Wednesday, 12 September 2018

Cendol Pakcik Mat yang pekat lazat berkrim

Hehe best kan tajuk entri kali ni. Mesti tebayang di mata korang betapa sedapnya cendol durian, pulut, kacang, jagung, labu dan macam-macam lagilah. Biasanya balik dari cari ikan kat jeti Bagan Pasir memang sah aku akan singgah pekena cendol kat sini http://pipsterian.blogspot.com/2016/10/meh-kita-pekena-cendolcendol-borhan.html. Nak kata sedap sangat tu tidaklah juga cuma ada banyak pilhan cendolnya. Paling aku suka ialah cendol labu. Kena pulak dengan selera aku. Ciri-ciri cendol yang aku suka ialah cendol yang berkuah pekat. Lama jugak aku fikir macam mana agaknya nak jadikan kuah santan tu pekat. Alhamdulillah berkat kajian melalui pembacaan dan pengalaman merasa macam-macam jenis cendol akhirnya dapat juga aku hasilkan cendol yang menepati citarasa aku sendiri. Kot korang nak cuba bolehlah ambil resepi aku ni. Buat sendiri kat rumah jenuh makan dan boleh ulang dua tiga kali.....perghhh itu yang paling utama hehe.

Inilah papan tanda depan gerai cendol Borhan yang teletak di jalan Kuala Selangor - Tanjung Karang.
Kalau nak buat sendiri tak susah sebenarnya. Yang bestnya kalau buat sendiri, kita boleh lebihkan bahan yang kita suka. Boleh lebihkan kacang merah atau jagung atau pulut. Ikut selera sendiri. Cendol hijau ready made boleh dibeli kat pasaraya. Kalau rajin, cendol hijau boleh dibuat sendiri. Tapi aku tak lah berapa rajin sampai nak buat sendiri bahan cendolnya. Aku beli kat pasaraya je. Senang cerita.....skip bab yang susah sikit tu hehe. Tinggal lagi kena sediakan santan dan air gula. Part santan ni yang penting untuk dapatkan kepekatan yang tepat. Kena sesuaikan nisbah santan dan air.

Inilah cendol home made ku

Boleh ulang dua-tiga kali. Siap beli straw besar....hehe
Kot la korang nak try, aku bagi resepinya. Korang nak tambah apa bahan pun ikut sukalah. Sendiri nak makan mesti ikut selera masing-masing tapi asasnya iaitu air gula merah/melaka, cendol, santan dan ais wajib adalah.


Resepi cendol Pakcik Mat pekat lazat berkrim

Bahan wajib
  • 1 paket 100g cendol hijau
  • 500ml santan kelapa sawit
  • 500ml air untuk cairkan santan kelapa sawit
  • 300 gram gula merah atau gula melaka
  • 5 sudu makan gula pasir
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 helai daun pandan 
  • Ais kiub/kisar secukup rasa
Bahan pilihan; jagung manis, kacang merah, pulut, durian, cincau, mangga, sagu atau apa-apa yang korang suka nak tambah.

Cara-cara
  1. 100g cendol paket buang airnya dan basuh dengan air bersih dan toskan.
  2. Panaskan sedikit air kemudian masukkan gula merah/melaka diikuti oleh gula putih dan daun pandan. Gaul sentiasa supaya gula mudah cair. Setelah gula cair sepenuhnya, matikan api dan tapis adunan gula tersebut. Ketepikan dan biarkan adunan air gula tersebut sejuk.
  3. Masak 500ml santan kelapa sawit dengan dicampur 500ml air. Kalau korang nak lebih pekat kurangkan kuantiti air tapi aku syorkan nisbah 1:1 dah ok. Kalau nak cairkan lagi pun boleh terpulang citarasa masing-masing. Tambahkan juga garam.
  4. Masak santan dengan api sederhana. Sentiasa dikacau/gaul supaya santan tidak pecah minyak. Masak setakat santan panas sahaja tanpa perlu tunggu hingga menggelegak. Bila nampak ada wap keluar tu dah kira ok.
  5. Bila dah sejuk semua bahan tersebut korang bolehlah mulakan proses penyediaan cendol untuk diminum. Buh cendol hijau dalam gelas atau mangkuk, tambah kacang merah atau jagung atau pulut atau apa-apa yang korang sukalah. Tambah ais kemudian tuangkan santan dan akhir sekali tambah adunan air gula. Banyak mana nak buh adunan air gula terpulang koranglah sebab ada yang suka manis, ada yang suka kurang manis. Sebaiknya buh la sikit-sikit sehingga sampai tahap kemanisan yang korang suka.
 * Santan kelapa sawit disyorkan berdasarkan pengalaman. Dapat rasa lebih sedap berbanding santan kelapa sama ada santan kelapa parut atau santan kelapa kotak.

No comments:

Post a Comment