Hampa jangan hairan pulak dengan tajuk entri aku kali ini. Aku sebenarnya teringat satu pengalaman masa nak menyambut hari raya haji yang baru lepas ni. Ceritanya bukan pasal lembu korban terlepas atau lembu korban ligan orang. Ceritanya pasal orang muslim Burma atau Myanmar yang datang cari makan kat negara kita ni. Orang Burma yang muslim ada dua etnik. Yang selalu kena tindas ialah Rohingya. Mereka ini tidak diiktiraf oleh kerajaan Burma sebagai warganegara. Dalam kata lain etnik ini tidak mempunyai kewarganegaraan. Etnik ini tinggal ni negeri selatan negara Burma. Burma macam Malaysia juga, terbahagi kepada beberapa negeri. Negeri yang orang Rohingya ni tinggal ialah Rakhine. Ada empat daerah dalam negeri ini iaitu Sittwe, Maungdaw, Kyaukpyu dan Thandwe. Daerah yang paling teruk berlaku penindasan etnik ialah Sittwe dan Maungdaw. Dulu nama bagi negeri ini ialah Arakan. Sekarang dah ditukar ke Rakhine. Samalah macam Burma, itu nama dulu, Nama sekarang ialah Myanmar.
Lagi satu golongan muslim Burma ialah mereka yang diiktiraf sebagai warganegara Burma. Mereka ini tidak tinggal di negeri Rakhine sebaliknya mereka menetap di Yangon (dulu Rangoon), Yangon adalah nama negeri dan juga nama bandar, macam Penang dan Melaka. Mereka ini ramai juga yang datang ke Malaysia. Jika etnik Rohingya datang ke negara kita atas sebab penindasan etnik, muslim yang berasal dari Yangon pula datang ke Malaysia atas alasan ekonomi. Mereka yang tinggal di Yangon walaupun diiktiraf sebagai warganegara Burma tetapi ada juga berlaku penindasan yang tidak dizahirkan dengan nyata. Golongan muslim yang tinggal di Yangon kebanyakannya adalah peniaga. Mereka ini bukan golongan bawahan sebaliknya mereka menguasai ekonomi. Sebab itulah jika anda pergi ke Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, anda akan dapati mereka inilah yang memenuhi tempat-tempat tersebut. Kalau di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, lebih tepat lagi Bandar Pusat Utara, bersepah segala macam kedai yang diusahakan oleh orang-orang Burma dari Yangon ini. Ada kedai runcit, kedai jahit, kedai telefon bimbit, pemborong makanan sejuk beku, pemborong barangan kering dan basah, pemborong buah-buahan, pemborong sayur, restoran dan segala bagainya.
Panjang intro cerita ni. Balik kepada cerita lembu tadi. Aku biasa berurusan dengan peniaga warga Burma. Salah satunya ialah penjual ayam kampung. Dia ni bukan sahaja jual ayam kampung, buah-buahan pun dia jual sekali tapi dalam skala runcitlah. Dua hari sebelum raya haji aku ada beli 10 ekor ayam kampung. Dengan dia ni murah je harganya. RM12 bagi 1kg. Tempat lain palling murah RM13 1kg. Ada yang jual sampai RM19 1kg. Masa beli ayam tu aku nampak ada seekor lembu brahman kat tepi tempat dia berniaga. Aku tanyalah sapa punya. Dia kata dia punya untuk dibuat korban. Lembu brahman ni memang besar. Jenis yang belakangnya ada bonjol tu. Aku letak gambar kat bawah ni supaya hampa kenal macam mana rupa lembu brahman.
Lebih kurang macam inilah rupanya. Gambar ini aku google je. |
Aku tanya lagi kongsi berapa orang. Jawapan dia tu yang membuat aku terkejut. Kalau kita biasa kongsi 7 bahagian tapi dia ni tak dak kongsi-kongsi punya. Seekor lembu tu dia korban sorang-sorang dia je. Bukan itu sahaja, ada lagi yang buat aku terkejut. Dia kata tahun ni dia korban 2 ekor lembu brahman. Lagi seekor dia buat kat kampung dia di Yangon. Satu sini, satu Yangon. Tahun depan katanya nak pi haji pulak. Mak aii kata hati aku banyaknya duit mamat ni. Muda lagi orangnya. Barangkali baru 30an. Muda lagi dari aku. Seekor lembu brahma tu harga dia dalam 7 ke 8 ribu ringgit. Kalau dua ekor dah dalam lingkungan RM15,000.
Aku bukan terkejut sebab dia korban dua ekor lembu tanpa kongsi bahagian dengan sapa-sapa. Orang kaya ramai yang korban lebih banyak lembu lagi. Yang aku terkejut ialah mamat ni tak nampak macam orang berduit. Sekali tengok perniagaan dia macam kais pagi makan pagi je. Berniaga pun biasa pakai kain pelikat. Meniaga pula kecik-kecik aje. Selalu juga kena angkut dengan DBKL. Bukan berniaga ada lesen pun. Kalau diangkut barang-barang perniagaan dia orang oleh DBKL meloponglah dia orang tengok. Tapi walaupun dalam keadaan macam tu rupanya dia orang ni berniaga masyuuk boleh tahan juga sampaikan boleh korban lembu tanpa perlu kongsi bahagian.
Itulah aku duk fikir balik, sebenarnya orang asing yang datang ke negara kita ni dia orang nampak peluang yang terhidang untuk cari makan. Kita sendiri tak nampak. Kadang-kadang kita nampak tapi barangkali kita ada sifat segan. Atau juga kita tak sanggup buat kerja yang nampak kotor sikit. Kalau anak muda sekarang ni mana mahu dia orang buat kerja berat tambah lagi yang kotor sikit. Bukan langsung tak ada yang nak buat cuma yang sanggup tu sikit saja. Lama-lama nanti ekonomi kita habis dikuasai oleh dia orang. Sekarang ni pun dah macam tu. Masa depan lagilah teruk nampaknya. Kalau di Pasar Borong Kuala Lumpur, orang Cina beli sayur secara borong dari peniaga Burma, bukan orang Burma beli sayur dari pemborong Cina, memang selalu aku tengok. Orang Melayu memang tak ada yang berniaga di sana. Orang Indonesia ada. Kalau di Pasar Borong Selayang ada jugak peniaga Melayu walaupun jumlahnya boleh dikira dengan jari tangan je.
Bukan peniaga Myanmar sahaja yang ramai. Warga Bangladesh pun banyak. Sampaikan aku boleh kenal sayur-sayuran dari Bangladesh - sim, potul, kosu, jali, loti, kokrel dan macam-macam lagi. Pendapatan bersih dia orang sebulan dalam lingkungan RM5,000. Itu dia orang berniaga selama 10 jam dengan tapak pernigaan disewa dari tauke tah Melayu atau Cina, wallahualam. Jangan lupa incom tax tak kena. Untungnya dia orang. Kita kerja makan gaji walaupun waktu kerja tak sampai 10 jam tapi kena menghadap jem pegi dan balik kerja tetap kena bayar income tax. Kalau tak bayar nanti kena ligan sampai ke rumah....haha. Sebenarnya kita boleh belajar banyak perkara dari orang asing yang datang ke negara kita. Usaha tangga kejayaan. Di mana ada usaha di situ ada jalannya. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Berdikit-dikit lama-lama jadi bukit. Kalau ada masa nanti aku sambung lagi cerita ini di lain entri.
No comments:
Post a Comment