Friday, 30 January 2015

Wanita berakhlak mulia.

Kelmarin aku makan tengah hari dengan kawan di satu restoran yang baru dibuka. Aku ni bukanlah suka sangat cuba makanan di mana-mana restoran pun tapi kawan aku sorang ni macam tertarik je dengan restoran baru yang satu ini. Restoran ni berkonsepkan asam pedas. Menu lain pun ada juga dijual cuma barangkali menu istimewanya ialah asam pedas. Aku tak makan pun. Setakat minum je. Kiranya niat aku menemankan kawan sajalah.

Masa kami mula nak masuk restoran aku perasan ada seorang tua berbangsa India yang jadi jaga kat pejabat disebelah restoran tu. Dia duduk atas kerusi di depan tangga naik ke pejabat tersebut. Kesian aku tengok pakcik berbangsa India tu. Aku agak umurnya dah 60an kut tapi masih lagi perlu bekerja untuk mencari nafkah hidup. Aku terfikir, mana anak-anak pakcik tu. Sanggup dia orang membiarkannya bekerja di usia sedemikian. Atau barangkali juga pakcik tu tak ada anak. Mungkin juga dia tak pernah berkahwin. Wallahu a'lam. Berdasarkan bentuk tubuhnya aku rasa pakcik tu bukannya sihat sangat. Badannya agak kurus. Simpati aku bila tengok fizikal keadaannya.

Aku dan kawan aku pilih meja tepi berdekatan kaki lima restoran. Di kawasan kaki lima pun ada meja juga. Agak ramai pelanggan di restoran ini sebab waktu tu ialah waktu makan tengah hari. Sebelah meja kami di bahagian kaki lima restoran ada seorang wanita Melayu bertudung. Barangkali umurnya lewat 40an. Makan seorang diri. Wanita ini datang lebih awal dari kami jadi makanannya pun dah habis. Selepas wanita itu memanggil pelayan untuk bayar harga makanan dan minumannya tiba-tiba dia memanggil pakcik India yang kerja jaga tadi. Bila pakcik jaga tu datang aku nampak wanita itu hulurkan duit. Pakcik jaga tu nampak happy dengan pemberian wanita tersebut. Rupanya apa yang aku fikir, ada juga orang lain yang berfikiran sama macam aku. Aku kesian bila tengok pakcik jaga tu walaupun dia berbangsa India. Rupanya orang lain iaitu wanita yang makan kat meja sebelah aku pun rasa begitu sebab itulah agaknya dia bagi duit kat pakcik tu.

Itulah contoh akhlak mulia yang patut ada pada kita semua. Aku teringat tazkirah seorang ustaz berkaitan dengan akhlak manusia. Katanya akhlak yang baik dinilai melalui sifat dan sikap. Sifat kita tak boleh nampak tapi sikap kita boleh nampak dengan jelas. Kedua-duanya mesti baik. Jika hanya salah satu sahaja yang ada maka tidaklah dikatakan seseorang tu berakhlak mulia. Wanita tadi mempunyai sifat pemurah yang ditunjukkan dengan sikap yang baik iaitu suka bersedekah. Kita tidak dapat melihat sifat pemurah yang ada dalam dirinya namun kita dapat melihat sikapnya yang suka bersedekah. Sesungguhnya apa yang berlaku di sekeliling kita tidak terjadi dengan sia-sia melainkan ada pengajaran yang berguna untuk diambil ikhtibar oleh manusia yang mahu berfikir. Mudah-mudahan kita termasuk ke dalam golongan orang yang sentiasa berfikir. Firman Allah swt:

Dan Dia telah menundukan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) dari padanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar benar terdapat tanda tanda ( kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.
 (Al-Quran Surah Al-Jathiyah: 13).

Jom balik kampung secara maya.

Kalau sesiapa rindukan kampung halaman tapi tak mempunyai masa terluang yang mencukupi untuk balik ke kampung bolehlah melepaskan rindu dengan cara balik kampung secara maya. Dalam kata lain balik kampung secara online. Zaman IT sekarang ni segalanya mungkin. Kalau dapat tengok gambar kampung halaman pun jadilah. Terubat jugak rindu. Tambahan orang macam aku ni dan berpuluh tahun tak balik kampung. Sekali melawat kampung secara online, tapak rumah pusaka pun aku melilau cari tak jumpa. Aku ni tak balik kampung bukan pasal aku si Tanggang. Aku tak balik kampung sebab tak ada sesiapa dah saudara mara aku di sana. Adik beradik aku semua merantau dan berkeluarga di perantauan. Ibu bapa meninggal masa aku sekolah rendah. Jadilah macam anak ayam hilang ibu, masing-masing membawa diri. Yang untungnya dalam kes aku ni ialah orang rumah aku. Masa hari raya tak gaduh nak bergilir beraya di mana. Memang sah akan beraya di kampung dia......haha bestkan kalau kawin dengan anak yatim piatu ni.

Berbalik kepada cerita balik kampung secara maya, ianya bukanlah perkara baru. Dah lama rasanya benda ni boleh dibuat. Kalau anda pernah dengar "google street view" maka anda tahulah serba sedikit apa yang aku maksudkan dengan balik kampung secara maya. Jom tengok kampung aku dulu. Kat sini http://pipsterian.blogspot.com/2015/01/mempelam-mangga-unik-yang-pasti-ramai.html dan juga kat sini http://pipsterian.blogspot.com/2015/01/mempelam-mangga-unik-yang-pasti-ramai_26.html  aku   ada  cerita
pasal mempelam kelipisan atau mangga kasturi. Kat bawah ni adalah gambar pokok mempelam yang sebenar yang aku ambil dari street view. Pokok mempelam ini usianya dah berpuluh tahun. Kampung halaman aku tinggalkan dah 30 tahun lebih. Barangkali umurnya dah mencapai 45 tahun.

Gambar google street view. Pokok mempelam kelipisan. Ada empat pokok kesemuanya.
Gambar google street view. Tapak rumah pusaka dah jadi belukar.
Kalau anda nak melawat kampung anda melalui google street view pertama sekali buka site carian google kemudian anda taip nama kampung atau bandar. Contohnya kampung anda ialah Raub, Pahang. Hasil carian google adalah seperti gambar di bawah;

Sebahagian dari hasil carian google Raub, Pahang. Klik pada menu Maps yang terletak di antara menu Webs Dan Images
Kemudian klik pada menu Maps. Akan keluar gambar peta seperti berikut:

Tanda seruan berwarna merah yang ada huruf A di dalamnya menunjukkan Bandar Raub.
Di sebelah kiri peta di atas ada satu garisan yang mana di bahagian bawah ada tanda - dan bahagian atas ada tanda + dan di atas tanda + ada ikon gambar manusia yang berwarna kuning. Tanda + gunanya adalah untuk membesarkan peta manakala tanda - untuk mengecilkan peta. Klik pada tanda + atau - akan membesarkan mengecilkan peta tersebut. Ikon gambar manusia itulah yang akan digunakan untuk melihat google street view. Gambar di bawah menunjukkan peta bandar Raub yang telah dibesarkan.

Peta bandar Raub yang telah dibesarkan.
Sekarang anda bawa mouse kepada ikon manusia tersebut kemudian tekan button mouse sebelah kanan , jangan lepaskan kemudian drag ikon manusia tersebut, bawa dan  letakkan di jalan yang berdepan dengan Majlis Daerah Raub. Hasilnya anda akan lihat seperti gambar di bawah ini.

Ini adalah pemandangan di depan Majlis Daerah Raub. Sebelah kanan jalan ialah ialah Dataran Raub.
Gambar pada google street view adalah berdimensi 360 darjah. Anda letakkan mouse pada gambar tersebut kemudian draglah ke kiri atau ke kanan untuk melihat gambar di sekelilingnya. Mudah saja bukan. Sekarang zaman IT anda dah boleh balik kampung secara maya.

Thursday, 29 January 2015

Resepi Baby Kailan ikan masin restoran tomyam.

Aku paling suka sayur kailan ikan masin. Kalau baby kailan lagi best. Rasanya rangup barangkali sebab baby lagikan itulah lembut dan rangup je. Kailan yang dah matang pulak aku suka batangnya. Belah batangnya, bila makan nanti rasanya pun rangup jugak. Banyak kali juga aku cuba masak resepi kailan atau baby kailan ikan masin sampailah akhirnya setelah aku adjust sukatan bahan-bahannya barulah aku dapat yang rasanya sama macam yang kat restoran tomyam. Bila dah dapat resepi yang tepat, terasa nak makan kailan ikan masin, aku buat sendiri. Puas makan. Satu mangkuk aku hadap sorang-sorang pun boleh habis...haha. Resepi ni aku letakkan di sini supaya aku tak lupa kuantiti bahan yang aku gunakan. Aku ni makin lama makin pelupa. Makin tualah katakan. Kalau ada sesiapa nak mencuba, silakanlah.

Resepi Baby Kailan Ikan Masin
























Bahan
Sebungkus baby kailan @ lebih kurang 400gram
Sepotong ikan tenggiri masin dihiris halus (buang tulang)
2 ulas bawang putih diketuk
4 tangkai cili api diketuk
1/2 biji bawang holland potong kasar
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan
1 sudu kecil gula
1 sudu kecil cukup rasa
2 sudu besar minyak masak

Cara
1. Panaskan minyak masak kemudian goreng ikan masin. Tekan-tekan sikit dengan sudip bagi isi ikan hancur. Guna api sederhana je.
2. Masukkan bawang putih dan bawang holland. Bila bawang dah agak layu sedikit terus masukkan sos tiram dan sos ikan. Gaul rata.
3. Kalau ada bahagian batang kailan masukkan dulu. Bila batang agak sedikit lembut masukkan pula bahagian daunnya dan cili api. Gaul rata dan tambahkan air sedikit sahaja. Sayur kailan kalau banyak air tak sedap.
4. Masukkan gula dan cukup rasa. Gaul sebati. Kuatkan api. Tutup kuali sekejap, bila sayur dah nampak sedikit layu, matikan api. Sedia untuk dihidang.
5. Masak sayur kailan tak boleh lama sangat nanti terlebih layu jadi tak sedap. Hilang rangupnya. Garam tak payah tambah. Ikan masin, sos tiram dan cukup rasa dah memberikan rasa masin yang mencukupi.

Wednesday, 28 January 2015

Ikan dan hasil laut segar di Bagan Pasir, Tanjung Karang.

Kalau aku ke Kuala Selangor biasanya aku akan singgah di Pasir Penambang untuk beli ikan segar. Harganya tidaklah murah sangat. Kalau ikutkan, ikan kat pasar borong Selayang lagi murah. Cuma kalau di Pasir Penambang ikannya agak segar berbanding di pasar borong. Itu dulu, sekarang aku tak pergi Pasir Penambang dah untuk cari ikan segar. Aku ke Bagan Pasir. Kat Bagan Pasir ni nikmat beli ikan segar lagi terasa sebab kita boleh nampak bot-bot nelayan yang berlabuh. Kalau nak tunggu udang laut yang betul- betul fresh baru naik dari laut bolehlah tunggu nelayan naik ke pelantar untuk hantar udang yang baru ditangkap. Selepas ditimbang anda boleh pilih sendiri. Kadang-kadang anda tak sempat nak pilih sebab pelanggan yang datang lebih awal dah booking siap-siap. Lepas timbang je semua dia sapu habis. Nasib le. Lagi satu sebab kenapa aku suka ke Bagan Pasir ialah dalam perjalanan ke sana bolehlah singgah pekena cendol Borhan. Cendol Borhan sekarang dah banyak cawangan tapi yang satu ini ialah yang mula-mula beroperasi. Khabarnya tauke cendol ni dulu adalah asnaf zakat. Berkat usaha dan ketekunannya, sekarang perniagaan beliau telah berjaya. Cendolnya pun sedap, ada kelainan. Ada cendol labu, cendol durian selain dari yang biasa kita jumpa seperti kacang merah, jagung dan pulut. Kita doakan semoga perniagaan beliau terus berkembang maju.

Cendol Borhan teletak di sebelah kanan jalan menghala ke Tanjung Karang dari Kuala Selangor.
Untuk ke Bagan Pasir biasanya aku akan ikut LATAR kemudian ikut jalan lama ke arah Kuala Selangor. Selepas pekan Kuala Selangor teruskan lagi perjalanan ke arah Tanjung Karang. Tak jauh selepas melalui Pasir Penambang kita akan jumpa cendol Borhan di sebelah kanan jalan. Kalau kedai cendol ni buka kita boleh perasan dari jauh sebab akan ada pelanggan cendol yang parking kereta ditepi jalan. Jika hari cuti umum atau hujung minggu pasti akan ada berderet-deret kereta parking di bahu jalan. 

Tempat jualan ikan segar Bagan Pasir, Tanjung Karang tak sukar untuk dicari. Sebelum sampai pekan Tanjung Karang anda akan jumpa BHP petrol station di sebelah kanan jalan dan Bank Rakyat di sebelah kiri jalan. Terus pandu ke depan sikit lagi ada selekoh ke kanan dan anda akan nampak jejantas. Simpang ke kiri pada permulaan selekoh sebelum jejantas itulah jalan yang menghala ke Bagan Pasir. Simpang ke kiri ini betul-betul bertentangan dengan Sekolah Kebangsaan Tanjung Karang.

Simpang kiri masuk ke Bagan Pasir berhadapan dengan Sekolah Kebangsaan Tanjung Karang.
Masuk saja simpang ke Bagan Pasir anda teruskan perjalanan dalam lebih kurang 2 ke 3 kilometer lagi sehinggalah anda jumpa selekoh ke kiri dan anda akan nampak perkampungan Cina di sebelah kanan. Selepas selekoh tersebut anda cari lorong kanan yang ketiga. Lorong kanan yang kedua ada tokong cina. Anda boleh nampak tokong cina dari selekoh lagi.

Dari selekoh ini, kelihatan bumbung tokong cina yang berada di lorong kanan yang kedua. Cari lorong kanan ketiga.
Lorong kanan ketiga ada tanda arah "Restoran Seafood Tanjung Karang" dan "Ah Heng Fishery". Masuk lorong ini, jalan sikit ke depan anda boleh nampak kawasan lapang untuk parking kereta. Anda parkinglah kereta di sini. Jalan kaki ke tempat jualan ikan segar tak jauh. Kawasan ini ialah perkampungan cina jadi anjing pun banyaklah. Sapa yang takut anjing tu jaga-jagalah sikit. Lagi satu, perkampungan ini rumahnya dibina di tebing muara sungai. Kalau air pasang maka air pun naik sampai ke bawah rumah dia orang. Masa ni lah boleh tengok banyak sampah sarap hanyut di bawah rumah. Ada orang yang loya tengok tapi aku selamba rock aje.

Simpang kanan yang ketiga. Nampak tak signboard yang kelihatan sedikit di sebelah kiri selain signboard di sebelah kanan tepi tiang letrik pada persimpangan jalan. Kalau anda jalan terus lagi ke depan anda akan jumpa kunci air.
Tempat parking yang agak luas.
Kedai yang depan rumah oren tu adalah kedai ikan ke 2. Sebelah kanannya ada satu dan ke depan lagi ada lagi dua buah.
Ada empat kedai ikan di sini. Harga di sini pada aku ke empat-empatnya lebih kurang je. Kedai yang keempat atau yang last sekali selalu tutup. Agaknya jualan ikan dia sikit kot. Tapi kalau anda nak beli ikan atau hasil laut yang lain elok anda jalan satu-satu dulu bermula dari yang pertama. Sebabnya ialah anda boleh bandingkan harga dan anda juga tak menyesal kemudiannya. Aku dulu, mula-mula pergi kedai yang jauh iaitu yang ke tiga. Kat sana dah borong sikit. Lepas tu pergi pulak ke kedai ke kedua. Kat kedai kedua ni rupanya udang dia lagi best tapi aku dah terbeli kat kedai yang mula-mula aku pergi tadi. Aku ingat udang dia ni dah best la rupanya kedai yang pertama lagi best udang dia. Itulah aku syorkan kalau nak memborong elok mulakan tengok-tengok dulu pada kedai pertama diikuti oleh yang kedua dan seterusnya. Dah ada idea kat mana ada barang bagus barulah pergi ke kedai tu sekali lagi dan terus borong.

Jalan konkrit nak ke kedai ke tiga dan ke keempat.

Ada banyak jeti macam ni di sini.
Udang baru naik dari laut. Nelayan hantar kemudian peraih timbang dulu lepas tu baru kita boleh pilih.
Sekarang masa pilih udang.
Udang fresh. Kalau poket berisi tebal bolehlah pilih banyak sikit.
Kepah pun ada.
Tak suka udang dengan kepah, boleh pilih ketam bunga.
Ikan merah. Memang sah masih segar.
Boleh terus siang ikan di sini.
Ikan di kedai yang lain.
Ikan yang dijemur untuk dijadikan ikan kering masin.
Bot nelayan memasuki muara Sungai Tengi.
Deretan bot nelayan sedang belabuh.
Memilih ikan di atas bot.
Sekali-sekala datang ke Bagan Pasir membeli ikan segar memang seronok dan puas hati. Tambahan pula semenjak ada lebuhraya LATAR perjalanan menjadi mudah dan singkat. Kalau anda nak ke Bagan Pasir pastikan datang sebelum petang kerana ikan banyak pada waktu lewat pagi, tengah hari dan awal petang. Kalau dah lewat petang, ikan masih ada lagi tapi pilihan dah kurang. Lagi satu, kalau anda minat fotografi disini memang tempat yang sesuai untuk menyalurkan minat anda. Selain dari panorama bot nelayan, anda boleh terus ke Tanjung Karang untuk menikmati panorama sawah padi pula.

Monday, 26 January 2015

Mempelam @ Mangga unik yang pasti ramai tak pernah tengok (Part 2).

Aku ada banyak kenangan dengan mempelam kelipisan ni. Masa aku budak-budak dulu, aku ada satu prinsip iaitu kalau nak buat jahat, buat sorang-sorang. Jangan ajak kawan sebab kalau ajak kawan rahsia senang pecah tapi kalau sorang-sorang tak ada sapa nak pecah rahsia....haha. Oleh kerana mempelam kelipisan ni sangatlah menggiurkan pada aku, jadi timbullah satu rancangan jahat yang sentiasa berlegar di hati. Plannya ialah aku nak kebas buah mempelam pada waktu malam. Masa tu aku cukup berani. Anak yatim piatu yang tak bertuanlah katakan. Budak-budak kampung mana ada seberani aku keluar berjalan malam hari. Dulu mana ada lampu jalan. Rumah pun ada yang ada bekalan letrik dan ada yang tak ada letrik. Waktu malam kalau bulan tak ada memang gelap sungguh. Tapi jangan hairan kalau jumpa orang naik basikal pada waktu malam gelap. Orang kampung memang dah hafal kat mana ada tunggul dan kat mana ada lopak jadi kemungkinan nak langgar benda-benda macam tu memang payah.

Oleh kerana aku dah plan nak kebas buah mempelam yang banyak masak menggiurkan kat atas pokok jadi pada waktu siangnya aku peratikan betul-betul kat mana dahan paling rendah dan banyak buah. Siang-siang sambil duduk ramai-ramai tunggu buah gugur, aku peratikan betul-betul di mana aku nak mulakan memanjat sebab batang pokok mempelam kelipisan tu memang besar, sepemeluk orang dewasa pun tak tercapai. Mempelam tu ada empat pokok. Aku dapati pokok yang pertama memang boleh dipanjat. Ada macam buku kayu yang boleh dibuat tempat berpijak semasa memanjat. Tambahan pula pokok pertama yang paling banyak buah. Dah tu pulak dahannya antara yang terendah. Yang ini pasti aku boleh panjat dan capai buah di dahan yang terendah tu. Rendah-rendah pun aku agak dalam 20 kaki jugaklah rasanya.

Tiga empat hari jugak aku buat kira-kira. Akhirnya setelah yakin aku pun mulakan operasi. Lebih kurang pukul 9 malam aku pergi sorang diri. Rumah pakcik ni dengan rumah aku jaraknya lebih kurang dalam 500 meter. Line clear aku pun mulalah panjat. Aku memang pakar memanjat. Pokok kelapa pun aku boleh panjat inikan pula pokok yang ada tempat berpijak, lagilah mudah. Tak tahulah aku dulu pasal apa lasak sangat. Agaknya sebab tak bertuan, itulah yang jadi lasak semacam je. Hantu-hantu ni aku tak takut langsung. Kalau budak lain, balik mengaji, dekat nak sampai rumah dia orang melaung-laung minta mak dia orang buka pintu cepat-cepat sebab gelap takut hantu. Kadang-kadang aku yang jadi hantu takutkan dia orang. Tak kira jantan betina semua kena usik dengan aku.....haha.

Diam tak diam aku dah panjat sampai ke dahan yang aku target. Dahan tu memang sesuai untuk berjalan sampai ke hujung sebabnya selain dari ada dahan untuk berpijak, ada pulak dahan di atasnya yang selari,  sesuai sangat untuk dibuat tempat berpaut. Aku panjat pokok mempelam tu sambil pakai kain pelikat je. Kain tu gunanya ialah bila dapat buah mempelam aku akan masukkan dalam gulungan. Makin lama kalau banyak buah yang dimasukkan dalam gulungan kain tu maka makin pendeklah jadinya. Petik punya petik tiba-tiba bunyi prakk......cabang dahan yang aku pijak tu patah rupanya. Bukan dahan utama yang patah tapi cabang dahan tu. Nasib baik aku tak jatuh sebab tangan aku berpaut pada dahan sebelah atas. Rupanya bunyi dahan jatuh tadi telah mengejutkan Pakcik Johari tuan punya mempelam tu. Dia buka tingkap rumahnya dan menyuluh ke arah pokok. Disebabkan aku terlindung oleh rimbunan daun jadi pakcik tu tak nampaklah aku. Aku pun diam membatu, tak bergerak langsung. Bila dia tutup tingkap cepat-cepat aku bergerak ke arah batang pokok konon nak turun dan cabutlah. 

Tak sempat nak turun, Pakcik Johari buka pintu dan keluar menuju ke pokok mempelam. Barangkali dia syak ada orang curi mempelam dia.  Aku masa tu masih di atas pokok tapi dah berada di bahagian batang utama, bukan lagi dahan. Nak turun memang tak sempat dah. Pakcik Johari datang dengan cucu dia, Lily. Kebetulan ranting patah yang aku pijak tadi jatuh betul-betul di tengah laluan dari rumah pakcik tu ke pokok mempelam. Jadi sebelum dia sampai ke pokok mempelam, dia dah nampak ada ranting patah. Aku dengar Lily, cucu Pakcik Johari cakap ada ranting patah, ranting yang reput. Sampai di bawah pokok terus dia suluh ke atas. Aku berlindung di balik batang jadi Pakcik Johari tak nampak aku. Lama jugak Pakcik Johari suluh dari sepokok ke sepokok. Aku diam mematikan diri. Lutut punyalah ketar. Aku kata dalam hati kali ni kenalah aku. Mulalah menyesal buat jahat...haha.

Dah puas pakcik tu menyiasat, dia  pun agaknya puas hati bunyi tadi disebabkan oleh dahan reput yang patah, bukannya disebabkan oleh orang yang nak kebas mempelam dia, lalu dia pun balik. Aku di atas pokok punyalah lega tapi ketar lutut tak hilang lagi. Aku duduk diam-diam lebih kurang dalam lima belas minit. Manalah tahu kalau-kalau Pakcik Johari saja buat perangkap konon-konon balik rumah tapi dia mengendap dari rumah dia. Bila aku rasa semuanya dah okay aku pun mulalah nak turun perlahan-lahan. Elok saja aku mula melangkah turun tiba-tiba aku dengar bunyi. Macam bunyi suara orang tapi aku tak pasti sebab aku dengar macam suara berbisik. Aku tak jadi turun. Aku diam mematikan diri. Aku tunggu dengan pasrah apa yang nak jadi lepas ni. Adakah suara hantu atau suara manusia. Nak tahu suara apa, kita tunggu kisahnya pada part 3 nanti.

Part 1 boleh baca di sini http://pipsterian.blogspot.com/2015/01/mempelam-mangga-unik-yang-pasti-ramai.html

Lelaki, judi, arak dan wanita.

Seorang lelaki berpakaian kemas dengan suit yang lengkap serta bertali leher, perut buncit dan gaya seperti orang kaya, berjalan keluar dari sebuah pusat membeli-belah elit. Di hadapan pusat membeli-belah tersebut, ada seorang peminta sedekah yang lebih kurang sama baya dengan lelaki kaya tersebut. Walaupun lebih kurang sama usia, kedua-dua lelaki tersebut kelihatan jauh berbeza dari segi penampilan. Lelaki peminta sedekah kelihatan kurus mungkin kurang zat makanan, berbaju kusam dan compang-camping, berbau hapak dan dengan rambut yang kusut masai.

Apabila peminta sedekah tadi melihat sahaja lelaki kaya  keluar dari pusat membeli-belah dah lalu dihadapannya terus dia menghulurkan tangan  sambil berkata "Tuan kasihanilah saya, berilah saya sedikit wang"

Lelaki kaya berhenti, ditenungnya peminta sedekah tersebut sejenak lalu bertanya " kalau saya beri RM50, kamu tidak akan gunakan wang tersebut untuk minum arak bukan?"
Peminta sedekah : "Oh tidak tuan, saya tidak suka dan tidak pernah minum minuman keras."
Lelaki kaya : "Kalau kamu tidak gunakan wang itu untuk mabuk-mabuk, mungkin kamu guna untuk berjudi?"
Peminta sedekah : "Tentu tidak tuan, saya tidak suka dan tidak pernah berjudi."
Lelaki kaya : "Kalau kamu tidak gunakannya untuk mabuk dan berjudi barangkali kamu akan gunakannya untuk main perempuan?"
Peminta sedekah : "Tidak, tidak. Seumur hidup saya tidak pernah berfoya-foya dengan wanita.”

Lelaki kaya itu berfikir sejenak lalu berkata lagi "Beginilah, kamu ikut saya balik untuk berjumpa dengan isteri saya selepas itu saya berikan kamu RM50"

 
Peminta sedekah terkejut lalu menjawab "Buat apa saya ikut tuan balik ke rumah?"

"Saya nak istri saya lihat sendiri apa akan jadi kalau seorang lelaki tidak suka mabuk-mabuk, tidak suka berjudi, dan tidak suka main perempuan, hasilnya akan jadilah lelaki seperti kamu inilah!" jawab lelaki kaya.

*************************************************
Cerita di atas hanyalah rekaan semata-mata sebagai pembuka kata sebelum kita bercerita panjang pasal kaitan antara lelaki, judi, arak dan wanita. Tapi dalam dunia realiti memang ramai lelaki yang hanyut dalam salah satu atau dua atau ketiga-tiga perkara tersebut. Kalau terlibat dengan salah satu daripada tiga perkara tersebut, kerosakannya minimum dan masih mudah untuk diperbaiki. Jika terlibat dengan dua daripada tiga perkara tersebut, kerosakannya agak berat, akan ambil masa untuk diperbaiki. Namun jika terlibat dengan ketiga-tiga perkara tersebut iaitu judi, arak dan wanita, kerosakannya bolehlah dikira kritikal. Biasanya setelah jatuh terduduk dan tidak ada apa-apa harta lagi yang tinggal barulah timbul keinsafan. Waktu itu, sesalan pun dah tak berguna. Ibarat nasi dah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kalau jadi begini, kenalah mulakan hidup baru, semuanya kena mulakan semula sebab yang diusahakan selama ini dah habis dijoli.

Aku nak cerita kisah kawan aku. Bukan nak burukkan beliau. Aku pun tak nak sebut nama dia dan pembaca pun tak kenal dia. Tujuan aku ialah supaya kita boleh dapat ikhtibar dari kisah beliau. Kawan aku ni dulu bekerja sebagai pemandu teksi. Pemandu teksi ni bukan kerja bergaji rendah. Kalau di Kuala Lumpur ni aku tahu, pendapatan pemandu teksi sehari bersih RM100 kira biasa je. Kalau kerja dari pukul 8 pagi sampai pukul 5 petang target RM100 bersih tu memang senang dicapai. Kira sendirilah kalau RM100 kali dengan 26 hari kerja sebulan tolak cuti hari ahad maknanya sebulan gaji bersih ialah RM2600. Tak percaya tanyalah sendiri pemandu teksi. Ada pemandu teksi yang aku kenal, sebulan pendapatan bersih beliau ialah RM5000 ke RM5500. Maknanya, sehari pendapatan bersih beliau lebih kurang RM200. Income tax tak kena tau....hehe. Kita yang kerja pejabat setengah mampus, gaji kasar Rm5000 cukup tahun kena submit borang taksiran lepas tu kenalah bayar cukai pendapatan yang ditentukan. Tapi......ada tapinya. Pendapatan yang aku ceritakan tu hanya boleh dicapai oleh pemandu teksi yang betul-betul memandu teksi. Bukan banyak melepak main dam bawah pokok atau sembang di kedai kopi atau memilih destinasi. Pendek kata, kalau orang lain kerja nine to five dengan waktu rehat 1 jam, pemandu teksi pun kena buat macam tu barulah pendapatan macam aku cerita kat atas tadi boleh dicapai.

Berbalik kepada kisah sahabat aku tadi, beliau bawa teksi macam pemandu teksi lain tapi yang jadi masalahnya ialah dia suka berjudi. Tak kiralah judi apa pun asalkan namanya judi, semua jadi minat dia. Blackjack, roulette, mesin kuda, lumba kuda sungai besi, empat nombor ekor jangan kiralah dan yang satu ni kira wajib. Bila dah suka berjudi banyaklah duit dihabiskan ke situ. Kalau bawa teksi dapat sehari bersih RM100 semuanya boleh habis buat main judi. Penyudahnya duit nak bagi anak bini makan pun dah tak ada budget. Bila kalah judi fikiran jadi runsing. Kawan-kawan pulak jenis yang masuk air. Nak rilek dan tenangkan fikiran pi pulak minum beer sampai mabuk. Minum beer pulak kat bar. Ada la GRO yang siap melayan asal ada RM. Tak ada RM sorry la abang......haha. Nampak tak, lepas judi pi mabuk, lepas mabuk main GRO pulak. Dah dapat layanan mesra dari GRO, esok mai lagi. Lama-lama jatuh cinta.

Macam tulah parahnya kawan aku ni. Egonya tinggi, nasihat kita dia tak nak dengar. Marah-marah lagi. Tapi kita kawan-kawan dia tetap nasihatkan dia walaupun dia tak suka. Dia ikut atau tidak terpulanglah kepada dia. Nak jadi cerita, aktiviti kawan aku ni tak lama. Tak sampai setahun teksi sewa beli kena tarik sebab selalu miss bayaran harian. Biasanya kalau teksi bandar bayaran sewa hariannya adalah sekitar RM35 ke RM55 sehari bergantung kepada jenis teksi. Ada syarikat teksi yang terus tarik teksi kalau seminggu berturut-turut tak bayar sewa. Ada juga yang bagi peluang sampai sebulan, tak bayar jugak barulah dia orang tarik. Kawan aku ni tak taulah berapa banyak dan berapa lama bayaran dah tertunggak sehinggakan teksi pun kena tarik. Bila teksi dah kena tarik maka hilanglah punca pendapatan.

Bila hilang punca pendapatan mulalah muncul masalah rumahtangga yang sekian lama terpendam. Akhirnya bini pun minta cerai. Nafkah zahir tak cukup. Asyik bagi nafkah batin je, nafkah zahir tak bagi mana aci kan. Bila dah bercerai kenalah keluar dari rumah. Rumah pulak rumah sewa. Anak bini masih tinggal di rumah tu cuma dia yang keluar. Sekarang kawan aku ni tinggal di satu bilik kecil yang majikan dia sediakan. Aku masuk bilik dia rasa nak menangis pun ada. Bangla mai sini lagi elok bilik dia orang. Apa nak buat, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kawan aku ni sekarang kerjanya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kerja bukan kat syarikat besar. Syarikat katering. Caruman KWSP pun tak ada. Umur dah 40an, bukan muda belia lagi. Hilang habis segala apa yang diusahakannya sebelum ini akibat salah langkah. 

Begitulah secubit kisah kehidupan disekeliling kita dan kebetulan kisah ini terjadi kepada kawan aku. Aku sentiasa mendoakan semoga dia mendapat pengakhiran yang baik. Aku tidak bermaksud nak merendah-rendahkan beliau dengan meceritakan kisahnya di sini. Moga-moga kisah beliau yang aku ceritakan tadi memberi manafaat dan pengajaran kepada kita semua dalam menempuhi hari-hari yang mendatang.   

Saturday, 24 January 2015

Dua bulan anak yatim piatu ponteng sekolah (Part 2).

Aku nak cerita sikit pasal abang aku yang tinggal kat sebelah rumah pusaka. Kiranya abang aku inilah yang menjaga aku setelah kematian ibu bapa kami. Abang aku ni ada sejarah yang tak berapa baik dengan arwah ayah. Orang dulu-dulu tak berapa pentingkan pelajaran. Abang aku ni dulu pelajar yang agak bijak masa sekolah rendah tapi arwah ayah tak benarkan dia meneruskan persekolah ke peringkat menengah. Arwah ayah kata lebih baik dia tolong arwah ayah buat kerja bendang. Itulah apa yang diceritakan oleh abang aku kepada aku. Aku rasa ada kemungkinan abang aku menyimpan rasa sesal dan sesalannya itu dilepaskan kepada aku, adik yang bongsu. Aku rasa begitu kerana abang aku tahu aku ponteng tapi dia buat tak kisah.

Waktu aku ponteng sekolah masa aku banyak dihabiskan di bendang. Banyak pokok mangga yang ditanam di ban tali air dan ada sejenis pokok mangga yang sentiasa berbuah iaitu mempelam telur. Mempelam ni kecil-kecil buahnya. Selalunya mempelam telur sesuai dibuat jeruk. Kalau masak memang manis tapi makan sebiji tak puas sebab saiznya kecil. Aku selalu panjat pokok mempelam sambil makan buahnya yang masak. kadang-kadang aku panjat pokok keriang. Pokok keriang banyak tumbuh di kawasan sawah padi di sebelah utara. Rasanya manis kelat. Buah yang masak berwarna hitam pekat. Begitulah aku habiskan masa bila aku ponteng sekolah. Anak yatim piatu memang tak ada orang nak peduli. Pandai-pandailah membawa diri. Tapi zaman sekarang dah berbeza. Anak-anak yatim telah memdapat pembelaan yang sewajarnya. Zaman berubah turut membawa perubahan sikap dan kesedaran masyrakat terhadap anak-anak yatim.

Inilah rupa buah keriang. Pokok ini banyak tumbuh di kawasan sawah padi. Sekarang dah semakin pupus.
























Yang ni mempelam telur. Muda lagi. Kalau dah tua warnanya jadi hijau tua. Yang muda sesuai dibuat jeruk.
Sehinggalah pada suatu hari setelah dua bulan aku ponteng sekolah, datang seorang guru berjumpa dengan abang aku. Kebetulan aku tak ada di rumah masa tu. Nama cikgu itu ialah Cikgu Taib. Bukan guru kelas aku tapi Cikgu Taib ni adalah guru yang senior dan agak berumur. Cikgu ni datang ke rumah abang aku naik basikal. Cikgu Taib bagi nasihat kepada abang aku supaya jaga adik baik-baik. Di samping nasihat, dia juga beri sindiran tak kan satu orang adik pun tak boleh nak jaga. Abang aku ni jenis panas baran. Agaknya panaslah hati dia kena sindir macam tu. Kemudian Cikgu Taib sambung lagi dengan mengatakan adik kamu (akulah tu) bukannya tak pandai. Budak ini belajar dalam kelas yang pandai cuma tak dijaga dengan betul sebab itulah jadi macam ni. Maksudnya abang aku tak pandai jaga akulah, itu yang cuba disampaikan oleh Cikgu Taib. Aku mulanya tak tahu kedatangan Cikgu Taib. Lepas cikgu balik aku terjumpa dengan kawan sekelas yang tinggal di sebelah rumah aku. Dialah yang menunjukkan rumah abang aku kepada Cikgu Taib. Waktu dah petang, lebih kurang pukul 5 macam tu. Satu siang aku merayap keliling kampung sorang-sorang. Tapi kebanyakan masa aku habiskan kat bendang belakang rumah aku je, bukan pi jauh pun.

Petang itu aku balik ke rumah macam biasa. Sebelum aku naik tangga rumah pusaka, abang aku panggil. Aku tengok tangan kanan dia pegang kayu api. Kayu api tu aku tau gunanya bukan nak buat memasak tapi untuk makanan punggung aku. Aku sampai kat abang aku, dia terus pegang tangan aku sambil kayu api di angkat tinggi siap nak melayang je lagi. Dia kata esok pergi sekolah. Kalau tak nak pergi dia nak hayun kayu api tu kat aku. Aku pun kata ye ajelah. Abang aku kata esok dia akan hantar aku ke sekolah. Tapi aku ada plan lain sebenarnya. Aku kan tinggal sorang-sorang kat rumah pusaka. Tidur malam pun sorang-sorang. Aku plan esok pagi sebelum orang lain bangun, aku akan bangun dulu dan hilangkan diri. Bukan aku nak lari dari rumah. Aku cuma nak keluar meyorok supaya pagi tu abang aku tak dapat cari aku jadi tak payahlah aku pergi sekolah.

Sungguhlah, manusia itu hanya merancang tetapi Allah swt jualah sebaik-baik perancang. Esoknya entah macam mana aku boleh terbangun lewat. Biasanya aku memang bangun awal tapi kali ini aku hanya bangun bila abang aku naik ke rumah pusaka dan mengejutkan aku. Mahu tak mahu terpaksalah aku mandi dan bersiap untuk pergi sekolah. Aku pun dah tak tau nak bawa buku apa. Akhirnya aku masukkan semua buku teks ke dalam beg sekolah aku. Sebenarnya aku ada satu rancangan lagi untuk melepaskan diri aku dari kena pergi sekolah untuk hari-hari berikutnya. Nanti aku akan ceritakan rancangan aku pada part yang seterusnya iaitu part 3.

*gambar dalam entry ini bukanlah hak milik aku. Ianya adalah hasil carian google. Hakmilik gambar tersebut adalah kepunyaan mereka yang berkenaan.

Friday, 23 January 2015

Burung wak-wak denak Pak Long Din dan kisah Juan menahan taut burung wak-wak.

Di kampung aku dulu, jiran sebelah kanan rumah aku kami panggil Pak Long Din. Orang kampung panggil dia Din burak. burak tu maksudnya burung keruaklah kalau ikut istilah di kampung aku. Pak Long Din suka membela burung keruak atau kami di kampung panggil burung wak-wak. Dia ada burung wak-wak denak yang digunakan untuk memikat wak-wak liar. Kalau dia memikat wak-wak jarang pulang dengan tangan kosong. Aku suka mengacah burung denak pak long. Burung wak-wak denaknya cukup galak kalau diacah. Aku selalu pergi dekat sangkarnya kemudian aku acah dengan bunyi "keruak...keruak...keruak". Burung denak tu apa lagi, melawan la dia. Yang bestnya bila lama sangat mengacah burung denak tu, akan ada suara lain yang meyampuk iaitu suara pak long din dari atas rumah yang suruh aku balik pasal buat bising kat bawah rumah dia. Mananya tak marah orang tu, biasanya dalam pukul 2-3 petang orang berehat lepas makan balik dari bekerja di sawah. Masa ni lah dia orang nak lelapkan mata sekejap. Bila dia orang baru nak lelapkan mata datang pulak aku main dengan burung denak dia. Riuh rendahlah di bawah rumah pak long din.

Burung keruak atau wak-wak. Gambar carian google. Gambar ini adalah hak milik mereka yang berkaitan.
























Kadang-kadang kalau pak long Din mendenak burung wak-wak dia akan hantar gulai burung wak-wak ke rumah aku. Isi burung ni sikit je. Lebih kurang macam isi puyuh. Rasanya aku dah tak ingat sebab lama sangat dah aku tak makan. Burung ni banyak terdapat di kawasan belukar dan paya. Kat belakang rumah aku ada sawah padi jadi kat atas batas sawah ni lah selalu burung ni melepak. Kalau terjumpa orang, dia akan lari masuk belukar. 

Selepas aku meninggalkan kampung untuk belajar di Miri, Sarawak ada lagi aku berhapadan dengan kisah burung wak-wak ni. Masa aku tinggal di asrama kat Tanjung Lubang, Miri, ramai kawan-kawan aku dari suku Iban, Kayan, Kelabit, Bidayuh dan sebagainya. Ada sorang kawan aku ni nama dia Juan Jugah dari suku Iban. Tinggal satu dorm dengan aku. Satu hari aku tengok dia tengah buat taut. Kalau siapa yang tak tau, taut tu ialah mata kail yang diikat dengan tali tangsi kemudian tali tu pulak diikat ke batang buluh atau apa-apa batang yang pendek lebih kurang sedepa. Tali tangsi pulak lebih kurang 2 kaki je. Kalau di kampung aku taut ni kita orang pacakkan tepi tali air dengan membiarkan mata kail yang dah disalut umpan cacing tanah dan sebahagian dari tali tangsi berada dalam air. Gunanya ialah untuk menangkap ikan keli atau haruan. Biasanya ikan keli yang kena sebab haruan suka umpan yang bergerak macam katak minyak atau anak ikan.

Inilah rupanya batang taut yang asalnya adalah batang  buluh yang dibelah kemudian diraut. Gambar carian google dan merupakan hak milik mereka yang berkaitan.
Aku pun tertanya-tanya apa si Juan ni nak buat dengan batang taut tu. Setahu aku kat kawasan sekolah aku tu mana ada paya. Sekolah tepi pantai dan tebing tinggi menganjur ke pantai. Tak kanlah nak menahan taut kat tepi pantai. Ikan apa yang nak makan taut kat tepi pantai. Rupanya dia nak menaut burung wak-wak. Aku jadi keliru pasal setahu aku umpan taut letak dalam air,  mana pulak burung keruak nak makan umpan taut yang diletakkan dalam air. Kebetulan di bahagian belakang dorm kami ada belukar lalang. Kat situ memang banyak burung wak-wak. Ada masanya boleh nampak burung wak-wak jalan cari makan. Ada masa burung tu berkeruak-keruak nyaring.

Itulah namanya lain padang lain belalang. Aku pun tengoklah apa yang Juan ni buat. Dia pacakkan buluh taut di belukar lalang belakang dorm kita orang tu dengan umpannya tergantung-gantung di udara. Kiranya umpan tu tergantung lebih kurang tinggi kepala burung wak-wak. Bila burung wak-wak makan dan menelan  umpan cacing maka melekatlah kerongkokong dia dengan mata kali. Kalau lambat ambil burung ni akan mati. Cara Juan menaut burung wak-wak ni pada aku agak sadis. Kesian pulak tengok bila tengok burung wak-wak tertelan mata kail yang tersangkut pulak di kerongkongnya. Burung wak-wak pada aku sangat comel. Bulu di dadanya warna putih bersih kadang-kadang ada yang kemerah-merahan. Kalau diberi pilihan, aku lebih suka bela burung wakwak daripada memakannya.

Wednesday, 21 January 2015

Kolestrol, bersenam dan masa muda yang telah berlalu pergi.

Hari ini anak aku demam. Kelmarin dulu aku yang demam. Aku dah baik demam, anak aku pulak yang demam. Demam berjangkit agaknya. Lepas sorang, sorang lagi kena. Aku bawa check kat klinik. Demam biasa saja kata doktor tapi kalau 2-3 hari tak kebah jugak kena ke poliklinik kerajaan pulaklah jawabnya. Aku nak cerita kali ni bukan pasal demam tapi aku nak cerita pasal kolestrol. Pada 11.11.2014 yang lalu aku check paras kolestrol kat klinik. Rupanya paras kolestrol aku tinggi. Diukur masa tu ialah 7.9 sedangkan maksimum bagi yang normal ialah 5.0. Aku diberi ubat untuk turunkan paras kolestrol. Yang bestnya ubat tu aku tak makan pun hehe. Aku pulak jarang check kolestrol. Ini merupakan satu kejutan kepada aku. Selama ini aku ingat keadaan kesihatan aku baik belaka. Pengajarannya, jangan ambil mudah penjagaan kesihatan diri sendiri. Badan kita nak pakai lama. Jika diberi Allah swt umur yang panjang tapi kesihatan tak baik meranalah kita. Kalau duit banyak tapi ada penyakit tak guna juga. Kalau tak ada duit tapi ada penyakit lagilah tak guna. 

Alang-alang aku dah ke klinik dengan anak aku tadi jadi aku teruslah check kolestrol aku. Dah dua bulan lebih semenjak aku check kolestrol bulan sebelas tahun lepas. Alhamdulillah paras kolestrol dah turun jadi 5.9. Walaupun masih sedikit tinggi tapi penurunan 2 point sungguh melegakan aku. Aku tak pernah makan ubat untuk turunkan kolestrol yang doktor bagi tapi aku amalkan gaya hidup sihat. Daripada apa yang aku tahu, mandi awal pagi dapat menurunkan kadar kolestrol kita. Semenjak 12.11.2014 yang lalu aku amalkan mandi seawal pukul 5.45 pagi tanpa menggunakan water heater.

Kemudian selepas solat subuh aku amalkan senaman berjalan pantas diselang-selikan dengan jogging di sekitar rumah aku. Setiap hari aku maintain senaman sekurang-kurangnya 30 minit. Seminggu aku buat enam hari. Maksudnya masa senaman aku untuk seminggu ialah 180 minit, lebih 30 minit dari masa minimum yang disyorkan oleh doktor. Masa senaman untuk seminggu yang disyorkan oleh doktor ialah 150 minit. Masa 150 minit itu tidak boleh dikumpulkan sekaligus. Ianya harus dilakukan untuk selama lima hari dalam seminggu. Lagi dua hari dalam seminggu tu dikira cuti bersenam, bolehlah luangkan masa bersama keluarga. Bermaksud sehari masa senaman minimum ialah 30 minit. Senaman yang kurang daripada 30 minit tidak dapat membakar kolestrol. Sebab itulah kalau bersenam masa yang diambil mestilah 30 minit atau lebih. Jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan, cara paling berkesan untuk menurunkan berat badan ialah dengan berjogging atau berenang selama sekurang-kurangnya satu jam untuk satu hari. Senaman yang kurang dari satu jam sehari hanya memberi faedah kesihatan yang lain tetapi tidak untuk menurunkan berat badan.

Amalan seterusnya yang aku lakukan untuk turunkan paras kolestrol ialah dengan jaga pemakanan. Aku berhenti dari makan makanan yang berkolestrol tinggi. Makanan yang mempunyai kolestrol tinggi ialah telur burung puyuh, otak lembu, kuning telur ayam, sotong, organ dalaman kambing kecuali otot dan tulang, tiram, mentega, marjerin, susu lembu, santan, kerang, udang, siput, ketam, keju, daging lembu tetel dan lain-lain lagi. Manakala makanan yang mengandungi kolestrol yang kurang ialah putih telur, timun laut atau gamat, susu lembu tanpa lemak, daging ayam tanpa kulit, ikan air tawar, daging lembu tanpa lemak, daging arnab dan daging kambing tanpa lemak. Semua yang banyak kolestrol aku tinggalkan. Aku selalu banyakkan minum air masak. Berhenti dari minum air yang berwarna dan bergas. Makan lebih sayur-sayuran hijau. Sarapan pagi hanya mengambil capati dan air suam.

Nampak teruk apa yang aku kena buat. Begitulah yang aku buat dan hasilnya dalam dua bulan turunlah paras kolestrol sebanyak dua point. Aku bernasib baik kerana selama aku amalkan pemakanan sihat aku tak pula rasa teringin nak makan makanan yang tinggi kolestrol macam seafood, sup daging tetel dan sebagainya. Agaknya aku dah puas  makan makanan tersebut sebelum ini jadi sekarang tak adalah aku teringin nak menikmatinya lagi. Umur dah meningkat ni fahamlah aku ungkapan "hargai masa muda sebelum tua" kerana masa muda yang berlalu tak akan datang lagi. Ianya hanya berlaku sekali. Beruntunglah orang yang menyedarinya dari awal. Sebab itulah Allah swt tegaskan;

”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan  kesabaran” 

(Al ‘Ashr). 

Dua bulan anak yatim piatu ponteng sekolah (part 1)

Anak yatim piatu itu akulah. Masa darjah empat. Umur 10 tahun. Aku ingat lagi, aku pernah ponteng sekolah selama dua bulan berturut-turut. Mula-mula tak la berturut-turut. Sehari datang sehari tidak. Lepas tu sehari datang sekolah, dua hari tidak. Lama kelamaan terus tak datang dah sampai la dua bulan lamanya. Tuan-tuan dan puan-puan tahu tak kenapa aku ponteng sekolah? Sebenarnya ada sebabnya. Sebabnya pulak berkaitan dengan cikgu. Pada aku, ramai guru yang baik cuma sedikit sahaja yang tidak. Dari pengalaman aku, cikgu memainkan peranan penting dalam meyemaikan sifat suka hadir ke sekolah kepada murid-murid. Ramai cikgu-cikgu di negara kita amat cemerlang dalam mendidik anak bangsa. Bukan perkara ganjil bila cikgu keluarkan duit sendiri membeli alatan bantuan mengajar semata-mata mahukan anak murid mereka menjadi orang yang berguna di masa depan. Itulah contoh pengorbanan guru yang ibu bapa kadang-kadang tak tahu.

Kisah aku ponteng sekolah asalnya bermula begini. Suatu hari ketika aku dalam darjah empat, aku kena sakit gigi yang aku rasa berdenyut-denyut. Sakit sangat rasanya. Masa tu aku di sekolah. Lebih kurang pukul 9 pagi macam tu. Dalam kelas Bahasa Inggeris. Cikgu perempuan mengajar Bahasa Inggeris ni baru 3-4 bulan bertukar ke sekolah tempat aku belajar tu. Cikgu berasal dari kawasan bandar agaknya. Namanya aku ingat tapi tak payah la aku sebutkan di sini. Oleh kerana aku tengah sakit gigi yang amat sangat, aku tak dapat menumpukan perhatian kepada apa yang cikgu ajarkan di depan kelas. Apa yang aku buat ialah aku dongakkan kepala melihat siling. Dengan berbuat begitu aku rasa sakit gigi aku berkurangan sedikit. 

Rupanya tingkah laku aku diperhatikan oleh cikgu yang sedang mengajar. Perlahan-lahan cikgu ni mula berjalan pusing satu kelas. Bermula dari baris kanan sampai ke belakang kelas kemudian dari belakang masuk pulak baris kiri iaitu baris yang aku duduk. Sampai je dekat aku cikgu ni terus pulas telinga aku sambil marah-marah kerana aku tak bagi tumpuan semasa beliau mengajar tanpa beliau bertanya kenapa aku berkelakuan begitu. Aku tak diberi peluang membela diri. Kawan-kawan aku yang lain apa lagi semuanya gelak berdekah-dekah. Aku punya la bengang. Sakit gigi tak habis lagi tambah pulak dengan sakit telinga kena pulas. Sakit hati kena gelak tak kira lagi. Lepas tamat kelas Bahasa Inggeris tu kebetulan waktu rehat. Jenuhlah aku kena gelak dengan kawan-kawan aku yang lain. Aku tak pergi kantin hari tu sebab sakit gigi dan malu.

Di sinilah bermulanya cerita aku ponteng sekolah. Esoknya aku mula ponteng. Ada tiga sebab kenapa aku ponteng. Pertama aku masih sakit gigi. Kedua kerana esok ada kelas Bahasa Inggeris. Ketiga, aku rasa malu nak jumpa kawan-kawan dalam kelas aku. Masa tu aku dalam kelas A. Kelas terataslah kononnya. Lusa aku datang semula dengan hati yang berat. Hari-hari berikutnya bila ada kelas Bahasa Inggeris aku akan ponteng sekolah sebab aku jadi sangat anti dengan cikgu tu. Sampailah pada suatu hari kemarahan dan rasa malu aku sampai ke kemuncaknya. Kisahnya bermula bila ada satu kawan sekelas aku namanya Jamilah. Masa tu kelas Bahasa Malaysia. Cikgu suruh murid buat ayat yang berdasarkan perkataan yang diberi. Kebetulan salah satu perkataan yang diberi itu ialah "malas". Kawan aku si Jamilah ni dengan selamba buat ayat "........(nama aku) adalah seorang budak yang malas". Gegak gempitalah satu kelas aku gelakkan aku. Punyalah malu aku rasa, hanya tuhan je lah yang tahu. Gila punya malu wei.

Pada aku, itulah hari terakhir aku hadir ke sekolah. Aku tak akan datang lagi dah. Sudahlah kena pulas telinga dengan cikgu Bahasa Inggeris, kawan-kawan aku pulak asyik duk gelak dan kutuk aku. Apa yang aku fikir tu memang aku buat. Mulai dari esoknya aku tak pergi sekolah langsung sampailah selama lebih kurang dua bulan. Masa tu mak bapa aku dah meninggal dunia setahun lebih. Aku duduk di rumah pusaka sorang-sorang. Sebelah rumah pusaka ada rumah abang aku yang baru kawin. Abang aku tu pun muda lagi. Awal 20an macam tu. Kiranya belumlah cukup matang dan belum ada rasa tanggungjawab sepenuhnya. Kakak ipar aku pulak rasanya memang tak suka kat aku sebab bila kawin dengan abang aku tak pasal-pasal dia kena jaga aku. Itu memang aku boleh rasa. Jadinya bila aku duduk sorang-sorang kat rumah pusaka aku boleh buat apa yang aku suka. Abang aku ni tak peduli sangat aku pergi sekolah ke tak. Biasanya aku pergi dan balik sekolah berjalan kaki. Jarak rumah aku ke sekolah lebih kurang dua batu. Panjang cerita aku ponteng sekolah ni. Part 1 kira tamat di sini dulu. Aku sambung lagi ceritanya nanti pada part 2.

Baca part 2 di sini  http://pipsterian.blogspot.com/2015/01/dua-bulan-anak-yatim-piatu-ponteng_24.html

Monday, 19 January 2015

Mempelam @ Mangga unik yang pasti ramai tak pernah tengok (Part 1)

Aku pasti ramai tak pernah tengok atau dengar nama sejenis mangga atau mempelam yang satu ni. Nama dia ialah mangga kasturi atau nama saintifiknya Mangifera Casturi. Seumur hidup aku, mangga jenis ni hanya aku pernah jumpa masa aku masih bersekolah rendah dan masih belum akil baligh lagi. Mangga ini sangat sedap. Yang uniknya ialah bila ia matang atau masak buahnya bertukar menjadi warna ungu, bukan seperti mangga lain yang jika masak warnanya bertukar menjadi kuning. Aku ada banyak kenangan yang berkaitan dengan mangga ini dan aku tak pernah cerita kepada sesiapa pun sehinggalah hari ini aku rasa nak menulis di sini. Oleh kerana kenangannya banyak jadi aku letakkan kisah yang aku ceritakan hari ini dalam part 1. Kemudian nanti aku akan sambung kepada part seterusnya.

Inilah rupa buah Mangga Kasturi. Gambar ini aku google.


Dulu di kampung aku nun di daerah Krian, Perak, ada sorang pakcik namanya Pakcik Johari. Kampung aku ni kawasan sawah padi jadi banyaklah taliair untuk mengairi sawah. Di samping mengairi sawah, taliair ini juga berfungsi sebagai tempat mandi manda dan membasuh kain baju. Masa tu bekalan air paip memang dah ada cuma bukan semua orang yang mampu. Kalau yang ada air paip pun, ramai yang memilih mandi di taliair. Air free tak payah bayar. Jernih pulak tu cuma bila aku dan kawan-kawan aku berkubang di hilir, orang tua-tua yang mandi di kuala hambat kami dengan kayu sebab air yang mengalir ke arah mereka jadi macam air susu, berkeladak dikerjakan oleh kami budak-budak kampung yang berkubang tak ingat dunia. Berbalik kepada Pakcik Johari tadi, kat depan rumah dia ada empat pokok mangga kasturi. Kami di kampung panggil mangga ni sebagai "mempelam kelipisan". Pokok mempelam kelipisan ni ditanam di atas ban. Ban ialah tanah yang sedikit tinggi di tebing taliair. Tanah ban ini ialah tanah dari taliair yang dikorek. Bila buah mempelam ni masak, banyak yang akan jatuh ke dalam taliair. Bila musim buah mempelam kelipisan ni masak, kami budak-budak kampung semua standby bawah pokok tunggu buahnya jatuh sendiri. Pokok mempelam kelipisan ini sungguh besar. Kalau dikait, dapat yang bahagian rendah sahaja. Kebanyakan buahnya ada di bahagian pokok yang tinggi.

Inilah pokok "mempelam kelipisan". Yang kat kampung aku tu besar macam nilah. Macam mana nak kait? Kena cari galah yang betul-betul panjang. Gambar ni aku google. Bukan gambar pokok mempelam kelipisan yang kat kampung aku tu.


Yang seronoknya, bila buah yang masak jatuh ke dalam taliair, kami semua pakat terjun ke tempat buah tu jatuh. Kalau ada 10 orang duk tunggu, sepuluh-sepuluh orang pun terjun sekali. Lepas tu masing-masing menyelam dan menggagau dengan tangan cari buah mempelam yang jatuh tadi. Nasiblah sapa yang dapat. Kalau yang nakal sikit tu, bila dia dah dapat, dia buat diam je. Budak-budak lain bertungkus lumus cari kerana dia orang ingat buah yang jatuh tadi masih belum dijumpai. Tu lah kerja kami lepas habis sekolah. Pakcik Johari pun tak boleh buat apa. Bayangkanlah sedap-tak sedapnya buah ni, sampai berebut nak mendapatkannya. Padahal, pokok mangga jenis lain bukan tak ada. Di ban taliair kat depan rumah dan belakang rumah kita orang, masing-masing ada tanam pokok mempelam. Kat rumah aku ada banyak pokok mempelam. Jenis yang besar kami panggil mangga siam ada dua tiga pokok. Pokok mempelam telur toksah kira la, punya la banyak.

Inilah rupa memepelam kelipisan yang lebih realistik. Sama macam yang kami budak-budak kampung duk berebut dulu.
























Aku pasti mangga jenis ni memang susah nak jumpa di negara kita pada masa ini. Sekarang ni baru aku tahu rupanya pokok mempelam kelipisan ini adalah spesies yang banyak terdapat di Kalimantan terutamanya Kalimantan Selatan. Patutlah pokok ini ada ditanam di kampung aku sebab kampung aku ramai orang Banjar. Malahan aku pun leluhur dari suku Banjar jugak cuma aku dah lupa cakap Banjar. Dulu aku budak-budak, aku memang terer berbahasa Banjar, bahasa baku lagi tu....haha. Orang Banjar berasal dari Banjarmasin Kaimantan. Barangkali dia oranglah yang bawa benihnya dan ditanam di kampung aku.

Bersambung di Part ll.

*Semua gambar dalam entry ini bukanlah milik aku. Ianya adalah hasil carian google. Hakmilik gambar tersebut adalah kepunyaan mereka yang berkenaan.

Saturday, 17 January 2015

Tips mengulangkaji pelajaran terutama untuk calon yang akan menghadapi peperiksaan.


Masa belajar dulu ada sorang kawan aku ni yang cukup cemerlang dalam pelajaran. Dia ni course mate aku masa tu. Tiap-tiap semester mamat ni dapat GPA 3.5 ke atas dan grad dengan CGPA 3.5 ke atas. Tiap-tiap semester juga dia dapat sijil dekan dan tiap-tiap semester juga asyik dia je yang jadi best student. Muka orang lain tak de dah. Muka dia aje yang cemerlang dan akhirnya dia menamatkan pengajian dengan anugerah pengarah. Jeles aku dengan pencapaian dia…hehe. Tapi mamat kawan aku ni tak kedekut ilmu. Dia ada bagi tahu aku cara-cara dia belajar dan mengulangkaji pelajaran dengan berkesan cumanya aku ni masa tu ada penyakit sikit. Penyakit malas. Kalau kena penyakit ni habislah. Kalau malas sahaja okay lagi tapi malas aku ni satu hal, lepas tu suka enjoy pulak tu. Mana tak melingkup. Aku tahu ramai pelajar-pelajar di menara gading sekarang ni pun macam aku dulu jugak. Nak pi lecture kalau pukul 8.00 pagi punya la berat. Mana tak beratnya, dah bersembang dan bergebang dengan kawan-kawan sampai pukul 3-4 pagi. Kalau berjaga sampai pukul 3-4 pagi buat tutorial atau assignment bolehlah diterima alasan sebegitu. Ini kalau ada assignment, tunggu last minute baru nak buat. Alahai, itu la aku dan juga ramai budak-budak melayu kat U sekarang ni…..

Hari ni, bila teringat balik kisah masa belajar dulu aku dapat idea nak tulis tips dan petua bagaimana nak mengulangkaji pelajaran yang diturunkan oleh kawan aku dulu tu. Aku rasa petua ni sangat berfaedah dan boleh diamalkan oleh semua golongan pelajar baik dari yang baru masuk tadika sampailah yang dah belajar kat universiti. Untuk adik-adik yang nak menduduki peperiksaan UPSR, PMR yang kini dah jadi PT3 dan SPM elok sangat amalkan tips ini. Kalau diamalkan sepanjang masa belajar lagilah bagus. Tips dan petua yang kawan aku berikan ini aku turunkan kat sini mudah-mudahan beliau mendapat pahala yang berterusan dengan ilmu yang bermanafaat yang beliau turunkan kepada aku dan aku turunkan kepada pembaca pulak. 

Sabda Rasullullah saw;
apabila mati seseorang anak adam itu .. maka akan terhenti segala amalanya kecuali 3 perkara iaitu sedakah jariah, ilmu yang memberi guna, doa anak – anak yang soleh.

Baiklah, terus saja kita kepada tips dan petuanya. Yang pertama sekali pelajar mesti faham apa yang kita perlu tahu dan apa yang kita perlu faham dalam sesuatu subjek atau mata pelajaran. Bagaimana kita nak tahu apa yang kita perlu tahu sedangkan kita pun belum tahu apa-apa pasal satu-satu subjek itu? Cikgu atau lecturer memang faham apa yang dia orang ajar. Tapi kita sebagai pelajar belum tentu boleh faham apa yang mereka ajar. Sebenarnya fungsi lecturer atau guru hanyalah sebagai pembimbing. Mereka semacam penunjuk arah. Kitalah sebagai pelajar yang perlu pergi sendiri ke tempat yang hendak dituju.

Cara untuk mengetahui apa yang kita perlu tahu dan apa yang kita perlu faham dalam sesuatu subjek itu mudah sahaja. Tiap-tiap subjek ada buku teks. Dalam  buku teks ini biasanya pada muka hadapan ada prakata atau pendahuluan. Selepas itu ada isi kandungan atau “table of content”. Kalau ikut istilah guru atau lecturer inilah yang dinamakan silibus. Sebagai contohnya kita ambil mata pelajaran Geografi tingkatan 1. Lihat pada muka hadapan, kandungan.

Kandungan buku teks Geografi Tingkatan 1.
Isi kandungan buku teks ini dibahagikan kepada Bahagian A, B dan C;

Bahagian A: Kemahiran Geografi.
Bahagian B: Geografi Fizikal & Manusia
Bahagian C: Kajian Geografi Tempatan

Bahagian A, Kemahiran Geografi ada sub topik atau unit. Ada lima unit iaitu Kedudukan, Arah, Skala dan Jarak, Graf dan akhir sekali Peta. Apa yang diberitahu oleh isi kandungan buku teks dalam bahagian A ini ialah kita perlu tahu, faham dan menguasai Kemahiran Geografi. Cara bagaimana kita nak tahu, faham dan menguasai  kemahiran geografi ialah dengan menguasai lima sub topik atau unit yang disenaraikannya iaitu;

  1. Kedudukan
  2. Arah
  3. Skala dan Jarak
  4. Graf
  5. Peta 

Bahagian A ada lima sub topik atau unit.
Jadi langkah pertama yang perlu kita buat untuk menguasai topik Kemahiran Geografi ini ialah dengan menguasai dan memahami sub topik 1 atau unit 1 iaitu Kedudukan.

Sub topik atau Unit 1 - Kedudukan.


Baca baik-baik dan fahami apa itu yang dimaksudkan dengan kedudukan. Jika sekali baca tak faham, ulang lagi baca berkali-kali sehingga faham. Kalau tak faham jugak, last sekali tanyalah cikgu anda. Pasti cikgu anda tahu dan boleh menerangkan kepada anda sehingga anda faham. Dari pengalaman aku, kalau betul kita baca, sekali baca tak faham kita baca lagi walaupun berulang-ulang kali akhirnya kita akan faham. Sekali kita dah faham kita akan jadi seronok terus nak membaca tak peduli apa dah. Itulah nikmatnya belajar ni. Boleh lupa dunia bila kita paham apa yang kita baca. Kalau kita tak baca memanglah kita tak faham langsung. Lepas baca sub topik 1 atau unit 1 iaitu kedudukan, anda kenalah buat latihan yang disediakan. Tujuannya adalah untuk mengukur sejauh mana kita tahu, faham dan menguasai sub topik atau unit 1; kedudukan. Jika kita boleh jawab soalan yang disediakan maknanya kita dah faham, tahu dan menguasai sub topik ini dan bolehlah meneruskan ke sub topik yang seterusnya iaitu Unit 2: Arah. Ingat, selagi kita belum menguasai sub topik atau unit 1 JANGAN teruskan ke sub topik atau unit seterusnya. Kenapa? Kerana ini adalah asas kepada Kemahiran Geografi. Jika anda tidak dapat menguasai asas, anda tidak akan dapat menguasai Kemahiran Geografi. Perumpamaannya, jika anda tak tahu cara nak makan nasi macam mana anda nak makan nasi?

Sub topik atau Unit 2 - Arah.
Ulangi langkah yang anda buat untuk unit 1 tadi. Apa yang perlu anda ulang? Baca supaya anda faham, tahu dan menguasai sub topik atau unit 2 pula iaitu Arah. Ingat, kalau baca sekali tak faham, baca lagi walaupun berkali-kali sehinggalah anda faham. Kalau tak faham jugak anda jumpa cikgu dan tanyalah mereka. Jangan ambil jalan mudah terus tanya cikgu sebelum anda membaca apa yang anda nak tanya kerana ini akan membuatkan anda tak faham apa yang cikgu akan terangkan. Jangan lupa juga buat latihan dan jawab soalan yang disediakan untuk menguji penguasaan, kefahaman dan pengetahuan kita berkaitan dengan Arah. Ingat selagi anda belum faham, tahu dan menguasai sub topik ini, JANGAN pindah ke sub topik seterusnya. Asas pertama untuk anda menguasai Kemahiran Geografi ialah Kedudukan dan asas kedua ialah Arah. Jika anda dah faham tentang kedua-dua asas ini bolehlah teruskan kepada asas seterusnya iaitu sub topik atau Unit 3: Skala dan Jarak.

Sub topik atau Unit 3 - Skala dan Jarak.


Begitulah seterusnya. Ulang langkah yang sama yang anda buat untuk unit 1 dan 2 tadi. Bila anda selesai untuk unit 3 boleh ke unit seterusnya iaitu Unit 4: Graf dan setelah selesai dengan graf teruskan pula kepada Unit 5: Peta.

Sub topik atau Unit 4 - Graf.
Sub topik atau Unit 5 - Peta.
Pengalaman aku dulu, lepas aku buat step-step macam kat atas tu aku akan ke perpustakaan cari soalan-soalan tambahan. Aku akan cuba buat soalan-soalan tambahan yang berkaitan. Di sinilah nanti kita akan jumpa soalan-soalan killer yang kita mungkin tak boleh jawab. Apa yang perlu kita buat ialah tanya soalan tu kepada cikgu. Cikgu tak akan marah, malahan dia akan lebih suka lagi kerana anda rajin dan gigih berusaha.

Bila dah tamat bahagian A: Kemahiran Geografi, anda bolehlah teruskan ke Bahagian B: Geografi Fizikal dan Manusia dan seterusnya sehinggalah bahagian terakhir iaitu Bahagian C: Kajian Geografi Tempatan. Petua untuk tidak lupa apa yang kita dah baca sebelum ini ialah dengan baca sepintas lalu topik-topik yang telah kita ulangkaji sebelum ini. Contohnya sekarang kita nak ulangkaji bahagian B. Sebelum kita mentelaah bahagian B ini, bacalah dulu sepintas lalu bahagian A: Kemahiran Geografi iaitu Kedudukan, Arah, Skala dan Jarak, Graf dan akhir sekali Peta. Selepas anda baca sepintas lalu ulangkaji yang lepas barulah anda mulakan dengan topik yang baru.

Tamat Bahagian A, ulang step yang kita buat tadi ada Bahagian B pula. Bahagian B ada 3 tema dan 11 unit (lihat sambungan pada gambar di bawah).




Bahagian B Geografi Tingkatan 1 ada 11 unit atau sub topik. Bermula dari unit 6 hinggalah unit 16.
Bahagian C atau bahagian akhir ada 2 unit sahaja.
Satu lagi tip untuk mengingati apa yang kita baca ialah dengan menulis semula apa yang telah kita ulangkaji. Caranya ialah apabila kita mengulangkaji pastikan kita pegang pen dan kertas kosong. Setiap kali ada point penting, catatkan pada kertas kosong tersebut. Cara ini dapat memudahkan kita mengingati apa yang kita ulangkaji. Setelah habis mengulangkaji satu-satu topik, tutup buku nota dan cuba tulis kembali point-point penting yang telah kita ulangkaji tadi atas sekeping kertas dan kemudian buka buku teks kembali dan lihat serta bandingkan adakah ada point-point penting yang tertinggal. Cara ini adalah untuk melihat adakah kita dapat ingat apa yang telah diulangkaji.

Untuk mengingati sesuatu perkara, ianya mestilah dilakukan berulang-ulang. Jika kita membaca berulangkali kemungkinan untuk kita dapat mengingati apa yang kita baca adalah tinggi. Buat satu nota kecil dengan melipat kertas A4 menjadi 2 bahagian kemudian tulislah point-point penting. Nota kecil ini anda boleh simpan dalam poket. Banyak gunanya. Contohnya anda boleh baca nota kecil ini  sementara menunggu bas, semasa makan di kantin, menunggu kawan dan sebagainya malahan masa duduk dalam bilik termenung pun anda boleh baca. Sekian, semoga bermanafaat untuk semua.