untuk cari makan. Kita sendiri tak nampak. Kadang-kadang kita nampak tapi barangkali kita ada sifat segan. Atau juga kita tak sanggup buat kerja yang nampak kotor sikit. Kalau anak muda sekarang ni mana mahu dia orang buat kerja berat tambah lagi yang kotor sikit. Bukan langsung tak ada yang nak buat cuma yang sanggup tu sikit saja. Lama-lama nanti ekonomi kita habis dikuasai oleh dia orang. Sekarang ni pun dah macam tu. Masa depan lagilah teruk nampaknya. Kalau di Pasar Borong Kuala Lumpur, orang Cina beli sayur secara borong dari peniaga Burma, bukan orang Burma beli sayur dari pemborong Cina, memang selalu aku tengok. Orang Melayu memang tak ada yang berniaga di sana. Orang Indonesia ada. Kalau di Pasar Borong Selayang ada jugak peniaga Melayu walaupun jumlahnya boleh dikira dengan jari tangan je.

Bukan peniaga Myanmar sahaja yang ramai. Warga Bangladesh pun banyak. Sampaikan aku boleh kenal sayur-sayuran dari Bangladesh - sim, potul, kosu, jali, loti, kokrel dan macam-macam lagi. Pendapatan bersih dia orang sebulan dalam lingkungan RM5,000. Itu dia orang berniaga selama 10 jam dengan tapak pernigaan disewa dari tauke tah Melayu atau Cina, wallahualam. Jangan lupa incom tax tak kena. Untungnya dia orang. Kita kerja makan gaji walaupun waktu kerja tak sampai 10 jam tapi kena menghadap jem pegi dan balik kerja tetap kena bayar income tax. Kalau tak bayar nanti kena ligan sampai ke rumah....haha. Sebenarnya kita boleh belajar banyak perkara dari orang asing yang datang ke negara kita. Usaha tangga kejayaan. Di mana ada usaha di situ ada jalannya. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Berdikit-dikit lama-lama jadi bukit. Kalau ada masa nanti aku sambung lagi cerita ini di lain entri.

Wednesday, 14 October 2015

Resepi Siakap Sweet Sour

Kalau masak stim, memang ikan siakap pilihan ku. Ikan lain kalau dimasak stim kurang sikit sedapnya berbanding siakap. Masak tiga rasa pun best jugak. Hari ini aku teringin nak makan siakap sweet sour. Dah berhari-hari sebenarnya aku mengidam nak makan siakap masam manis cuma masa tak mengizinkan aku ke dapur. Kalau makan kat luar tak puas pulak rasanya. Lagipun kalau ikut lidah aku, siakap sweet sour yang aku masak di ruma lagi sedap.......hahaha masuk bakul angkat sendiri. Sebenarnya setiap kali aku masak siakap sweet sour, resepi inilah yang selalu aku gunakan. Dah bertahun-tahun aku setia dengan resepi ini. Dapat dari tenet jugak tapi sebab dah bertahun punya cerita, macam biasa di mana aku dapat aku pun dah lupa. Tak dapat nak bagi kredit kepada tuan punya yang asal. Resepi ini jugak aku dah tokok tambah untuk sesuaikan dengan selera aku. Mudah-mudahan tuan punya asal resepi mendapat pahala yang berterusan atas ilmu bermanfaat yang beliau turunkan. Insya Allah.

Siakap berat lebih kurang 800gram dah siap disiang dan diasamkan.
Setelah digaramkan kemudian dilumurkan dengan cili boh dan tepung jagung. Ada 2 potong siakap dalam peti ais. Aku campurkan sekali. Kalau tak, entah bila pula nak dimasak.
Tomato, bawang besar, cili merah, bawang putih, halia, nenas dan kubis bunga.
Yang oren tu ialah lobak merah dipotong dadu. Potongan cili, halia, bawang besar dan bawang putih boleh dicampur sekali.
Tomato, kubis bunga dan nenas dicampurkan sekali dalam satu bekas.
Siakap yang telah siap digoreng.
Siram dengan kuahnya kemudian taburkan dengan daun ketumbar atau daun sup atau daun bawang untuk hiasan. Malangnya aku terlupa nak beli daun-daun tu jadi tak adalah hiasan untuk siakap sweet sour aku ni...haha

Okay, dah tengok gambar sekarang kita terjah resepi lengkap serta cara-caranya;

Resepi Siakap Sweet Sour

Bahan-bahan
1 ekor siakap saiz sederhana cuci bersih dah kelarkan
1 biji bawang besar potong dadu
3 ulas bawang putih dicincang
Sepotong nenas potong dadu
1 biji tomato potong dadu
1 inci halia dicincang
2 biji cili merah dibuang biji kemudian potong dadu
3 sudu besar cili boh atau cili kisar
3 sudu besar sos tomato
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil tepung jagung 
1 sudu kecil cukup rasa maggi
garam dan gula secukup rasa
minyak masak untuk menggoreng dan menumis
daun bawang atau daun sup atau daun ketumbar untuk hiasan (potong dan tabur atas hidangan)
optional (kalau anda suka sayur bolehlah tambah bahan berikut);
sedikit lobak merah potong dadu
sedikit kubis bunga potong kecil

Cara
Siang ikan dan dibersihkan. Tos sekejap kemudian gaul dengan garam. Selepas itu lumurkan dengan 1 sudu kecil tepung jagung dan diikuti pula oleh 1 sudu besar cili boh (baki lagi 2 sudu besar cili boh asingkan untuk ditumis nanti). Tepung jagung ini tujuannya ialah untuk bagi ikan yang digoreng jadi keras (bukan liat ye) supaya ikan tak patah masa di goreng dan diangkat. Masa dihidang pun ikan akan nampak mantap.

Siap lumur semua bahan tadi, panaskan minyak gorenglah ikan tu macam biasa. Kalau kat kedai tomyam biasa dia orang goreng deep fry. Kalau kita di rumah gorenglah macam biasa. Bila sebelah dah masak, terbalikkan ke sebelah yang satu lagi. Masa inilah kadang-kadang ikan patah dan hancur sikit. Ikan dah masak, padam api, angkat dan letak dalam pinggan besar.

Ceduk minyak dalam kuali dan tinggalkan sikit untuk menumis. Dalam 4 sudu besar macam tu. Hidupkan api semula kemudian masukkan bawang besar, bawang putih, halia dan cili merah. Bila bawang agak layu masukkan baki 2 sudu besar cili boh. Tumis hingga pecah minyak. Kemudian tambahkan sos cili, sos tomato dan sos tiram. Tambah air sikit. Masukkan juga lobak merah (jika ada). Gaul rata.

Bila menggelegak masukkan tomato, nenas dan kubis bunga (jika ada). Kalau pekat sangat tambah sikit air. Bila menggelegak semula perasakan dengan garam dan gula. Tambah juga serbuk cukup rasa. Bila dah dapat rasa dan kepekatan kuah yang diingini bolehlah matikan api dan siram kuah atas ikan yang siap digoreng tadi.

Sebelum dihidang, taburkan dengan daun sup atau daun bawang atau daun ketumbar tapi aku paling suka kalau tabur dengan daun ketumbar sebab daun ketumbar memberi aroma yang kuat. Daun ketumbar ini pulak kalau nak aroma yang kuat kena gunakan daun ketumbar import. Ketumbar tempatan kurang aromanya. 

P/S - Ketumbar import dengan tempatan bezanya ialah saiz. Ketumbar import saiz kecil sedangkan ketumbar tempatan saiz besar. Harga daun ketumbar import lebih mahal dari daun ketumbar tempatan. 1kg daun ketumbar import pada masa ini ialah RM25-RM30 sedangkan daun ketumbar tempatan hanya RM7-RM10 sekilogram. Kalau guna semata-mata untuk hiasan hidangan ini memadai beli sedikit. Saya biasa beli RM2 untuk ketumbar import. Itu pun dah kira banyak. Daun ketumbar kalau masukkan dalam masakan kari lagi naik aromanya. Sebab itulah kari kedai mamak dia orang masukkan daun ketumbar.

Friday, 9 October 2015

Nostalgia membesar di kampung - Part 1

Dulu waktu aku budak-budak, aku selalu berkubang dalam parit. Parit kalau kat kampung aku bukannya parit macam kat bandar sekarang ni. Parit kat kampung aku dulu-dulu sangat bersih. Orang buat mandi manda dan membasuh pakaian. Air parit ni digunakan untuk mengairi sawah padi. Kalau sebut tali air mungkin baru orang bandar faham. Kalau di kampung aku dulu tali air tu kami panggil parit. Bila musim menuai, air parit ni beransur-ansur kering jadi banyaklah aktiviti menggagau ikan. Dulu dulu nak makan ikan boleh cari sendiri. Tak payah beli. Nak menggagau, menjala, memukat, memancing, menimba, menangkul, mengelau, menaut semuanya boleh. Paling aku suka bila waktu menimba. Bila tiba musim tali air kering, banyak ikan mencari kawasan yang lebih dalam. Biasanya ikan-ikan ini akan masuk ke telaga yang bersambung dengan parit. Kesempatan ini akan ambil oleh tuan tanah untuk menimba telaganya. Air dalam telaga tersebut akan ditimba keluar sikit-sikit hingga akhirnya telaga tersebut kering. Masa inilah rasa betul-betul seronok bila nampak bermacam jenis ikan terkodek-kodek dalam lopak air. Aku kalau tengok orang menimba telaga, masa nampak ikan terkodek-kodek rasa macam nak melompat turun tangkap ikan-ikan tu. 

Aku sebenarnya baru balik kampung dua tiga minggu lepas. Itulah aku teringat pasal kisah zaman kanak-kanak aku di kampung dulu. Kampung aku ni dah lama aku tinggalkan. Umur aku 13 tahun aku dah melangkah keluar dari kampung. Dari umur 13 tahun sampailah sekarang kekerapan aku balik kampung boleh dikira dengan jari. Mana taknya, adik beradik semuanya merantau. Mak dan ayah aku pulak dah meninggal masa umur aku 9 dan 10 tahun. Kalau aku balik kampung, aku tak tahu ke mana nak nak dituju.

Zaman kanak-kanak adalah zaman nostalgia bagi semua orang. Bagi mereka yang membesar di kampung, zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling indah sekali. Kenangannya tak mungkin dilupakan. Apatah lagi sekarang ini kampung dah tak macam dulu. Kenangan dulu hanya berlaku sekali sahaja. Tak mungkin akan berulang lagi. Nyata, masa lalu (usia) sangat jauh menghindar sedangkan yang semakin mendekati kita adalah kematian. Zaman kanak-kanak kita tak perlu memikir masalah hidup. Tiap-tiap kali bangun pagi fikir hari ni nak main apa. Budak lelaki kerjanya melastik burung. Kadang-kadang batu yang dijadikan peluru lastik singgah atas bumbung rumah orang. Kalau aku pulak bila tiba musim air sawah kering aku akan mengendap dalam rumpunan sawah padi cari lopak-lopak ikan. Musim kering biasanya ikan akan berkumpul di kawasan lopak yang ada sedikit air. Kalau terjumpa lopak macam ni seronok sungguh. Ada ikan keli, haruan sepat dan puyu. Kadang-kadang ular air pun ada.

Kalau bosan cari ikan boleh panjat pokok mempelam. Musim kering kalau datang sama dengan musim mempelam berbuah memang seronok. Panjat pokok mempelam boleh capai saja mana-mana buah yang masak sekeliling kita. Cari buah yang paling masak ranum. Ambil dari tangkainya terus makan je dengan kulit-kulitnya sekali. Sambil makan mempelam sambil bersandar di dahan pokok. Siap menyanyi-nyani lagi. Dari atas pokok boleh nampak pemandangan sawah padi yang menguning menandakan padi sedang masak. Ada petak-petak sawah yang sedang dituai oleh sekumpulan makcik. Dulu tuai padi guna tangan. Dipanggil mengerat. Satu rumpun sekali kerat. Kerat 3-4 rumpun padi kemudian letakkan pada satu tempat yang mengandungi 20-30 rumpun padi yang kemudiannya akan diambil oleh pakcik-pakcik yang akan meleraikan padi dari tangkainya melalui proses "memukul". Padi ini akan dihempaskan didalam tong kayu yang ada layar di tepinya supaya padi yang dihempas tidak terkeluar dari tong tersebut.

Macam inilah gayanya orang dulu meleraikan padi dari tangkainya. Dipanggil "memukul". Ini nostalgia zaman silam. Sekarang tak akan jumpa lagi macam ni kecuali di muzium.  Gambar ini saya ambil dari google. Bukan hak milik saya.

Kedamaian kampung dengan sawah yang menguning. Gambar hiasan dari google.

Musim menuai kalau tak main layang-layang memang tak sah. Sebelah petang selalunya angin cukup kuat. Layang-layang buat sendiri. Cari pokok buluh tua. Tebang sebatang. Belah dan raut secukup rasa untuk buat tulang layang-layang. Kena timbang dulu. Bukan timbang pakai alat timbang. Timbang dengan benang je supaya bahagian kiri dan kanan buluh yang nak dijadikan sayap sama berat. Kalau tak sama berat nanti layang-layang terbang mereng sebelah. Kalau nasib tak baik langsung tak boleh terbang. Buat layang-layang pun ada kemahirannya yang perlu dipelajari. Begitulah juga dalam kehidupan kita. Nak sesuatu kena usaha. Kepandaian datang dari pengalaman dan ilmu yang dituntut. Dah pandai kena pulak praktiskan supaya ilmu tersebut tidak hilang oleh sifat lupa kita. Oleh kerana hari ini hari jumaat, terasa masanya suntuk sekali. Celoteh aku berhenti setakat ini dulu. Ada masa aku sambung lagi cerita dalam part II insya Allah.

Kulaan Niring Napa Takurihing

Maaf la. Tajuk hari ini lain. Isi ceritanya pulak lain. Saja aku nak mengena engkau orang......hehe. Hari ini sebenarnya aku nak cerita pasal petua. Ini bukan petua orang dulu-dulu. Ini petua dari aku sendiri. Petua orang sekarang, bukan orang dulu-dulu bahari kala. Mesti ada yang tak paham maksud bahari kala tu kan. Kalau faham maksud "kulaan niring napa takurihing", anda fahamlah maksud bahari kala. Kedua-dua ayat itu adalah dari bahasa Banjar. Tah kenapa hari ini aku teringat pulak nak selitkan perkataan Banjar dalam entri merapu aku ni. Barangkali aku rindu masa zaman kanak-kanak dulu. Aku nak menyimpang dulu dari tajuk asal pasal petua. Sembang dulu pasal bahasa Banjar. Masa zaman aku kanak-kanak dulu, percakapan harian aku memang 100% bahasa Banjar. Kalau orang Melayu dengar haram sepatah dia orang tak paham. Memang Banjar pekat sungguh. Aku pun tak tahu sama ada arwah mak atau arwah ayah aku yang Banjar atau kedua-dua sekali Banjar. Bila umur aku meningkat dewasa dan melangkah keluar dari kampung halaman sedikit demi sedikit hilang kemahiran berbahasa Banjar. Sampai sekarang ni kalau aku dengar orang Banjar sersembang ada sikit-sikit yang aku faham tapi banyak pulak yang aku tak faham....haha. Begitulah, zaman berubah, orang pun turut berubah.

Kalau siapa yang tak faham maksud "kulaan niring napa takurihing" mai sini aku terjemahkan. Yang ni aku faham la sikit-sikit. Kalau dalam bahasa Melayu maksudnya ialah "saudara tengok kenapa tersenyum". Kulaan tu maksudnya saudara. Niring maksudnya tengok/lihat. Napa maksudnya kenapa. Takurihing maksudnya senyum/sengih. Tadi aku ada sebut bahari kala. Maksud bahari kala ialah masa yang dah lama dulu atau senang cakap masa dululah. Betul ke tak terjemahan aku tu ye? Kalau ada orang Banjar yang baca sila betulkan ye jika ada kesilapan.

Okay sekarang balik kepada petua yang aku nak sampaikan tadi. Mesti anda pernah alami masalah susah buang air besar sebab najis keras dan kering. Orang kata kalau najis keras kena banyakkan minum air kosong. Banyakkan juga makan buah-buahan selain kena selalu bersenam. Aku kalau buang air besar jadi masalah macam tu penyelesaiannya ialah cari makanan macam gambar kat bawah ni;

Kacang Parang "seedless"
Aku akan makan Kacang Parang. Biasa yang jual kat kedai ada kulit sekali. Aku suka yang tak berkulit. Senang nak ngap. Kacang ni murah je. Kalau satu paket macam gambar kat atas tu baru RM2.40  kat 99 Speedmart. Sebenarnya apa jenis kekacang pun memang boleh "peroi"kan bahan buangan kita. Cuma kalau sesiapa ada penyakit gout terpaksalah cari alternatif lain. Kacang untuk pesakit gout macam api dengan minyaklah. Kalau berjumpa bertambah marak jadinya. Petua aku ni dari pengalaman aku sendiri. Sebab tu lah aku kata petua orang zaman kini bukan petua bahari kala. 

Kalau anda makan kacang sebelah malam dalam pukul 8 gitu, esok paginya anda buang air besar seawal pukul 5 dah boleh alami kesannya. Perjalanan lancar tanpa tersangkut-sangkut lagi....haha. Agaknya najis dah jadi peroi sebab kacang yang kita kunyah tu tidak hancur 100% macam tepung. Sebaliknya ia menjadi butir-butir kecil macam kacang tanah yang ditumbuk. Butir-butir kecil inilah yang membuatkan najis menjadi peroi. Jadi kepada sesiapa yang ada masalah susah buang air besar disebabkan najis keras dan kering bolehlah amalkan petua ini, insya Allah anda akan dapat hasil yang memuaskan. Semoga perkongsian ini bermanafaat kepada semua.