Wednesday, 14 October 2015

Resepi Siakap Sweet Sour

Kalau masak stim, memang ikan siakap pilihan ku. Ikan lain kalau dimasak stim kurang sikit sedapnya berbanding siakap. Masak tiga rasa pun best jugak. Hari ini aku teringin nak makan siakap sweet sour. Dah berhari-hari sebenarnya aku mengidam nak makan siakap masam manis cuma masa tak mengizinkan aku ke dapur. Kalau makan kat luar tak puas pulak rasanya. Lagipun kalau ikut lidah aku, siakap sweet sour yang aku masak di ruma lagi sedap.......hahaha masuk bakul angkat sendiri. Sebenarnya setiap kali aku masak siakap sweet sour, resepi inilah yang selalu aku gunakan. Dah bertahun-tahun aku setia dengan resepi ini. Dapat dari tenet jugak tapi sebab dah bertahun punya cerita, macam biasa di mana aku dapat aku pun dah lupa. Tak dapat nak bagi kredit kepada tuan punya yang asal. Resepi ini jugak aku dah tokok tambah untuk sesuaikan dengan selera aku. Mudah-mudahan tuan punya asal resepi mendapat pahala yang berterusan atas ilmu bermanfaat yang beliau turunkan. Insya Allah.

Siakap berat lebih kurang 800gram dah siap disiang dan diasamkan.
Setelah digaramkan kemudian dilumurkan dengan cili boh dan tepung jagung. Ada 2 potong siakap dalam peti ais. Aku campurkan sekali. Kalau tak, entah bila pula nak dimasak.
Tomato, bawang besar, cili merah, bawang putih, halia, nenas dan kubis bunga.
Yang oren tu ialah lobak merah dipotong dadu. Potongan cili, halia, bawang besar dan bawang putih boleh dicampur sekali.
Tomato, kubis bunga dan nenas dicampurkan sekali dalam satu bekas.
Siakap yang telah siap digoreng.
Siram dengan kuahnya kemudian taburkan dengan daun ketumbar atau daun sup atau daun bawang untuk hiasan. Malangnya aku terlupa nak beli daun-daun tu jadi tak adalah hiasan untuk siakap sweet sour aku ni...haha

Okay, dah tengok gambar sekarang kita terjah resepi lengkap serta cara-caranya;

Resepi Siakap Sweet Sour

Bahan-bahan
1 ekor siakap saiz sederhana cuci bersih dah kelarkan
1 biji bawang besar potong dadu
3 ulas bawang putih dicincang
Sepotong nenas potong dadu
1 biji tomato potong dadu
1 inci halia dicincang
2 biji cili merah dibuang biji kemudian potong dadu
3 sudu besar cili boh atau cili kisar
3 sudu besar sos tomato
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil tepung jagung 
1 sudu kecil cukup rasa maggi
garam dan gula secukup rasa
minyak masak untuk menggoreng dan menumis
daun bawang atau daun sup atau daun ketumbar untuk hiasan (potong dan tabur atas hidangan)
optional (kalau anda suka sayur bolehlah tambah bahan berikut);
sedikit lobak merah potong dadu
sedikit kubis bunga potong kecil

Cara
Siang ikan dan dibersihkan. Tos sekejap kemudian gaul dengan garam. Selepas itu lumurkan dengan 1 sudu kecil tepung jagung dan diikuti pula oleh 1 sudu besar cili boh (baki lagi 2 sudu besar cili boh asingkan untuk ditumis nanti). Tepung jagung ini tujuannya ialah untuk bagi ikan yang digoreng jadi keras (bukan liat ye) supaya ikan tak patah masa di goreng dan diangkat. Masa dihidang pun ikan akan nampak mantap.

Siap lumur semua bahan tadi, panaskan minyak gorenglah ikan tu macam biasa. Kalau kat kedai tomyam biasa dia orang goreng deep fry. Kalau kita di rumah gorenglah macam biasa. Bila sebelah dah masak, terbalikkan ke sebelah yang satu lagi. Masa inilah kadang-kadang ikan patah dan hancur sikit. Ikan dah masak, padam api, angkat dan letak dalam pinggan besar.

Ceduk minyak dalam kuali dan tinggalkan sikit untuk menumis. Dalam 4 sudu besar macam tu. Hidupkan api semula kemudian masukkan bawang besar, bawang putih, halia dan cili merah. Bila bawang agak layu masukkan baki 2 sudu besar cili boh. Tumis hingga pecah minyak. Kemudian tambahkan sos cili, sos tomato dan sos tiram. Tambah air sikit. Masukkan juga lobak merah (jika ada). Gaul rata.

Bila menggelegak masukkan tomato, nenas dan kubis bunga (jika ada). Kalau pekat sangat tambah sikit air. Bila menggelegak semula perasakan dengan garam dan gula. Tambah juga serbuk cukup rasa. Bila dah dapat rasa dan kepekatan kuah yang diingini bolehlah matikan api dan siram kuah atas ikan yang siap digoreng tadi.

Sebelum dihidang, taburkan dengan daun sup atau daun bawang atau daun ketumbar tapi aku paling suka kalau tabur dengan daun ketumbar sebab daun ketumbar memberi aroma yang kuat. Daun ketumbar ini pulak kalau nak aroma yang kuat kena gunakan daun ketumbar import. Ketumbar tempatan kurang aromanya. 

P/S - Ketumbar import dengan tempatan bezanya ialah saiz. Ketumbar import saiz kecil sedangkan ketumbar tempatan saiz besar. Harga daun ketumbar import lebih mahal dari daun ketumbar tempatan. 1kg daun ketumbar import pada masa ini ialah RM25-RM30 sedangkan daun ketumbar tempatan hanya RM7-RM10 sekilogram. Kalau guna semata-mata untuk hiasan hidangan ini memadai beli sedikit. Saya biasa beli RM2 untuk ketumbar import. Itu pun dah kira banyak. Daun ketumbar kalau masukkan dalam masakan kari lagi naik aromanya. Sebab itulah kari kedai mamak dia orang masukkan daun ketumbar.

No comments:

Post a Comment